Sunday, January 3, 2010

Polis edar gambar suspek kes bunuh isteri

AMPANG: Selepas mengalami kesukaran memujuk suami seorang wanita yang ditemui mati berbungkus selimut dalam almari di rumahnya di Taman Pinggiran Ukay di sini, Rabu lalu, supaya menyerah diri, polis mengedar gambar lelaki terbabit kepada umum, semalam.

Lelaki itu, Mohafri Mohamed, 37, yang juga pengurus katering dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Mohafri dipercayai kali terakhir dilihat di stesen komuter Rawang dengan membawa sebuah beg sandang dan wang RM100.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata melalui hasil siasatan dan perbualan dengan ahli keluarga, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit masih berada di sekitar Lembah Klang.

“Kita (polis) percaya dia bersembunyi dan sering berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, sekali gus menyukarkan usaha untuk menjejakinya.
“Kita gunakan pelbagai cara, termasuk mengedar gambarnya, dan berharap ahli keluarga dapat memujuknya keluar dari tempat persembunyian untuk menyerah diri,” katanya.


Menurut Abdul Jalil, beliau turut mengarahkan pegawai dan anggotanya meneruskan usaha memburu Mohafri di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang pernah terlihat atau ada maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Difahamkan, ketika dihubungi ahli keluarga, lelaki itu dipercayai mahu menyerah diri namun tidak berani melakukannya dan kelihatan seperti keliru dengan apa yang berlaku.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kebimbangan seorang rakan membawa kepada penemuan mayat seorang wanita, dipercayai mati dibunuh suaminya dalam kejadian di Pinggiran Ukay, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Fazlina Ahmad, 39, dipercayai dalam proses bercerai dengan suaminya, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dibungkus dengan cadar dan disumbat dalam almari baju di tingkat atas bilik utama rumah teres dua tingkat itu.

Polis menerima laporan kehilangan mangsa jam 1 tengah hari daripada rakan baik mangsa yang sering berhubungan dengannya, namun apabila panggilan tidak dijawab, rakannya membuat laporan polis.

Sejurus menerima maklumat itu, polis menemui mayat mangsa dalam almari, kira-kira jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: