Sunday, January 17, 2010

Gema Leona Lewis



BIARPUN cedera selepas terjatuh daripada kuda yang ditunggang sehari sebelum Tahun Baru 2010, penyanyi dan penulis lirik, Leona Lewis, tidak menjadikan situasi itu sebagai satu isu. Malah, dia disaksikan berparti pada malam Tahun Baru bersama teman-temannya di Hotel Bellagio di Las Vegas.

Menyanyikan salah satu muzik latar untuk filem 3D James Cameron, Avatar, yang berjudul, I See You, Leona yang sebelum ini membawakan lagu hit seperti Bleeding Love, Better In Time, dan Happy itu juga dilihat meraih motivasi diri yang tinggi melalui kelahiran album keduanya, Echo.

"Saya berasa lebih yakin dengan album ini berbanding album pertama. Untuk album ini, saya lebih banyak terlibat dan tenang dalam segala aspek," katanya yang turut sama menulis lirik untuk beberapa trek lagu di dalam album itu.

Melalui album itu, Leona bergandingan sekali lagi dengan Max Martin, Ne-Yo dan John Shanks di samping nama-nama baru antaranya Xenomania dan Julian Bennetta.

Bagi kolaborasi itu, tidak mustahil Leona akan mengulang kejayaannya albumnya meraih platinum berganda serta dicalonkan untuk Anugerah Grammy sebanyak tiga kali sebagaimana dinikmatinya melalui album pertama.

Anak didik Simon Cowell dan Clive Davis yang dilahirkan melalui program realiti TV, X Factor itu juga mengimpikan elemen hidup di dalam albumnya. Bagi memenuhi impiannya itu, dua lagu, Brave dan The First Time Ever I Saw Your Face yang dirakam secara langsung daripada konsert yang disertai Lewis di Hackney Empire, London, turut dimasukkan.

Secara keseluruhan, lagu-lagu dalam album barunya itu digambarkan lebih banyak menggunakan muzik berasaskan gitar.

Melihat album itu lebih dekat, pendengar akan mendapati judul-judul lagu seperti Brave dan Broken yang lebih ringkas dan tepat. Mesej yang cuba disampaikan melalui liriknya yang penuh emosi juga didedahkan secara terbuka, menjadikan lagu-lagu itu tidak lapuk dek hujan dan amat mudah mendekati pendengar.

Rebiu akhbar The Observer tentang Echo memberikan Lewis tiga daripada lima bintang. Wartawannya, Peter Robinson, menulis: "Luar biasa bagi seorang produk X Factor. Jika album kedua ini tidak menjadi, ia mengundang risiko tetapi nampaknya Echo menepati sasaran. Album ini mengandungi banyak lagu hit dan ada antaranya yang menyelamatkan Echo daripada menjadi sebuah album yang membosankan."

Jim Farber dari akhbar New York Daily News juga bersetuju.

"Echo memiliki elemen keseronokan dan keremajaan, yang agak sukar diperoleh melalui album pertama Lewis, Spirit. Rentak lagu-lagu di dalam album ini lebih pantas dan menyeronokkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: