TAHUN lalu adalah yang paling sibuk dalam kamus hidup pelakon jelita, Emelda Rosmila Abdul Hamid. Ini kerana, selain aktif berlakon, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu menguruskan majlis perkahwinannya dengan suami tercinta, Adlin Aman Ramlie.
Memilih tarikh 22 Mei 2009, pasangan sejoli ini disatukan. Apapun, disebabkan kesibukan kerja, Emelda dan Adlin, 38, belum sempat berbulan madu seperti pasangan pengantin lain. Bahkan, pada Disember lalu pula mereka berpindah ke rumah baru.
Emelda berkata, sempena kedatangan 2010 ini, dia berazam melapangkan lebih masa untuk dirinya dan mahu mengurangkan kerja. Bukan tidak mahu berlakon langsung, tetapi dia inginkan masa lapang antara karier dan bersama suami tersayang.
"Saya mahu menjadi isteri yang ada masa berharga untuk diri sendiri, keluarga dan karier. Jadi, saya boleh melakukan hobi kesukaan seperti melukis, mengunjungi spa dan menunggang kuda. Namun, pada hujung Januari ini saya akan sibuk kerja semula (berlakon).
"Tidak dinafikan, rezeki saya lebih kepada berlakon drama. Bagaimanapun, di hati ini tersemat juga impian untuk berlakon di layar perak. Saya hendak cuba berlakon filem jika ada peluang kerana pengalamannya berbeza. Bagi saya, kredibiliti pun lebih mencabar.
"Berlakon di skrin lebar (filem) bukan mudah. Sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab merealisasikan watak dengan berkesan kerana bekerja dengan individu yang ada nama besar. Bermula daripada pengarah hingga pelakon, semuanya hebat," katanya.
Berusia 30 tahun, Emelda akan muncul dengan drama terbaru, Nigina yang mengisi slot Samarinda di TV3 bermula esok, jam 10.30 malam dari Isnin hingga Khamis. Menerusi drama itu, Emelda bergandingan dengan aktor terkenal tanah air, Rosyam Nor.
Diterbitkan Suhan Movies & Trading Production, pelakon lain yang membintangi Nigina ialah Melissa Mauren sebagai Sofea, Datuk Jalaluddin Hassan (Datuk Hambali), Aida Radzwill (Datin Salmie), Salina Saibi (Natasha), Hafizzuddin (Datuk Suffian), Rosnah Johari (Datin Nora) dan Norlia Ghani (Mak Kiah).
Ia mengisahkan Nigina dan Iskandar lakonan Rosyam bercinta ketika sama-sama melanjutkan pengajian di Australia. Iskandar berasa dirinya bertuah dapat berkawan dengan Nigina, anak Datuk Hambali yang bersikap rendah diri dan menerima dirinya.
Iskandar mahu mengubah nasib keluarga yang miskin. Selepas tamat pengajian, Nigina mengesyorkan Iskandar bekerja di syarikat Warisan Sdn Bhd milik bapanya. Apapun, Iskandar bercita-cita untuk mengahwini Nigina dan dia mahu dilantik jawatan tertinggi syarikat.
Bagaimanapun, kehadiran Iskandar menarik perhatian Sofea, anak kepada Datuk Suffian yang juga rakan kongsi dalam Warisan Sdn Bhd. Apakah Iskandar akan berubah cinta kepada Sofea? Malah, bagaimana pula perkembangan prestasi syarikat Datuk Hambali? Emelda berkata, mengenai wataknya dalam Nigina, dia anak tunggal dalam keluarga kaya, tetapi berhadapan konflik persaingan perniagaan dan percintaan yang membabitkan orang ketiga. Apapun, Nigina adalah kerjasama pertama antara Emelda dan Rosyam.
"Saya tidak pernah berlakon di sisi Rosyam Nor selama ini. Jadi, Nigina ialah permulaannya dan saya harap drama ini turut membawa sinar pada karier seni sepanjang 2010. Bagi saya, penayangannya pada awal Januari 2010, satu petanda baik untuk lembaran baru.
"Malah, pengakhiran 2009 juga membawa berita baik buat saya apabila drama Kekasihku Seru arahan Kabir Bhathia berjaya dipilih pemenang kategori Drama Rantaian Terbaik dalam Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) pada 4 Disember lalu. "Biarpun hanya drama yang dilakonkan menang, saya sangat bersyukur. Ia satu penghargaan terbaik dalam karier saya dan bukan senang menjiwai watak dalam drama seram. Banyak cabaran saya lalui dan hasilnya dengan kemenangan itu," katanya. Di sebalik perjalanan kariernya, Emelda turut ditanya mengenai perancangan keluarga. Tanpa berselindung, Emelda berkata, dia bercadang mahu memiliki cahaya mata selepas berbulan madu ke Eropah bersama Adlin. Katanya, itu adalah harapan selama ini.
"Memang Adlin selalu tanya saya soal anak, tetapi, kalau boleh saya mahu berbulan madu dulu dan baru mengandung. Ini kerana, jika sudah ada anak pasti perancangan berbulan madu lenyap dan itu yang dilihat berlaku pada kebanyakan pasangan suami isteri.
"Apapun, anak tidak menyusahkan diri saya, tetapi biarlah kami merasai nikmat bulan madu dulu. Bagi saya, anak amanah Tuhan kepada pasangan berkahwin. Justeru, saya perlu bersedia ke arah itu dan mana tahu 2010 ini menjadi rezeki kami?," katanya.
Menyentuh perihal dirinya yang berlakon di bawah drama arahan suami, adik pelakon Emylia Rosnaida ini berkata jangan salah anggap terhadapnya. Kata Emelda dari dulu hingga sekarang kariernya tidak selalu di bawah payung suami.
Menurutnya, dia adalah individu yang menjadi 'nakhoda' dalam karier untuk kepuasan. Suami penyokong setia dan berkaitan soal kerja, biar diri sendiri menyusunnya. Emelda berkata, buat masa sekarang, dia akan memastikan penyusunan kerjanya OK terlebih dahulu.
PROFIL NAMA: Emelda Rosmila Abdul Hamid PANGGILAN: Emelda/ Mel TARIKH LAHIR: 14 Mac 1980 USIA: 30 tahun TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak HOBI: Melukis, mengembara dan berenang KARIER: Pelakon/pengacara DRAMA: Antaranya Manjalara, Sephia, Marikas, Gila Gila Pengantin, Natasha, Trafik Light, Segalanya Berubah dan Aishah, Kekasihku Seru, Cucu Betung, Jongkang Jongket Sonata Labu Labi dan Nigina.
PROGRAM TV: Antaranya Rentak Juara - Rhythm Of Champions 2008 (RJROC2008) dan Gadis Melayu akhir musim kedua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: