Sunday, January 10, 2010

Diddy setia seorang lelaki

BAIT-BAIT indah lirik Lelaki Atas Awan jelas menggambarkan betapa bahagianya dia kini. Segala yang diimpikan mampu digapai malah ikatan perkahwinan yang bakal dibina dalam waktu terdekat menyempurnakan lagi seni hidupnya.

pix_topright

"Ellen memiliki ciri-ciri wanita idaman saya. Jujur, saya suka dengan personalitinya dan saling melengkapi antara satu sama lain. Dia penyabar, berdikari, matang dan sentiasa pandang ke depan.

"Orangnya tenang dan sangat low profile. Bayangkanlah, teman serumah dan tempat kerjanya tidak tahu dia adalah tunangan saya. Mereka ingat dia peminat fanatik saya bila di biliknya ada poster saya dan beberapa lagi cenderahati Diddy Hirdy seperti jam dan gelas.


"Sampai tahap itu dia berahsia malah sampai saat ini mereka tidak tahu. Kalau ada peminat terserempak dengan kami, dia akan melarikan diri dan biarkan saya bersama peminat. Kalau menonton persembahan saya, dia akan duduk bersama peminat dan melihat dari jauh. Susah nak jumpa gadis sepertinya dan dialah cinta sejati yang saya cari," katanya.

Perkenalan dengan Ellen bermula ketika usia 14 tahun apabila Diddy mengikut keluarganya berpindah ke Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang. Kebetulan rumah Ellen terletak di belakang rumahnya, jadi gadis itulah kawan pertamanya dan mereka banyak menghabiskan masa bersama.

Luah Diddy, Ellen adalah sahabat karibnya dan tempatnya berkongsi suka-duka. Mereka sering mengulang kaji pelajaran di tepi laut sambil mendengar radio dan menikmati hidangan yang disediakan ibu masing-masing.

"Ketika itu belum ada apa-apa perasaan lagi. Memandangkan dia jiran terdekat saya, kami selalu bersama ke mana saja malah kerap juga berborak hingga lewat malam di buaian rumahnya. Bila mengenang semula memori manis itu, kami pasti ketawa," katanya.


Berbicara soal hari istimewanya bersama Ellen, pasangan sebaya berusia 25 tahun ini akan dinikahkan jam 3 petang pada 6 Februari, keesokan harinya pula berlangsung majlis persandingan di kediaman sebelah keluarga pengantin perempuan pada jam 2.30 petang dan resepsi pihak lelaki pula diadakan di Kuala Lumpur namun tarikhnya akan diputuskan dalam waktu terdekat.

"Kehilangan bapa masih dirasai dan kerana itu saya tidak ada semangat mengadakan majlis di kampung. Kebetulan adik beradik saya menetap di Kuala Lumpur, jadi eloklah jika dilangsungkan di sini saja. Tempat belum diputuskan lagi, begitu juga dengan tarikh.


"Saya dan bakal isteri akan memakai empat pasang baju rekaan Hazwani Osman.

Untuk majlis akad nikah, busana rona putih jadi pilihan, berinai besar pula kami akan gayakan sut dan gaun hitam, bersanding di rumah pengantin perempuan pula merah jambu dan gangsa dan resepsi di Kuala Lumpur tuxedo dan gaun putih.

"Majlis saya nanti ringkas saja malah wang hantaran masih mengekalkan jumlah yang dipersetujui empat tahun lalu iaitu RM10,000 serta hantaran tujuh berbalas sembilan," katanya.

Lebih sedekad menyulam kasih, Diddy tidak menafikan macam-macam dugaan pernah ditempuh bersama dan paling terasa dalam tempoh pertunangan.

Jika tiada persefahaman dan kepercayaan tidak mustahil ikatan yang terjalin akan terurai. Bukan sekali dua cerita kononnya Diddy putus tunang dijaja pihak tidak bertanggungjawab malah ada yang menawarkan bahan bukti kepada media.

"Setiap kali cerita itu keluar di akhbar dan majalah, saya dan Ellen mesti ketawa geli hati kerana tak sangka ada pihak yang suka menabur cerita bukan-bukan mengenai kami. Kami dapat menerima khabar angin itu dengan tenang, cuma kurang selesa bila ia beri tekanan kepada keluarga.

"Setiap kali jadi buah mulut, saudara mara dan jiran tetangga mesti bertanya dan lebih merimaskan ia berulang banyak kali. Naik lenguh mulut keluarga saya dan Ellen menjelaskan kedudukan sebenar.

"Hidup saya tidak lengkap tanpa Ellen, mana mungkin kami putus tunang. Kalaupun bergaduh sekejap saja sebab saya tidak boleh berjauhan dengannya.

"Dia bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, jadi kami selalu berjumpa. Ke mana saja saya pergi mesti dengan dia. Kalau dia pulang bercuti di kampung, saya mati kutu dan hanya terperap di rumah," kata jejaka setia ini sambil menjelaskan kariernya akan berjalan seperti biasa meskipun sudah bergelar suami.

Mengulas perkembangan terkini, pelantun lagu Hilang ini gembira apabila single Lelaki Atas Awan yang rancak diputarkan di radio mendapat maklum balas positif selain berusaha menyiapkan album solo keduanya.

"Selepas Lelaki Atan Awan, single ketiga pula akan menyusul. Single ini cukup istimewa kerana ia ciptaan sulung saya dan liriknya ditulis oleh pengurus saya, Badrul Hashim.

"Sasaran saya bukan sekadar memeriahkan tapi mahu jadi satu jenama yang kukuh dalam industri. Saya mahu diingati dan kerana itulah perlu sentiasa teroka kebolehan diri. Kalau tidak cuba sampai bila kita tidak tahu kemampuan sebenar diri.

"Saya sudah menyanyi dan menulis lirik, tibalah pula masa saya mencuba nasib sebagai penggubah lagu. Selain itu saya mahu kembangkan bakat sebagai pengacara. Setakat ini sudah ada tawaran namun masih dalam perbincangan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: