KUALA LUMPUR: Seorang artis popular tanah air didakwa menipu dan menggelapkan wang tidak kurang RM3 juta ringgit yang dikutip sebagai pelaburan ala skim cepat kaya ke syarikat miliknya.
Bertopengkan syarikat pelaburan pesisir pantai (offshore), skim dikendalikan artis itu menjanjikan pulangan ‘luar biasa’ hingga boleh mencapai keuntungan 50 peratus dalam tempoh tidak sampai tiga bulan bergantung kepada jumlah yang dilaburkan.
Kegiatan artis disanjungi ramai peminat itu terbongkar selepas seorang mangsanya tampil membuat pendedahan mengenai kegiatannya kepada Metro Ahad.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wani mendakwa artis terbabit mula mempengaruhi mangsa sejak dua tahun lalu dengan mensasarkan individu yang sebelum ini pernah tertipu dengan satu skim pelaburan yang dikatakan berasaskan saham syarikat rokok antarabangsa.
Wani berkata, kerja memujuk dan mempengaruhi mangsa dilakukan isteri artis itu dan kakitangan syarikatnya yang bijak bermain kata-kata dan simpati atas kerugian yang dialami mangsa.
“Apa yang membuat saya terpengaruh ialah janji mereka hendak membantu menampung kerugian yang terpaksa ditanggung gara-gara menyertai pelaburan syarikat rokok itu.
“Isteri artis itu dan kakitangannya berkata: Jika saya menyertai pelaburan syarikat mereka, saya akan mendapat pulangan berganda dan mampu menanggung kerugian terdahulu,” katanya.
Menurut Wani, satu lagi faktor yang membuat dia terpengaruh dengan skim berkenaan ialah artis terbabit popular, disenangi ramai dan nampak baik.
“Siapalah yang tidak percaya dengan artis itu. Dia popular dan saya yakin dia tidak melakukan penipuan. Lagipun, jika dia tipu, dia nak lari ke mana. Semua orang kenal dia,” katanya.
Berbekalkan faktor itu, Wani mempercayai setiap janji yang ditaburkan sehingga sanggup mengeluarkan lebih RM100,000 untuk menyertai pelaburan diperkenalkan artis terbabit.
“Saya ada tanya sama ada pelaburan terbabit sah daripada segi undang-undang, tetapi isteri artis itu beritahu pelaburan dibuatnya tidak membabitkan bank negara kerana ia pelaburan pesisir pantai.
“Wang yang diperoleh tidak masuk secara terus di bank tetapi menggunakan pengurup mata wang asing. Daripada situ barulah masuk ke dalam bank,” katanya.
Untuk memberi lebih keyakinan kepada pelabur, kata Wani, dalam tempoh beberapa minggu selepas memasukkan wang dan menandatangani surat perjanjian, cek imbuhan daripada pelaburan diserahkan dan boleh ditunaikan pada tarikh ditetapkan.
“Sebagai contoh, wang RM100,000 yang saya labur pada Julai akan mendapat pulangan sebanyak 50 peratus pada September berjumlah RM150,000. “Ada juga kiraan lain membabitkan jumlah dan tempoh tertentu, tetapi keuntungannya tidak kurang daripada 30 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, Wani berkata, apabila tarikh cek diberikan itu matang, ia tidak boleh ditunaikan dan pihak bank memberitahu, tiada wang dalam syarikat pelaburan itu.
“Ketika itu, saya mula berasa tidak sedap hati,” katanya yang memaklumkan segala urusan terbabit bermula dari Julai hingga Oktober 2008.
Masalah dihadapi Wani turut berlaku kepada pelabur lain sehingga semua pelabur bersemuka dengan artis itu untuk mendapat penjelasan.
“Satu perjumpaan dibuat pada penghujung 2008 dan artis itu meyakinkan kami dengan memberi pelbagai alasan. Ketika itu barulah artis terbabit beritahu ada satu lagi syarikat menguruskan pelaburan kami.
“Artis itu beritahu, wang kami sudah diserahkan kepada syarikat terbabit dan menunggu masa untuk mendapat pulangan,” katanya.
Kata Wani, ketika didesak menunjukkan bukti penyerahan wang kepada syarikat yang didakwa menguruskan pelaburan itu, artis terbabit tidak dapat berbuat demikian.
“Selepas pertemuan itu, susah nak jumpa dia dan hanya bergantung kepada panggilan telefon serta SMS. Pada mulanya dia jawab telefon, SMS kami, tetapi lama kelamaan langsung tak jawab. “Selepas menyedari sekali lagi ditipu saya membuat laporan polis, begitu juga mangsa lain,” katanya yang kali terakhir sempat bertemu artis terbabit awal tahun lalu.
Wani dan mangsa lain sudah memberi keterangan kepada polis, namun sehingga hari ini belum ada sebarang tindakan dikenakan kepada artis terbabit.
“Saya dan mangsa lain ambil inisiatif sendiri dengan cuba secara baik meminta wang kami dikembalikan, tetapi banyak halangan. Saya pernah tidak dibenarkan masuk ke rumahnya jika hendak meminta wang,” katanya.
Dia juga sudah cuba mengesan syarikat artis itu yang beralamat di Wilayah Persekutuan Labuan, tetapi ternyata alamat itu hanyalah syarikat yang menguruskan hal ehwal kesetiausahaan beberapa syarikat.
Wani yang pernah berjumpa beberapa mangsa lain mendakwa artis terbabit sekurang-kurangnya sudah mengutip lebih RM3 juta.
Kini, Wani dan beberapa mangsa sudah melantik peguam bagi mengheret artis berkenaan ke mahkamah dan mereka kini dalam proses mengumpul dokumen dan bukti.
Sementara itu, seorang lagi mangsa mendakwa artis berkenaan bukan hanya gagal memberi keuntungan sebanyak 35 peratus bagi pelaburan berjumlah lebih setengah juta ringgit tetapi juga gagal mendapat kembali wang dilaburnya.
Lelaki yang juga tidak mahu mendedahkan identitinya itu, berkata dia mula terbabit dalam pelaburan berkenaan apabila melakukan perjanjian rasmi dengan artis itu pada Ogos 2008 selepas diyakini dan keupayaan pelaburan yang menjanjikan pulangan besar berdasarkan jumlah dilaburnya.
Katanya, dia kemudian memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank syarikat artis berkenaan pada hari yang sama melakukan perjanjian dengannya.
“Artis berkenaan berjanji saya patut terima wang pokok bercampur faedah sebanyak 35 peratus iaitu hampir sejuta ringgit pada penghujung September 2008. “Saya ada menerima cek yang ditandatangani oleh artis itu sendiri bertarikh Oktober 2008, tetapi apabila saya mahu menunaikan di bank didapati ia tidak laku disebabkan tiada wang di dalam akaun syarikat terbabit.
“Apabila saya mengemukakan masalah itu, artis berkenaan berjanji mahu melunaskan semua wang saya bersama faedahnya tetapi sejak Oktober 2008 hingga sekarang hanya tinggal janji kosong. “Akibat tindakannya itu, saya kini sudah hilang kepercayaan kepadanya dan yakin dia sudah tipu saya,” katanya yang turut mengemukakan salinan laporan polis kepada Metro Ahad.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis pada penghujung tahun 2008 bagi meminta siasatan dapat dibuat terhadap artis berkenaan kerana berasa ditipu dan diperdayakan olehnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: