Monday, January 4, 2010

Dengarnya... Meluat artis suka merepek


KALAU Cik Normah cakap dunia hiburan ini penuh dengan lakonan dan propaganda, nanti ramai kawan-kawan artis kita marah. Tapi memang itulah hakikatnya. Kadang-kadang Cik Normah menyampah dengan sikap artis yang suka berlakon dan bermuka-muka.

Di kalangan sahabat sendiri pun mereka tergamak buat begitu. Itu belum lagi artis yang suka mengutuk dan mengata sesama artis, padahal Cik Normah tengok orang yang dikatakan itu selamba saja. Yang lebih sebenarnya orang yang mengata. Dengan semua orang dia nak buat musuh, semua orang dituduhnya jahat macam dia seorang saja baik.

Teman baik Cik Normah, Siti Muara baru-baru ini bersungguh-sungguh marahkan seorang artis kerana suka sangat memburukkan rakan artis. Meluap-luap darah Siti Muara mendengar artis itu dengan pengurusnya mengumpat lepas seorang demi seorang ketika berada dalam set penggambaran. Nak ditegur takut si artis tarik muka, nak ditampar nanti dia pula yang kena. Jadi lebih baik diamkan diri dan dengar saja si artis ini merapu entah apa-apa.

Kalau duduk berkumpul dengan mereka ini, berjam-jam pun boleh mereka mengumpat artis lain. Ibaratnya kalau mengait, siaplah satu kaitan. Pendek kata tak boleh tengok artis lain lebih dari dirinya, paling Siti Muara tak tahan mereka mengatakan yang si polan bomoh dia. Si polan seorang lagi pun begitu juga dituduhnya bomoh dia. Hebat sangat ke sampai semua orang nak bomoh dia? Padahal kata Siti Muara jika dia melepak dengan artis-artis yang disebutkan, tak pernah sekali pun dia dengar mereka menyebut namanya.

Jadi siapa sebenarnya yang bersalah sekarang? Dia yang baik atau mereka yang jahat? Tapi dari pemerhatian Cik Normah, kalau begitulah caranya artis ini memang sah-sahlah dia yang tak betul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: