TINGGAL enam hari saja lagi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 hendak dilangsungkan. Cik Normah pun antara yang tak sabar menantikan kehadiran AJL24, pada Ahad ini. Tak sabar sebenarnya bukan apa, Cik Normah nak tengok sejauh mana hebatnya AJL seperti yang dicanang oleh orang kuat TV3.
Dalam pada semua sibuk menghitung hari untuk datang ke AJL, Cik Normah dengar cerita si pengacaranya, Faizal Ismail kini sedang gundah gulana. Bukan Faizal Tahir tau. Ada yang keliru atau tersasul antara Faizal Ismail dan Faizal Tahir.
Faizal risau apabila memikirkan dia tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengacara kerana kakinya tercedera.
Aduhai! Ketika Anugerah Skrin baru-baru ini si Fara Fauzana bertongkat, apabila AJL pula teman yang bergandingan dengannya menerusi slot Hot FM Am Krew pula tercedera. Nampaknya, giliran Faizal pula yang bertongkat jawabnya.
Kita ini semua insan biasa, manalah nak jangka semua benda akan berlaku di saat-saat begini. Betul tak Faizal? Kalau tahu semua ini akan berlaku, Cik Normah yakin siang-siang lagi Faizal akan lebih berhati-hati dan tak mahu lasak-lasak.
Reda dan sabar itu sajalah yang boleh Cik Normah katakan. Takkan kita nak menyalahkan takdir pula? Tak mengapalah Faizal. Kalau rasa sudah baik sikit dan boleh menjalankan tugas disamping Ally Iskandar dan Cheryl Samad, teruskan sajalah tanggungjawab itu. Kalau kena bertongkat, bertongkat sajalah.
Tak pun buat macam Fara Fauzana hari itu yang mengacara dalam keadaan duduk, yang penting celoteh tetap meletup!
Cik Normah tak sabar lagi nak menyerbu Stadium Putra Bukit Jalil, maklumlah nak tahu siapa yang menang nanti. Cik Normah juga sudah menimbang tawaran dari seorang tauke butik yang nak taja pakaian Cik Normah untuk ke AJL nanti. Kelas Cik Normah tau! Ingat artis saja yang boleh ditaja.
Baju yang ditawarkan ialah kebaya tapi diberi sentuhan moden. Kalau sesiapa nak kenal Cik Normah senang saja, cari saja wanita dengan kebaya warna merah jambu dengan kain meleret.
Cik Normah teruja sebenarnya bukannya apa, Cik Normah teringin sangat nak berjumpa dengan penyanyi pujaan Cik Normah, siapa lagi kalau bukan Faizal Tahir! Cik Normah berdoa Faizal Tahir sudah sembuh sebab Cik Normah nak sangat dengar dia mendendangkan lagu Bencinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: