![]() RAIS bersalaman dengan Adinan selepas taklimat pembiayaan dana industri kreatif di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
Pinjaman maksimum RM5 juta dengan kadar faedah dua peratus setahun
DANA Industri Kreatif sebanyak RM200 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada sesi Bajet2010, Oktober lalu, tidak diberikan secara percuma, sebaliknya disalurkan dalam bentuk pinjaman.
Sehubungan itu, semua karyawan seni tanah air jangan lagi beranggapan dana RM200 juta itu akan diberi dalam bentuk geran yang boleh dipohon bagi memulakan sesuatu projek seni seperti filem, muzik, media baru, rekaan dan kraf.
Jumlah pinjaman maksimum yang boleh dibuat oleh mana-mana karyawan seni ialah RM5 juta, manakala minimum RM50,000 dengan kadar faedah semasa projek bertempoh atau grace period sebanyak dua peratus setahun dikira secara bulanan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, mereka yang terbabit secara langsung dengan aktiviti seni dan kreatif layak untuk mendapatkan dana itu walaupun dalam bentuk pinjaman.
“Tiada di dalam dunia ini, kerajaan menyediakan dana secara percuma. Namun penyediaan dana dalam bentuk pinjaman ini layak dipohon bagi mereka seperti pemilik tunggal, pemilik bersama dan syarikat Sdn Bhd dengan kadar faedah yang sangat kompetitif.
“Kerajaan juga melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menguruskan dana ini bagi membiayai keperluan kewangan bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam industri kreatif.
“Selain itu juga, kerajaan sudah menetapkan supaya setiap entiti perniagaan yang terbabit dalam aktiviti kreatif ini mesti dikuasai sekurang-kurangnya 51 peratus oleh warga negara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi taklimat berkaitan Pembiayaan Dana Industri Kreatif di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf, Pengurus Besar yang juga Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning dan penggiat industri seni kreatif, termasuk karyawan filem tanah air.
Dr Rais berkata, tujuan pembiayaan adalah bagi menyediakan sebahagian pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu penerbitan, pembelian aset dan lain-lain aktiviti berkaitan.
“Ini bermaksud sebarang pembabitan atau usaha yang mana pengeluaran produk adalah bagi pasaran di dalam dan luar negara untuk keuntungan. Mana-mana pemohon yang sudah mendapat sokongan kewangan berbentuk geran dari agensi kerajaan sedia ada, untuk projek yang sama adalah tidak layak memohon,” katanya.
Antara bidang yang tersenarai di dalam Industri Kreatif terbahagi kepada empat iaitu Audio Visual dan Media Baru yang membabitkan animasi, interaktif, mobile, kandungan internet, penerbitan secara talian (on-line publising), penerbitan filem dan TV serta muzik.
Selain itu bidang Rekaan iaitu rekaan produk, fesyen, aksesori dan seni reka serta seni bina.
Bagi Seni dan Kraf pula membabitkan Seni Persembahan, Galeri Seni/Muzium, kraftangan, arca, arkib, warisan dan antikuiti dan seni tradisional, manakala Bidang Media Cetak mengkhusus kepada penerbitan dan penulisan saja.
Pemohon boleh memohon dengan cara bertulis dan dialamatkan kepada Bank Simpanan Nasional, Jabatan Pengurusan Kredit, Tingkat 6, Wisma BSN, 117 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur. Juga boleh menghubungi 03-21623222 sambungan 5425/5112 atau layari laman sesawang www.bsn.com.my.
INFO: Ringkasan Terma Pembiayaan
Diskripsi - Terma dan Syarat
- Semasa Projek Bertempoh (grace period) sebanyak 2 peratus setahun dikira secara bulanan.
- Selepas Projek Bertempoh tamat sebanyak 4 peratus dikira secara bulanan.
- Faedah diakrukan sepanjang tempoh projek.
Apa Kata Mereka
Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim
“Dengan Dana Industri Kreatif ini, ia adalah satu suntikan sangat besar dan kesannya kepada pengkarya dalam industri kita. Jika dilihat bukan saja dalam industri filem dan televisyen tetapi juga banyak bidang. Ini membuka satu pintu untuk orang seni masuk dan menyumbangkan aktiviti mereka. Dulu kebanyakan orang dalam industri ini bergantung kepada agensi kerajaan saja. Sekiranya dana itu digunakan sebaik mungkin oleh orang seni, sudah tentu kita akan mampu menghasilkan lebih banyak produk seni tahun depan.
“Melalui Finas juga, kita mempunyai skim pinjaman filem cereka yang sedia ada dan ini akan berterusan, Sekiranya seseorang itu mendapat pinjaman melalui Finas atau sumbangan lain-lain agensi dan badan yang lain, mereka tidak layak memohon untuk dana ini,” katanya.
Pengarah Urusan, Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusuf Haslam
“Saya nampak dana ini satu usaha yang baik untuk mengangkat industri filem. Kita harap ia digunakan oleh orang industri dengan jujur, jangan ada yang mengambil kesempatan untuk buat duit. Ini berlaku dulu di mana ada mengambil dana atas kepentingan peribadi. Kalau a ambil secara jujur Insya Allah ia akan dapat deposit dengan baik.”
Pengarah Urusan, Metrowealth International Group (MIG), David Teo
“Dana ini adalah satu usaha keprihatinan kerajaan di dalam industri seni. Apa yang penting orang yang meminjam harus jujur, ikhlas dan yang betul-betul serius di dalam industri ini.
“Kita tidak mahu mendengar ada yang cuba mengambil kesempatan untuk mengambil dana ini sebagai batu loncatan untuk ‘enjoy’ tetapi tidak membayar balik apa-apa kepada kerajaan kita.
“Pesanan saya, orang yang ingin menggunakan dana ini haruslah menggunakan sebaik mungkin. Buat masa ini saya belum pernah memohon mana-mana dana namun saya bersedia membantu menguruskan dana ini sekiranya diperlukan untuk memastikan dana ini dikembalikan semula dengan cara yang betul,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: