Jazz merujuk kepada muzik di kota Chicago pada tahun 1915 yang kemudian menular ke seluruh dunia dan dimainkan dari kelab-kelab hingga ke dewan-dewan.

DUKE Ellington pernah menyatakan: "Anda perlu mencari jalan untuk menyampaikannnya, tanpa mengatakannya." Bukan khusus untuk mereka yang agak 'lemah semangat' atau mempunyai minda tertutup, jazz dalam bentuk muziknya membicarakan dengan lantang mengenai kreativiti individu, yang disulami ekspresi unik dan gabungan harmoni serta melodinya.
Dilahirkan daripada pertembungan tradisi muzik Afrika dan Eropah, jazz muncul pada permulaan kurun ke-20 dalam kalangan komuniti Afrika Amerika di selatan Amerika Syarikat (AS).
Jazz mula digunakan bagi merujuk kepada muzik di kota Chicago pada tahun 1915. Merupakan satu budaya eksport dari Amerika, jazz menular ke seluruh dunia dan dimainkan dari kelab-kelab hingga ke dewan-dewan.
Nilai estetiknya merangkumi muzik blues tradisi sehingga kepada yang lebih kontemporari lalu memberi inspirasi kepada pemuzik seperti George Gershwin dan The Beatles.
Jazz juga terus menyerapkan pelbagai pengaruh daripada budaya muzik tempatan dan serantau.
"Bila bercakap tentang jazz, semuanya adalah mengenai kreativit," menurut Paul Augustine, Pengarah Festival Jazz Pulau Pinang ke-6 yang diadakan baru-baru ini.
Festival empat hari itu merupakan majlis yang boleh dianggap satu perayaan jazz di mana ahli muzik dari dekat dan jauh mempersembah hasil daripada daya imaginasi mereka.
Takut berubah
Menurut Augustine, tarikan universal bagi jazz telah terbukti dengan adanya lebih banyak festival jazz dibandingkan dengan festival muzik lain di dunia.
"Dengan jazz, tiada sekatan umur, tiada perbezaan warna dan merangkumi semua genre terutama yang berkaitan dengan seni. Jazz ialah perkataan. Masyarakat yang memberikan nama padanya," kata Augustine.
Tambahnya, elemen utama dalam jazz adalah penambahbaikan. Dengan penambahbaikan jazz, strukturnya fleksibel dan membenarkan ahli muzik bergerak ke pelbagai arah sama ada muzik dunia, pop, rock atau juga tarian.
Tetapi, penambahbaikan merupakan satu tindakan kreatif yang masih mendatangkan kegusaran pada sesetengah pemuzik tempatan.
![]() |
| PAUL AUGUSTINE optimis terhadap perkembangan muzik jazz tempatan. |
Tambahan pula, dalam jazz tiada yang betul atau yang salah. Inspirasi ketika itu boleh mendatangkan penambahbaikan yang paling berani dan menyegarkan.
Pada festival tersebut, persembahannya begitu memukau dari aspek penambahbaikan seperti persembahan Buzz Bros Band dari Belanda dengan olahan mereka terhadap lagu, Burung Kakak Tua.
Tiada sekatan, tiada peraturan
Kumpulan jazz dari Norway, In the Country, tidak begitu gemar menjadi konservatif. Dianggap sebagai kumpulan yang membawakan kombinasi jazz eksplotari dan rock progresif klasik, kumpulan itu antara yang paling inovatif muncul dari dunia muzik jazz Norway.
"Kami (orang Norway) agak melankolik. Persekitaran yang tandus, sejuk dan gelap memberi peluang kepada kami menceritakan dari mana asal kami. Kami mahu memperkenalkan muzik jazz nordic kepada Asia," kata ketua dan pemain piano, Morten Qvenild.
Band itu yang juga mempunyai pemain bass Roger Arntzen dan pemain dram Pål Hausken, menghasilkan bunyi unik mereka setelah mendengar pelbagai muzik daripada klasik hinggalah kepada country dan western serta juga rock and roll.
"Apa yang saya suka mengenai band ini adalah kami mempunyai ruang terbuka dan kebebasan untuk melakukan improvisasi. Kami tidak menetapkan apa-apa sekatan terhadap muzik kami selain kami mempunyai sikap rock yang progresif," kata Hausken.
Jelajah budaya mozek
Wira gitar dari Brazil, Paulo Bellinati dan Cristina Azuma, begitu menyerlah dlam festival itu. Pasangan ini merupakan pemuzik ternama yang pernah menerima pengiktirafan antarabangsa semasa masing-masing bergerak secara solo.
Pasangan ini memainkan karya dan penataan asal Bellinati yang mencakupi gaya seperti Maxixe, Seresta, Brazilian Waltz, Choro, Samba, Frevo, Maracatu, Jongo dan Xaxado.
"Saya bangga kerana dapat mengikuti warisan komposer dari Brazil yang menjangkau 100 tahun sejarah gitar," kata Bellinati sambil memetik gitar. Muzik yang dimainkan pasangan ini sungguh menyentuh kalbu.
Sememangnya Bellinati mengambil inspirasi dari negara asalnya, Brazil.
Katanya, "Masih banyak lagi stail muzik Brazil yang saya belum temui. Saya menghayati apa yang saya dengar, dari persekitaran bandar hinggalah ke kawasan pendalaman." Berpasangan sejak 20 tahun lepas, latar belakang Azuma sebagai pemetik gitar klasik telah menonjolkan lagi gabungan muzik klasik, Afrika serta Eropah pasangan ini.
"Rakyat Brazil bangga dengan budaya dan sejarah mereka. Melalui muzik, kami punya persamaan jati diri walaupun mempunyai latar belakang berlainan," tambahnya.
Walaupun muziknya dikatakan jazz dari Brazil, Bellinati menegaskan: "Stail saya memang unik. Ia bukan komersil tetapi saya berusaha menghasilkan rentak yang padu dan baik. Saya lebih gemar menggelarnya muzik Brazil untuk gitar."
Memperkaya legasi Jazz Malaysia
Augustine berharap festival itu dapat mencetuskan inspirasi dalam kalangan golongan muda Malaysia untuk memanjangkan lagi nilai kreativiti mereka.
Terlampau banyak muzik yang sama jenis, kata beliau, dan festival itu diadakan untuk menimbulkan sesuatu yang baru.
Arena persembahan jazz lain pada tahun ini membantu menyerlahkan bakat jazz tempatan seperti Ray Cheong Trio, Rhapsody dan Tokyo Blue.
Band dari Malaysia, Island Palm Beach Boys yang memainkan jazz gaya Hawaii, mengingatkan pendengar terhadap warisan jazz Pulau Pinang serta membawa kita kembali ke era 1940-an hingga 1960-an di pulau itu.
"Rakyat Malaysia mempunyai hubungan dengan jazz sejak sebegitu lama, terutama di Pulau Pinang. Pemuzik seperti Jimmy Boyle dan adik-beradik Rajamoney berasal dari negeri ini. Jelas, Malaysia juga mempunyai legasi jazz yang kaya."
Festival di Pulau Mutiara itu juga mampu menempa nama negara di persada antarabangsa kerana barisan pemuziknya pernah menjayakan persembahan di festival-festival jazz di Taiwan, Korea, Singapura dan China.
"Ia merupakan petanda positif apabila mereka datang menonton festival ini. Kita cuma boleh berharap," kata Augustine.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: