Sunday, January 3, 2010

Soal hati Fahrin


BIAR dahsyat dugaan yang datang beriring pelbagai andaian, namun untuk berganjak ke belakang adalah mustahil. Tidak hanya satu episod duka mengusiknya, tapi Fahrin Ahmad kekal sebagai lelaki yang patuh pada pendiriannya.

Punya karektor mempesona, susuk tubuh tegap dengan raut wajah Melayu asli belum cukup memberi keselesaan kepada pengacara dan pelakon ini untuk menikmati perjalanan cinta yang sempurna.

Malah lebih mengundang rasa kecewa, episod cinta lelaki kelahiran Johor Bahru ini sering terkandas di pertengahan jalan, tidak seperti perjalanan kerjayanya yang mampu mengukir seribu kegembiraan.

Entah mana silapnya, langkah pengembaraan pelakon drama bersiri popular Salina, Datin Diaries, Spa-Q dan Vice Versa ini sepanjang lebih lima tahun bergelar anak seni mudah pincang setiap kali berdepan soal hati.

Bermula dengan episod 'teman tapi mesra' bersama pengacara dan penyampai radio popular, Linda Onn sehingga hatinya terpaut dengan Scha Al-Yahaya, jelas Fahrin masih gagal berdayung hingga ke penghujung.

Enggan membuka pekung di dada, lelaki yang mula mencipta nama dalam bidang pengacaraan menerusi program bual bicara, XY di Astro pada 2002 ini lebih selesa tersenyum meskipun diasak pelbagai soalan.

Impak daripada segala kegagalan cinta jejaka berusia 30 tahun ini tidak hanya luka pada jiwa, sebaliknya bertalu-talu tuduhan serta spekulasi mula menyelubunginya.

Namun cukup kuat semangat pengacara program realiti Sehati Berdansa dan Gadis Melayu ini, dengan tenang sambil sempat menegaskan berkali-kali, berdiam lebih baik daripada terus berkata-kata.

"Saya sedar dengan segala persepsi orang luar selepas kegagalan cinta itu. Mungkin mereka menganggap saya bersalah, tidak setia atau apa jua andaian apabila kegagalan ini bukan kali pertama dalam masa singkat.

"Namun apa jua permasalahan dan punca berantakan hubungan cinta saya adalah satu rahsia. Ini soal peribadi yang tidak perlu saya ceritakan kepada umum bagi meraih simpati.

"Sebagai lelaki, saya menganggap segala yang berlaku adalah ketentuan dan pasti ada hikmahnya. Biarlah apa orang hendak kata atau terus menghukum kerana kebenarannya akan terserlah jua.
"Pandangan saya mungkin berbeza, namun saya yakin dan percaya dengan pendirian untuk tidak memberi kenyataan atau alasan bagi menegakkan kebenaran.


"Falsafah diri saya sangat ringkas - diam adalah senjata paling tajam dalam menyelesaikan segala masalah, lebih-lebih lagi bila ia membabitkan banyak pihak, termasuk media dan peminat.

"Lebih banyak bercakap, ia akan lebih memburukkan keadaan. Ini bukan soal takut atau menidakkan realiti, sebaliknya ini adalah cara Fahrin Ahmad," tegasnya yang berkali-kali tergelak dalam pada menyusun bicara.

Pengacara yang punya karisma tersendiri ini bagai bersembunyi di sebalik kata-katanya. Malah, Fahrin yang terkenal dengan karektor peramahnya seperti bermain tarik tali dan bijak mengawal desakan pihak media yang berusaha mencari punca keretakan yang berlaku.

Namun dalam berteka-teki dan bicara samarnya, Fahrin bersyukur kerana punya kekuatan untuk menjauhkan diri sebaik mengetahui tali hubungan itu bagai retak menanti belah.

Reaksinya masih sama, tenang sambil mengukir senyuman sejurus disogok persoalan mengenai kononnya dia bersikap panas baran dan 'kaki perempuan'. Tiada tanda untuk menafikan atau mengakui tanggapan prejudis itu, graduan jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini memberi jawapan serupa - kebenaran atas semua masalah akan terlerai satu hari nanti.

Dalam kesibukannya menerokai kehidupan dengan pelbagai aktiviti, Fahrin akui hatinya kosong.

"Jika saya sayangkan seseorang, saya bagai dirasuk untuk terus menyayanginya. Segala keinginan dan permintaan orang yang dicintai itu akan saya turutkan meskipun terpaksa berkorban.

"Bagaimanapun saya juga seperti insan lain yang tidak akan terlepas daripada kesilapan, namun untuk menjelaskan perwatakan saya yang dikatakan pemarah atau rambang mata melihat perempuan tidak perlu saya huraikan.

"Cinta itu memang menyakitkan, tapi kita secara warasnya memerlukan cinta. Walau apa saja dugaan yang datang atau cabaran dalam mengharungi cinta itu, hanya kejujuran dan keikhlasan dapat menyelamatkannya.

"Walau apa pun, saya bersyukur dan gembira dengan hidup sekarang. Saya akui yang wujudnya ruang kosong dalam jiwa ini tapi sedaya upaya saya sumbatkan pelbagai aktiviti kerjaya selain cuba menjadikan diri sibuk dengan tugasan harian. Kalau saya asyik fikirkan soal kecewa atau kesunyian, pasti segala kerja tidak selesai.

"Alhamdulillah kerja semakin banyak. Tawaran mengacara dan berlakon juga meriah sejak saya mengundur diri daripada segala kisah cinta yang boleh sifatkan sebagai dugaan buat lelaki seperti saya.

"Rezeki datang melimpah bagai mengerti dan memahami kesakitan yang saya alami, kesan daripada episod cinta yang saya lalui. Justeru, saya dapat melupakan kekecewaan dengan melunaskan semua tawaran," katanya yang kini bercuti di Krabi, Thailand bersama lapan pasangan Sehati Berdansa musim ketiga.

Terbaru, jejaka yang menjaga penampilan dengan gaya metroseksualnya dikatakan intim dengan seorang pelajar jurusan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Status sendirian tanpa kekasihnya kini memberi lebih kebebasan buatnya untuk berkawan dengan sesiapa saja. Malah, Fahrin tanpa berselindung mengakui pelajar itu adalah teman lamanya.

Tuah badan dengan pesona lelaki maskulin, Fahrin dilamar syarikat produk kecantikan, Garnier sebagai duta bagi mempromosi produk penjagaan kulit khusus untuk lelaki, Garnier Men.

Tawaran yang mustahil ditolak itu sekali lagi disifatkan rezeki buatnya selepas berjaya mengharungi segala kontroversi dan dugaan dalam hidupnya.

Memiliki kulit wajah sihat dengan bentuk fizikal yang meyakinkan, Fahrin mampu diangkat sebagai ikon untuk golongan sasaran Garnier Men.

Kini Fahrin mampu berdiri bangga. Selepas cemerlang memahatkan nama sebagai pelakon dan pengacara televisyen popular, wajah dan personalitinya turut mendapat perhatian beberapa pihak yang berani menyambarnya sebagai jurucakap.

Wajah pilihan Shell, Celcom dan Garnier Men ini berazam untuk melihat sebuah sisi yang baru dan lebih cerah padanya menjelang 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: