Tuesday, January 12, 2010

Bina pawagam di luar bandar


KEADAAN panggung wayang sekarang yang luas dan selesa menyumbang kehadiran orang ramai menonton filem tempatan.

Finas usaha majukan filem tempatan dan tingkatkan jumlah penonton

LANGKAH membina lebih banyak pawagam di negeri, bandar dan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk dari kalangan penonton filem tempatan, patut segera diambil agar industri pengeluaran filem tempatan tidak tersekat pembangunannya.

Walaupun jumlah filem yang dikeluarkan negara pada masa ini sudah meningkat, tetapi disebabkan taburan pawagam tidak meluas, sesetengah negeri, bandar besar dan kawasan ada pelanggan tidak mempunyai pawagam, filem keluaran tempatan terpaksa bergilir dengan rangkaian pawagam yang terbatas.

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), Dr Mahadi J Murat berkata, pada masa ini terhadap kira-kira 60 saja pawagam yang menayangkan filem tempatan di seluruh negara dengan jumlah penonton dianggarkan 300,00 orang. Ini amatlah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia yang seramai 26 juta orang.

Keadaan ini begitu kritikal bagi sebuah negara dan bangsa yang berasakan dirinya akan menjadi maju dalam satu dekad.

“Kekurangan dan ketidakseimbangan taburan pawagam juga adalah antara faktor utama yang menyekat perkembangan filem nasional kita. Segala usaha yang dijalankan oleh Finas untuk kemajuan filem tempatan kini tersekat dengan fenomena ini,” katanya.

MINAT orang ramai menonton filem tempatan semakin meningkat, tetapi jumlah panggung yang menayangkannya masih tidak mencukupi dan tertumpu di bandar besar saja.

“Keadaan ini juga menjadi punca mengapa sukar bagi penerbit bebas membangunkan perusahaan mereka, dan peluang pekerjaan baru bagi lepasan universiti dalam bidang berkenaan begitu sukar diadakan,” katanya.

Ketika Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) di Johor Bahru, Johor tahun lalu dihadiri seramai 500 peserta dari seluruh negara, memutuskan untuk mendesak supaya lebih banyak pawagam dibina di seluruh negara.

Kongres antara lain mencadangkan kerajaan menubuhkan ‘Perbadanan Pawagam bagi tujuan membina lebih banyak pawagam sinepleks di seluruh negara selain menggalakkan pembinaan di pawagam digital oleh syarikat Bumiputera untuk menampung keperluabn kepenontonan di pawagam selain bersedia dengan perkembangan teknologi sinema masa hadapan.

Ini kerana walaupun jumlah penduduk Malaysia bertambah, tetapi bilangan pawagam yang terdapat dalam negara ini sekarang masih kecil lagi bilangannya jika dibandingkan dengan jumlah pawagam sebelum Finas diwujudkan.

Di negeri pantai timur yang mana jumlah penonton filem Melayu adalah tinggi, tetapi terlalu kurang atau tiada langsung pawagam terdapat di negeri-negeri itu. Umumnya, penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD). Keadaan ini secara tidak langsung menggalakkan aktiviti pengeluaran VCD dan DVD haram.

Mahadi yang juga selaku Pengarah Kongres ketika ia dilangsungkan, berkata, menurut kajian Semesta, kalau dirancang dengan baik, sekurang-kurangnya 200 pawagam sinepleks atau minipleks baru di kawasan yang mempunyai kepadatan penonton filem boleh dibina.

Taburan ini (peneteration) ini juga boleh meningkatkan jumlah penonton ke pawagam sekurang-kurangnya 700,000 orang lagi.

Sasaran sekurang-kurangnya satu juta penonton filem tempatan hendaklah diusahakan untuk menentukan pelaburan dalam industri filem tempatan bukan saja boleh membawa pulangan kewangan yang baik, tetapi juga boleh merancakkan usaha pembudayaan hasil karya tempatan di kalangan rakyat Malaysia.

“Perkara yang amat dikhuatiri ialah sekiranya keadaan ini tidak berubah, bukan saja filem tempatan tidak berkembang tetapi produktiviti yang kecil ini juga boleh menyebabkan industri ini mati.

“Sementara segala usaha sedang dilakukan oleh Finas untuk meningkatkan mutu pelaburan, apresiasi dan promosi filem tempatan, langkah yang tegas, jelas dan terarah bagi menambah bilangan pawagam, iaitu menambah bilangan penonton ke pawagam patut diambil.

“Perbadanan Pawagam Malaysia yang mengawal selia, melabur dan menggalakkan pembinaan pawagam yang standard mutunya di seluruh negara mungkin boleh menjayakan objektif yang berkenaan. Ini mungkin boleh dijayakan dengan berkesan menerusi kerjasama daripada majlis daerah dan dewan bandaraya berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: