![]() THE FABULOUS CATS turut memperkuatkan filem ke-41 MIG. |
BARU saja tahun 2010 bermula beberapa hari, MIG Production Sdn Bhd melancarkan penggambaran sebuah lagi filem terbitan mereka berjudul Cuti-Cuti Cinta. Menampilkan genre komedi romantik, filem itu menjadi judul ke-41 terbitan syarikat ini.
Diarahkan oleh Ahmad Idham, Cuti-Cuti Cinta ialah filem pertama daripada 15 judul yang diharap dapat diterbitkan MIG sepanjang tahun ini.
Selain Farid Kamil dan Nora Danish yang diberikan tanggungjawab menerajui filem yang memulakan penggambaran pada 5 Januari itu, turut memperkuatkan filem berkenaan ialah kumpulan The Fabulous Cats, Zed Zaidi, Kaza, Zaibo, Azizah Mahzan, Delimawati dan ramai lagi.
Antara lain, ia memaparkan perbezaan pandangan dan gaya hidup antara dua golongan, berada dan sederhana. Pertembungan pandangan dan gaya hidup itulah yang diharap dapat menjadi tarikan utama filem berkenaan, di samping kritikan sosial serta beberapa pengajaran yang turut diselitkan Idham menerusinya.
Menurut Idham, filem itu lebih bersifat kisah cinta antara dua golongan yang berlainan pandangan mengenai kehidupan. Ia diwakili watak Omar Rudy (Farid) dan Eeva Elyana (Nora) yang bertemu di sebuah pusat percutian, apabila wanita muda daripada keluarga berada itu cuba menenangkan diri setelah dikhianati Remy (Zed Zaidi), lelaki kaya yang cuba disatukan dengannya oleh keluarga. Omar Rudy ialah seorang daripada pekerja di hotel penginapannya.
"Ia memaparkan pertembungan ideologi antara dua insan daripada latar belakang yang berbeza. Eeva mewakili manusia yang mempunyai harta dan kedudukan, serta kehidupan serba moden di kota. Manakala Omar pula lebih kepada lelaki yang datang daripada keluarga desa, serta hidup bersederhana dengan menjadikan laut antara punca pendapatan.
![]() |
| DAVID memperkatakan sesuatu kepada Farid sambil diperhatikan Idham sebelum majlis doa selamat bermula. |
"Apa yang ingin saya katakan menerusi filem ini, kehidupan bukan setakat apa yang kita nampak di hadapan mata kita. Apa pula pengertiannya bagi mereka yang berada dalam situasi berbeza, serta mempunyai cara hidup yang berlainan?" katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem berkenaan di pejabat MIG, Subang Jaya.
Selain daripada sebahagian pelakon serta kru filem berkenaan, hadir sama pada majlis ringkas itu ialah penerbitnya, David Teo.
Kata Idham, dia cuba mengetengahkan latar lokasi yang berbeza apabila kisahnya banyak bertumpu di kawasan percutian tepi pantai serta perkampungan nelayan. Visual menarik amat diharapkan apabila dia berjaya mendapatkan jurukamera terbaik, Raja Mukhriz Raja A Kamarudin.
Menurutnya, jika selama ini kebanyakan filem arahannya menampilkan Cat Farish sebagai pelakon, kini dia cuba membariskan semua anggota kumpulan The Fabulous Cats untuk menunjukkan bakat masing-masing.
Selain Cat, kumpulan yang dikenali menerusi banyak lagu popular seperti Papa Jahat, Rimas, Bawaku Terbang dan Lepaskan ini juga dianggotai Adeep, Wangi dan Zizie.
Dalam Cuti-Cuti Cinta, Cat diberikan peranan Pengurus Hotel, Mahmood, manakala tiga lagi rakannya masing-masing berlakon sebagai pekerja di pusat percutian terbabit yang berkawan rapat dengan Omar Rudy. Watak Faustina (Zizie) pula menyimpan rasa terhadap lelaki tinggi lampai ini.
David pula berkata, sebagai produser, dia sentiasa membuka peluang kepada pelakon baru dan lama untuk sama-sama memeriahkan industri perfileman tempatan bersama syarikat berkenaan. Justeru, dia tidak teragak-agak apabila anggota kumpulan The Fabulous Cats diberikan ruang untuk beraksi dalam filem ini.
Ketika yang sama, dia berkeyakinan pemilihan Nora Danish sebagai teraju utama tidak akan menghampakan mereka.
"Nora pernah berlakon dalam sebuah lagi filem terbitan kami, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, baru-baru ini. Kiranya, dialah pelakon wanita yang mempunyai babak paling banyak dalam filem berkenaan.
"Kami gembira dengan komitmen yang diberikan Nora menerusi projek terbabit. Jadi, tidak salah rasanya kami memberikannya peluang untuk menjadi pelakon utama pula dalam Cuti-Cuti Cinta. Lagipun, watak yang diberikan kepada Nora dilihat sesuai dengan gaya lakonannya," kata David yang akan melancarkan sebuah lagi filem baru, pada pertengahan Januari.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: