Sunday, January 10, 2010

Anna Rafali gusar tidak diterima




INI zaman kebangkitan band-band indie. Suka atau tidak, itu hakikat yang harus diterima oleh penggiat seni tempatan, sama ada mereka menyokong atau tidak perkembangan ini. Segala-galanya sudah berubah dan semua orang bercakap tentang kehebatan artis yang bergerak atas jalur perjuangan ini.

Fenomena band-band indie ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia seakan-akan sudah ‘berjangkit’ kepada artis solo wanita apabila kemunculan Yuna sedikit masa lalu menjadi perhatian.

Selepas penyanyi Dan Sebenarnya, kini muncul satu lagi permata baru dalam industri muzik tempatan apabila nama Ana Rafali muncul memenuhi ruang yang ada. Masih lagi dalam jaluran yang sama, tidak mustahil untuk Ana Rafali mencipta fenomena baru sedikit masa lagi.

Begitu ayu gadis yang menjengah usia 25 tahun ini memakai baju kurung moden mahupun baju kebaya, tapi bakat besar bermain gitar tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sekelip mata sahaja nama Ana Rafali popular apabila terlibat dalam satu persembahan di Angkasapuri, RTM yang menghimpunkan kelompok pemuzik indie tidak lama dahulu. Keberaniannya berlagu dalam busana tradisi nyata membuatkan dia tampil penuh kelainan.

Justeru selepas acara, Ana Rafali terus diburu oleh pihak media massa untuk mengenali siapakah gerangan pelantun lagu Hujan Di Kuala Lumpur ini.

Mengenakan imej gadis Melayu ayu, si manis ini mengakui sudah pasti setiap pergerakannya cukup terbatas. Segala-galanya perlu dijaga, tingkah laku dan perangai wajar sentiasa waspada, bimbang nanti dikatakan sebagai perosak budaya dan adat resam.

“Saya mahu menjadi diri saya sendiri, tetapi pada masa yang sama masih bertanggungjawab terhadap setiap kelakuan.

“Terlibat dalam bidang muzik tetapi masih memakai baju kurung. Walau pun janggal tetapi ia tidak salah. Saya membawa imej orang Melayu tetapi dalam masa yang sama saya masih lagi menjaga diri agar tidak terlibat dalam sebarang cerita buruk.

“Saya juga tidak mahu merosakkan imej yang ada pada diri saya ketika ini dengan melakukan perbuatan yang salah dan mengaibkan,” jelas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Selain pandai bermain gitar, Ana juga mahir dalam penciptaan lagu dan sehingga kini sudah 30 buah lagu menjadi koleksi peribadinya yang hanya menunggu masa untuk dirakam.

Bakat yang dimiliki oleh Ana sudah bercambah ketika dia masih menuntut lagi. Katanya setiap kali mencipta lagu, rakan-rakan rapat akan menjadi orang pertama yang mendengar dan mengkritik.

“Saya mahu jadi seperti M. Nasir. Dia bukan sahaja boleh menyanyi tetapi sangat hebat dalam penciptaan lagu, dan itu matlamat saya sekarang.

“Saya juga mahu menjadi sehebat dia. Jika dia boleh melakukan perkara tersebut mengapa tidak saya?

“Orang kita lebih memandang bakat dan kehebatan komposer luar sahaja. Adakah kerana orang kita masih lagi tidak cukup kuat dan kurang hebat.

“Jika itu alasannya, saya berharap saya akan berjaya mengubah persepsi tersebut agar industri muzik tempatan akan terus berkembang maju,” kata anak kesembilan daripada 11 beradik itu.

Sehingga kini, Ana sedang sibuk menyiapkan enam buah lagu yang dimuat dalam album yang akan menemui peminat tahun ini juga.

Album yang akan diterbitkan di bawah Aidit Alfian Record itu akan menjadi penanda aras kepada kebolehan Ana memandangkan kesemua lagu yang terkandung adalah hasil ciptaannya.

Akuinya lagi, dia kini berdebar menantikan reaksi peminat terhadap buah tangannya itu dan dalam masa yang sama dia juga bimbang dikatakan syok sendiri.

“Apa yang paling saya gusar sekiranya peminat tidak dapat menerima lagu saya. Sebab itu saya dan Aidit Alfian yang bertindak selaku penerbit memastikan apa yang saya inginkan menjadi kenyataan.

“Sehingga kini lagu Hujan Di Kuala Lumpur benar-benar membanggakan saya. Walaupun lagu tersebut masih lagi belum ‘boom’ tetapi ramai yang memberikan reaksi positif apabila selesai mendengar,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: