![]() |
| CERITA bahagia dari hatinya terpancar di sebalik canda yang terpamer. |
JUJUR saja, saya seperti sedikit memaksa untuk mencuri seketika masa emasnya. Berkali-kali memujuk, akhirnya Zizie sudi tetapi dengan pertimbangan kendiri supaya hal-hal yang dianggap sensitif tidak menjadi bahan hidangan kepada pembaca.
Jelas, rona-rona indah sedang bertenggek di wajah putih bersih, mengkhabarkan cerita bahagia yang sedang bersenandung dari kamar hati.
Belum sampai sebulan bergelar suri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, Zizie memohon agar cerita pernikahannya tidak diselongkar lebih dalam.
"Tolong, jangan diungkit, jangan ditanya tentang peristiwa itu lagi. Biarlah masa berlalu dengan menyimpan cerita tentang kami.
"Apa yang boleh saya katakan, saya sedang berusaha untuk mencari bahagia dengan cara kami. Selepas beberapa hari berkahwin, barulah saya menerima hakikat yang saya sudah bergelar isteri orang.
"Saya panjatkan doa kepada Ilahi, kalaulah ini adalah jalan ketentuan-Nya, saya reda, saya terima kerana saya hanyalah insan biasa yang tertakluk kepada takdir-Nya" sebutir demi sebutir bicara meluncur lancar daripada bibir.
Kepada Pancaindera, Zizie mengakui bahawa perjalanan awalnya untuk bergelar isteri turut melalui denai kepayahan yang barangkali tidak dijangka orang.
Bukan skeptikal masyarakat yang menjadi duri kebimbangan sebaliknya 'perang' dengan diri sendiri menyebabkan sehingga disaat-saat akhir sebelum ijab kabul pun, dia masih sangsi dan was-was dengan pilihan hatinya.
"Benar, perasaan saya berbolak-balik. Betul ke pilihan aku ini? Betul ke? Salahkah aku kepada wanita lain? Salahkah aku menerima cinta daripada seorang lelaki yang sudah berpunya?
"Perasaan seperti itu berlegar-legar, bersilih ganti sampaikan saya sendiri tidak yakin untuk menerima ijab itu pada awalnya. Bagaimana pun nasihat keluarga saya jadikan panduan. Mereka senang dengan suami saya kerana sifat baiknya, selain pandai mengambil hati, dari raut wajahnya terpancar jiwa keikhlasan apabila sanggup bertemu keluarga dengan baik dan melamar.
"Akhirnya saya nekad dan setelah 'sah' kami diikat, segala sangsi dan ragu hilang.
"Saya rasakan semua wanita memiliki perasaan itu, dan hari ini saya sudah semakin bijak menyesuaikan diri dengan keadaan. Paling penting dalam hidup saya ketika ini ialah menjaga hati dan perasaan pihak lain, keluarga suami yang terlebih awal hadir dalam hidupnya.
"Saya tidak pilih takdir ini, tetapi ia datang kerana tuhan telah mengatur jodoh saya dengan baik. Barangkali dia adalah lelaki terbaik untuk saya maka kami dijodohkan.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa perkahwinan kami bukan rahsia, bukan juga di luar negara. Ia berlangsung secara tersusun, diatur dengan baik dan dihadiri oleh semua ahli keluarga saya," tegasnya.
Tidak merahsiakan tarikh sebenar pernikahan itu berlangsung (tetapi maaf, ia bukan untuk ditulis kata Zizie), majlis secara sederhana itu diadakan di ibu negara dengan salah seorang abangnya yang dikenali sebagai 'Datuk Jimmy' menjadi wali mengiringi perjalanan awalnya untuk bergelar isteri.
Saudara tua yang berkongsi bapa dengan Zizie mengambil tanggungjawab itu setelah lebih 15 tahun ayahanda tercinta, kembali ke rahmatullah.
Diizinkan untuk saya melihat gambar hari bahagianya, Zizie bagaimana pun memberitahu tidak berhasrat untuk berkongsi dengan banyak orang kerana merasakan tidak perlu berbuat demikian.
l Saya tak pernah sembunyi
Menyatakan kekesalan terhadap laporan akhbar dan TV yang menyatakan dia bersembunyi gara-gara berkahwin, Zizie mahu supaya laporan lebih adil diberikan kepadanya.
Malah, tuduhan bahawa dia menyembunyikan diri daripada media selepas perkahwinan, adalah satu fitnah besar yang tidak boleh dipandang ringan.
"Kak Long (demikian sapaannya kepada saya) sendiri tahukan, saya tak pernah sembunyi. Setiap panggilan wartawan saya akan jawab. Memandangkan pada masa mereka menelefon itu, saya memang belum bernikah, saya beritahu sajalah perkara yang benar. Maknanya saya tidak pernah bohong.
"Cuma saya hanya tidak memberitahu soal perkahwinan apabila ditanya sebelum hari di mana saya sah menjadi isteri orang. Saya tidak sembunyi, saya seorang manusia yang tidak suka hipokrasi jadi kenapa saya perlu sembunyi?
"Hanya selepas kami 'sah' sebagai suami isteri, kalau ada yang tanya saya cakap benda yang betul. Akan tetapi, saya harap semua akan faham kerana tidak semua benda saya boleh cakap. Ada benda yang saya kena simpan untuk diri saya dan keluarga juga, walau pun saya artis.
"Orang kena faham yang saya juga ada hati yang perlu dijaga, ada perintah yang perlu ditaati. Jadi, salahkah saya menyimpan sedikit ruang untuk hal peribadi saya supaya tidak diperbesar-besarkan? Salahkah?" tanyanya lagi.
l Sudah lama pakai BMW
Kalau BMW 3 Series baru dengan plat pendaftaran 2121 baru dimiliki menjadi ukuran sikap materialistiknya yang dikatakan menjadi pra-syarat memilih calon suami, Zizie hanya menyungging senyuman sinis.
Menyatakan cintanya tidak boleh diukur dengan hanya sebuah BMW, Zizie memberitahu sebenarnya sudah sekian lama memandu kereta berjenama mewah yang menjadi idaman banyak artis itu.
"Ia bukan BMW pemberian suami sebagai hadiah pernikahan, tetapi saya sendiri beli. Sebelum ini pun saya sudah memandu BMW, jadi apa masalahnya. Saya jual BMW lama dan tukar kepada yang baru kerana saya sendiri mampu memilikinya, bukan duit suami.
"Jangan sesekali mengukur cinta dan kasih sayang saya dengan sebuah BMW. Cinta dan kasih kepada saya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Sekadar BMW, saya sendiri mampu untuk memiliki semenjak usia belasan tahun lagi kerana saya sudah sekian lama bekerja.
"Bayangkan sejak usia 11 tahun saya sudah pegang duit sendiri, jadi terlalu sukarkan untuk saya puaskan diri sendiri dengan membeli apa yang saya mampu?" tanyanya kembali membenarkan prinsip peribadi.
l Teruskan legasi seni
Selagi ada nyawa dan diberi kekuatan, dia tidak akan pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni yang sudah diladeni semenjak usi 11 tahun. Bertambah kukuh, apabila menubuhkan rumah produksi sendiri, 2121 Production yang bakal menghasilkan karya sendiri tidak lama lagi.
"Setakat ini sedang menyiapkan sebuah drama rantaian 13 episod, disamping dua telemovie. Itu akan dikerjakan dalam tempoh 2010, selain mencari alterbatif bisnes lain yang juga bersangkutan dengan seni.
"Sementelah sedari kecil saya sudah berdikari, saya lebih selesa kalau sehingga sekarang pun saya bekerja keras dan mencari pendapatan sendiri. 2121 Production adalah syarikat yang sudah lama saya tubuhkan tetapi memandangkan sebelum ini saya agak sibuk dengan lakonan, penerbitan tertangguh.
"Sekarang adalah masa yang paling sesuai kerana saya sudah mengambil pendirian untuk berehat seketika daripada dunia lakonan, tumpu sepenuh perhatian kepada bidang penerbitan yang saya anggap tidak kurang mencabar," katanya.
Pun bukan bererti dia mahu terus melupakan dunia lakonan. Apa yang diperlukan hanyalah memanjakan diri buat seketika dengan dunia baru sambil berehat melepaskan beban lelah yang terkumpul semenjak sekian lama.
Setelah merasakan cukup puas menghirup madu ketenangan, dia akan kembali beraksi, tetapi tidak untuk watak bersifat 'gedik' atau murahan di layar.
"Bila sudah jadi isteri orang, saya kena jaga banyak benda. Saya sedar apa yang saya buat, walaupun hanya dalam lakonan akan memberi impak kepada suami juga. Jadi, atas nasihat suami, saya tidak akan memilih watak-watak gedik atau watak yang boleh menjejaskan imej," katanya lagi.
Banyak lagi yang kami bualkan sebenarnya, tetapi bukan semua boleh ditulis dan dikhabar kepada umum. Apa yang dimahukan hanya 'doa' dan pengertian semua pihak tentang pilihan hidup yang telah dibuat.
Pun begitu, kalaulah di luar sana masih ada yang mahu terus mengutuk dan mengata, kudrat tangannya tidak mampu menutup kesemua mulut yang bercerita.
"Biarlah, kalaulah dengan mengata dan mencerca boleh menghiburkan mereka, biarkanlah mereka terus berkata-kata. Saya tidak boleh menghalang kalau orang mahu terus berkata-kata tetapi jangan sampai buat fitnah kerana lambat laun mereka sendiri akan menerima bahananya," pesan Zizie.
Dan pada ketika kami saling melambaikan tangan untuk mengucapkan selamat tinggal di petang Khamis itu, saya merasakan Zizie yang saya kenali hari ini sudah terlalu dewasa berbanding 15 tahun lalu.
Sesuai dengan usia dan status sebagai isteri orang, kematangannya semakin hebat justeru saya tidak terperanjat apabila dia menjadi manusia yang paling tenang, paling pasrah pada ketika namanya sedang dihimpit gelora nan mengganas.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: