![]() |
| |
IBARAT kata pepatah, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, dan begitulah yang diibaratkan dengan kemelut antara penyanyi Nor Hasliyah Abu Hassan, 24 tahun yang dikenali dengan panggilan Alyah dengan pasangan duetnya, Riz, serta pengubah lagunya Ajai.
Penyanyi asal Johor Bahru ini menyatakan rasa tidak puas hatinya ekoran lagu Ku Pinjam Satu Bintang, duetnya bersama Riz telah diambil dan dinyanyikan semula secara solo oleh Riz.
Lagu gubahan Ajai dan lirik oleh Roslen itu menjadi isu apabila timbul rasa tidak puas hati Alyah setelah merasakan dirinya dibelakang sama sekali dalam proses penerbitan semula.
Salah faham mungkin timbul di sini, dan diharapkan permasalahan antara Alyah seorang penyanyi muda yang berbakat besar dapat dileraikan.
Alyah mungkin kurang faham dengan segala persetujuan awal yang dimeterai antara Ajai, abangnya dan juga Maestro sebelum ini.
Dia berhak menyuarakan rasa tidak puas hatinya, tetapi kebenaran diatas kenyataan sebenarnya harus diperjelaskan kepada Alyah supaya apa yang dikatakan nanti tidak seperti ‘menepuk air ke dalam dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri.’
Tidak salah jika yang apa yang silap diperbetulkan dan yang kabur diperjelaskan demi kebaikan bersama.
Ramai yang salahkan Alyah tentang perkara yang timbul ini. Ada yang kata Alyah sengaja memperbesarkannya untuk cari publisiti?
Itu Alyah tahu, sebab ada berita yang keluar kata begitu. Bukan Alyah yang mencari wartawan agar cerita yang dianggap sensasi ini ditulis. Saya pun malas nak cerita tentang hal ini. Tahun baru ini rasanya nak lupakan saja apa yang telah berlaku. Kalau nak ikutkan, Alyah sendiri pun tidak tahu menahu yang lagu itu dirakamkan semula dalam album Riz. Bila wartawan maklumkan, barulah saya tahu.
Ada yang menganggap Alyah bagaikan kacang lupakan kulit kerana menyalahkan Ajai?
Demi Allah, Alyah tidak pernah lupa akan jasa baik abang Ajai. Itu akan Alyah kenang. Tapi dalam hal ini Alyah rasa ada hak juga untuk ambil tahu dan diberitahu tentang apa yang berlaku. Lagu itu adalah nyanyian Alyah dan Riz yang dimuatkan dalam album Alyah, jadi tidak salah kalau Alyah diberitahu terlebih dahulukan? Tapi bagi Alyah, untuk menaikkan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang bukan senang. Terlanjur abang bertanyakan hal ini biarlah Alyah cerita. Selepas pelancaran album Alyah, banyak promosi Alyah cuba buat sendiri dengan pembantu peribadi Alyah, Hafiz. Pahit getirnya hanya Alyah sahaja yang tahu. Bukan senang nak naikkan lagu itu. Alyah guna duit sendiri untuk tujuan promosi. Selepas Alyah mengalami kemalangan jalan raya, Alyah jadi putus harapan, namun kekuatan daripada dalam diri membuatkan Alyah terus berusaha. Alhamdullillah, sekarang ini Alyah dapat berdikari sendiri dan banyak show yang ditawarkan. Dari situ Alyah kumpul sikit-sikit modal untuk album single ketiga nanti.
Katanya pihak mereka telah maklumkan Alyah sebelum lagu itu dimasukkan dalam album Riz?
Itu yang saya dengar daripada ramai wartawan dan kenyataan yang pernah Alyah baca sendiri. Tapi setakat ini Alyah tidak terima sebarang surat ataupun SMS daripada mana-mana pihak tentang hal ini sebelum lagu itu dimasukkan dalam album Riz. Tapi sebelum ia berlaku, Riz ada berbincang dengan Alyah tentang hal ini, tapi ia tergantung. Alyah ingatkan tak jadi dan ia senyap begitu saja. Tahu-tahu lagu itu sudah ada dalam album dia. Alyah bercakap atas apa yang Alyah tahu dan alami saja dan itu sajalah kebenaran yang dapat Alyah beritahu. Sebenarnya Alyah tidak mahu nanti salahnya dilemparkan kepada Alyah semula.
Pernah bertanya terus kepada Ajai tentang hal ini?
Alyah ada tanya kepada Kak Liza (isteri Ajai) dan dia bagi tahu lagu itu tidak dimasukkan dalam album Riz. Waktu itu rasanya di sidang akhbar Anugerah Juara Lagu. Sedangkan album Riz itu sudah dilancarkan berbulan sebelum itu.
Alyah salahkan siapa dalam hal ini?
Bukan itu persoalannya, dan Alyah tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Bagi Alyah, lagu itu biar pun digubah oleh abang Ajai, tapi Alyah beli lagu itu untuk album Alyah. Jadi setidaknya Alyah ada juga sebahagian hak terhadap lagu itu.
Macam mana pula dengan Riz. Ada Alyah bertemu dengan dia selepas hal ini berlaku?
Tidak, biar semuanya cool dulu barulah Alyah hendak bincang. Alyah tahu keadaan Alyah jika tengah marah, jadi lebih baik Alyah senyapkan sahaja. Buat apa nak bermusuh dan bermasam muka, kerana industri ini kecil saja.Tapi Alyah dapat tahu ada berita yang mengatakan Alyah seperti menarik muka terhadap Riz.Biarlah orang hendak cakap apa pun, Alyah tak kisah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: