Sunday, January 10, 2010

10 tahun yang tidak popular




PERJALANAN mereka bukan baru bermula kerana sudah jauh kaki mereka melangkah untuk menjadi pemuzik yang disegani. Tapi entah di mana silapnya kumpulan yang menggelarkan diri mereka Matahari ini masih tidak dikenali ramai.

Apa masalah yang membuatkan mereka jadi begitu? Sedangkan Matahari telahpun wujud sejak 10 tahun yang lalu tetapi kenapa baru kini mereka teringin benar mahu menjadi seperti kumpulan muzik yang lain?

Ketika ditemui semasa sesi fotografi bersama Pancaindera baru-baru ini, Zamani selaku ketua kumpulan menjelaskan apa yang telah berlaku kepada mereka selama ini.

Bagi Zamani selama 10 tahun menghambakan diri dalam bidang muzik, mereka hanya mengadakan persembahan dari sebuah kelab ke kelab yang lain tanpa sebarang perancangan ketika itu.

“Sejak mula-mula terlibat dalam bidang muzik, saya hanya menumpukan kepada bidang nyanyian semata-mata. Saya telah merantau ke Hatyai, Phuket, Bangkok, Jakarta dan Tokyo, Jepun dalam mengejar cita-cita.

“Banyak pengalaman yang saya kutip dalam tempoh masa itu terutama cara untuk menjadi penghibur yang baik. Selain itu saya juga dapat memantapkan lagi penghayatan vokal terutama apabila bergelar penyanyi kelab,” katanya tanpa berselindung.

Bercerita lanjut mengenai kumpulan Matahari, Zamani berkata mereka sudah mempunyai ahli yang cukup sejak tahun 2003 lagi. Cuma apa yang menjadi masalah apabila Matahari tidak mempunyai apa-apa meterial untuk melayakkan mereka bergelar artis rakaman.

Masuk sahaja tahun 2008, barulah mereka mempunyai kesempatan untuk menghasilkan EP yang berjudul Cinta Touch N Go yang mengandungi lagu seperti Super Poyo dan Kasih Teristimewa yang dijadikan single utama.

Bagi menjadi sebuah kumpulan yang popular dan dikenali ramai, Zamani menegaskan yang mereka langsung tidak kisah apabila diberi peluang bermain muzik dan menjual album secara terus di pasaraya Mydin seluruh negara.

“Album sulung kami sudahpun dilancarkan di pasar borong Mydin Subang Jaya dan kami akui ini memang satu pengalaman yang menakjubkan apabila dapat turun menemui pelanggan yang datang membeli belah pada waktu itu.

“Walaupun ada yang memandang sinis usaha yang kami lakukan, kami tidak kisah dengan apa juga cakap-cakap orang. Kalau nak dengar cakap mereka sampai bila pun tak akan habis.

“Kami juga mahu mengecapi kejayaan seperti mana yang dirasai oleh orang lain,” katanya. Selain Zamani, Matahari turut dianggotai Zainul yang bertindak selaku drumer, Ijam (gitar kedua), Zaidi (bass) dan Nuar (gitaris).

Matahari kini berada di bawah komuniti Radioscope yang memayungi banyak kumpulan-kumpulan muzik seperti mereka yang juga banyak bermain muzik jalanan.

Matahari dan muzik jalanan bukanlah satu perkara yang asing memandangkan selama ini mereka juga banyak selalu membuat persembahan di merata tempat termasuklah persembahan amal.

Dari situ, sebilangan peminat mereka sudah mula mengenali Matahari dengan lebih dekat dan menjadi pengikut setia mereka sejak dahulu lagi.

Penghibur

Benar kata orang, apabila memiliki satu kelebihan sudah pasti ada kekurangan lain. Selaku vokalis Zamani juga menghadapi masalah yang ketika merakamkan album.

Selama 10 tahun menjadi penyanyi kelab, ramai yang memuji cara dia menghiburkan penonton. Tapi apabila mahu merakamkan album dia gagal menepati kriteria yang ditetapkan.

Akuinya lagi, timbul pelbagai masalah semasa proses rakaman memandangkan tidak banyak ilmu mengenai rakaman yang diperolehinya.

“Saya tidak dapat menafikan perkara tersebut dan sekarang saya masih lagi belajar banyak perkara untuk memantapkan lagi persembahan dalam album kami.

“Bukan apa, stesen radio kita juga mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihan lagu yang hendak dimainkan. Kami akur dan kami kena ikut apa yang dimahukan oleh mereka.

“Jika tidak sudah pasti lagu-lagu nyanyian Matahari sukar untuk menemui peminat dan sia-sia sahaja usaha kami selama ini,” ujarnya lagi.

Untuk tahun 2010, pelbagai perancangan telah pun diatur oleh mereka termasuklah memasarkan mini album yang sudahpun siap di seluruh negara melalui pasar borong Mydin.

Mereka juga mahu memastikan khalayak mengenali Matahari sebagai sebuah kumpulan muzik yang hebat memandangkan pelbagai meterial baru disiapkan dan hanya menunggu masa untuk diperdengarkan.

“Kami hanya mengharapkan agar peminat muzik tempatan dapat menerima muzik Malaysia untuk memastikan kelangsungan anak-anak seni seperti kami.

“Tak tahu mengapa orang kita kurang menyokong kumpulan-kumpulan seperti kami berbanding dengan pemuzik luar. Kami mengharapkan agar situasi tersebut akan berubah sedikit masa lagi,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: