Sunday, January 10, 2010

Godaan di dasar laut




NUN jauh di tengah lautan, lelaki ini bersama beberapa orang rakannya menaiki sebuah bot laju dalam perjalanan singgah di sebuah pulau.

Di situ mereka menyelam ke dasar laut untuk melihat pelbagai kehidupan di alam lain yang cukup asyik. Lalu terhasilah ketenangan tatkala melihat betapa indahnya alam ciptaan Yang Maha Esa.

Begitulah gambaran ringkas Mohd. Faisal Abd. Hamid ketika bercerita mengenai pengalamannya menjadi penyelam di lautan dalam.

Lelaki yang berasal dari Perak ini berkata, walaupun hamparan luas lautan itu kadang-kala menakutkan tetapi sebenarnya di situ, terdapat satu dunia lain yang cukup indah untuk diterokai.

“Hidupan laut seperti karang, ikan dan siput sebenarnya dapat memberikan seseorang itu ketenangan jiwa berbanding berada di daratan.

“Saya amat teruja melihat batu karang yang berbagai bentuk, ikan yang berwarna warni yang sebelum ini tidak pernah dilihat pun ada. Ia amat indah dan memukau jiwa. Di situlah jiwa saya dipikat,” katanya.

Menurut Faisal, minat untuk menjadi penyelam bermula ketika dia menemani rakannya mengambil lesen bagi menjalani aktiviti itu.

Kali pertama turun ke dasar laut di Pulau Perhentian, Terengganu, pengalaman itu agak mendebarkan kerana bimbang masalah teknikal akan berlaku kepada peralatan menyelam.

Tetapi syukurlah, sepanjang Faisal terlibat dengan aktiviti berkenaan, dia tidak pernah panik jauh sekali berhadapan dengan masalah besar.

Bercerita mengenai hobi, Faisal amat meminati sukan lasak seperti berkayak, lumba basikal, memanjat bukit serta meredah hutan.

Atas keinginan itu dia pernah menyertai acara sukan lasak International Iron Pound yang pernah diadakan di Taiping, Perak, tahun lalu membabitkan beberapa buah negara.

Dalam pertandingan itu Faisal memperoleh tempat kelima, satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Bercerita mengenai peristiwa malang yang tidak dapat dilupakan sepanjang menyertai aktiviti lasak itu, Faisal pernah tergelincir ketika memanjat sebuah bukit tidak lama dulu.

“Tetapi mujurlah tidak berlaku sebarang kecederaan dan saya hanya mengalami luka-luka ringan,” katanya.

Faisal yang mempunyai pendidikan dalam bidang mekanikal, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ini berkata, jika mempunyai peluang dia berminat untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon.

Ditanya jika memperoleh peluang itu apakah watak yang diidam, jawab Faisal dia mahu mencuba watak-

watak aksi yang mampu mencabar fizikalnya.

“Kalau ada orang nak ambil saya berlakon, apa salahnya? Bagaimanapun saya berminat untuk menjadi pelakon aksi. Jangan watak perogol sudahlah,” katanya berseloroh.

Ditanya mengenai teman wanita, lelaki berkulit sawo matang ini hanya tersenyum malu sebelum berkata “Biarlah pekara itu menjadi rahsia.” Apakah maknanya itu?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: