SELASA lalu Azizah Mahzan memanjangkan (forward) e-mel kepada penulis yang diterimanya daripada seseorang yang tidak dikenali berkaitan kontroversi yang melanda dirinya sekarang. |
Beberapa keping gambar ‘mesra manja’ bersama aktor Zaefrul Nadzarine Nordin yang menjadi tontonan terbaru pelayar Internet serta penampilannya di dalam drama Spa-Q yang dikategori seksi antara yang memanaskan industri hiburan ini.
E-mel yang bertajuk ‘Nie baru betol, TUA KUTUK TAK SEDAR DIRI... RUMAH KATA PERGI, KUBUR KATA MARI’ antara lain mengisi kata-kata berbunyi:
“Sekadar ingin berkongsi peringatan yang saya terima daripada seorang teman. Marilah kita ingat mengingati, jangan kita kutuk mereka tetapi marilah berdoa semoga Allah memberi taufik dan hidayah-Nya kepada mereka dan kita semua.
“Kerana sesungguhnya Allah adalah Ar-rahman (Maha Penyayang), Ar-rahim (Maha Pengasih) dan At-tawwab (Maha Penerima Taubat).”
E-mel ini disertakan sebuah artikel kecil bertajuk ‘Kerana satu klik, malapetaka berterusan diterima hingga Hari Kiamat’ yang antara lain menyentuh mengenai penyebaran bahan lucah yang berlarutan walaupun penyebar asalnya sudah mati.
Menurut pelakon berkarakter berusia 45 tahun itu, sepatutnya penyebar gambar dan memfitnahnya itu menggunakan kemudahan Internet dengan tujuan lebih baik.
“Sepatutnya mereka tahu apa yang mereka lakukan. Guna Internet untuk kebaikan,” katanya ketika ditemui di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pelakon ini sedar masyarakat mula memandang serong terhadapnya, tetapi dia mempunyai cerita di sebalik apa yang berlaku. ABIE ABDULLAH (abie@hmetro.com.my) ada kisah untuk dipaparkan.
SOALAN (S): Bagaimana Kak Z (panggilan untuk Azizah) melihat kekecohan ini?
|
AZIZAH MAHZAN (AM): Akak tak kisah apa orang nak kata, mereka bukan Tuhan nak menghukum Akak. Bukan mereka yang bagi rezeki pada Akak pun, Tuhan lebih tahu. Kawan, termasuk yang Akak tak kenali, banyak beri kata semangat (melalui SMS) tetapi bagi Akak, tak kisah pun.
|
Mungkin Akak tak tahu membawa diri sebagai artis sebab Akak tak pernah anggap Akak ini artis, orang kenal. Akak hanya jadi diri Akak, itu saja. Akak tak ‘reti’ pura-pura di depan peminat atau orang ramai. Apa yang mereka lihat, itulah Akak.
Sebenarnya banyak lagi gambar dirakam, tetapi mengapa gambar itu saja. Bukan Akak dengan Zaefrul saja ketika itu (di Langkawi, November lalu), ramai lagi kru drama Spa-Q.
Terus terang Akak katakan, Akak dan Zaefrul memang rapat, malah dengan isteri, Nina (Adelina) dan keluarganya. Jadi Akak tak fikir hal ini boleh merosakkan rumah tangga Zaefrul kerana kami lebih tahu siapa kami sebenarnya.
Kami selalu keluar bersama. Malah, kami rancang untuk bercuti ke Pulau Pinang selepas habis penggambaran Spa-Q, tetapi terpaksa dibatalkan bila benda ini kecoh.
S: Bagaimana pula dengan keluarga Kak Z?
AM: Keluarga Akak tiada masalah langsung, bahkan mereka gelak sebab macam mana gosip cinta boleh timbul di antara Akak dan Zaefrul.
Kerapatan Akak dan Zaefrul sebenarnya disalah anggap, tetapi bagi mereka yang mengenali kami, termasuk keluarga dan kru produksi, mereka faham sangat. Kes begini buat mereka ketawakan Akak saja.
Akak rasa gambar ini dijadikan isu oleh mereka yang suka mencari isu dan suka buat kecoh, walaupun sebenarnya mereka tak tahu hujung pangkal. Zaefrul mudah mesra dengan sesiapa saja, bukan dengan Akak seorang tetapi orang lain yang dikenalinya.
S: Apa kata teman lelaki Kak Z?
AM: Eh... mana ada! Akak tak ada kekasih sejak dulu lagi, sejak bercerai 21 tahun lalu.
S: Mungkin selepas ini peminat Kak Z akan lari?
AM: Begini sajalah, peminat datang dan pergi. Kalau mereka percaya dengan isu ini dan mula membenci Akak disebabkan gambar itu, terpulang kerana Akak tak boleh halang mereka.
Akak pun bukan mahu menjadi artis seperti artis lain yang ada peminat. Akak berlakon kerana hobi dan minat, lagipun Akak dulu kerja bank tetapi dek banyak sangat tawaran berlakon, Akak berhenti untuk tumpukan kepada hobi ini.
Seperti Akak katakan tadi, Akak tak mampu berpura-pura depan orang atau menjadi orang lain hanya kerana Akak pelakon dan dikenali.
S: Kejadian begini sedikit sebanyak terpalit kepada dunia hiburan kita sehingga masyarakat mempertikaikan moral artis.
AM: Hanya kerana Akak ada di dalam gemerlapan dunia hiburan! Akak setuju orang kata sebagai artis, kita dianggap idol atau role model. Dan menjadi orang popular pula kononnya perlu bersikap begini begitu, dengan kata lain, kena jadi orang lain.
Itulah kelemahan Akak, tak boleh jadi orang lain.
S: Macam mana tergamak meletakkan gambar begitu di Facebook?
AM: Akak tak letak dan tak tahu pun siapa yang letak. Akak tak tahu macam mana gambar itu tersebar, susah nak ‘trace’ siapa buat. Mungkin ada yang ‘hack’ (godam) facebook Akak.
Ia bukan daripada kamera Akak saja, ramai yang rakam gambar ketika itu dan kami kongsi. Semua gambar Akak simpan dalam ‘pen-drive’ dan ada kawan yang minta untuk ‘copy’ (salin) gambar. Itu saja dan tak sangka begini jadinya.
S: Kalau ada yang kata yang cara ini memudahkan lagi populariti?
AM: Perlu ke? Akak hanya nak berlakon, kalau boleh orang tak kenal pun tak apa sebab senang sikit Akak jadi manusia biasa. Dalam hal ini, jauh sekali nak cari publisiti. Tolonglah!
Sejak mula berlakon lagi (1990), Akak belajar daripada teater dan pegang prinsip yang ada dua pilihan — sama ada mahu populariti atau menjadi terbaik dan populariti itu akan mengiringi. Akak mahu yang terbaik, tetapi kalau tak popular pun tak apa.
Susah menjadi popular ni sebab susah nak jadi orang biasa. Kalau boleh, Akak nak minta supaya jangan letakkan Akak sebagai artis, tetapi masalahnya ini kerja Akak dan orang kenal itu sebahagian daripada kerja artis.
Kalau tak ada penggambaran, Akak takkan mekap atau pakai glamor macam artis. Macam sekarang (ketika ditemubual, Kak Z hanya mengenakan baju lengan panjang, jeans dan topi tanpa mekap). Selesa begini.
Mungkin inilah kesilapan Akak sebab fikir orang tak kenal Akak kalau tak pakai mekap. Tetap orang kenal, termasuk nyonya Cina yang tengok Spa-Q. Nak buat macam mana? Nak suruh Akak pura-pura depan orang ramai, Akak tak retilah!
Akak jenis orang yang suka pantai, pasir dan laut. Bayangkan ada peminat terserempak dengan Akak yang pakai seluar pendek di tepi pantai dan ingin ambil gambar bersama, takkan Akak nak pergi ke bilik tukar baju mengerlip dulu baru nak bergambar dengan peminat tadi?
S: Berkaitan dengan penampilan yang dikatakan seksi di Spa-Q?
AM: Apa yang dipakai oleh watak Marlia disediakan oleh pihak produksi. Mula-mulanya terkejut juga, tetapi sebab tiada baju lain dan Akak pula tak mahu bising dan mengada-ngada, pakailah mana yang diberi. Dalam episod 2 Spa-Q, Akak pernah tolak daripada memakai skirt pendek, tetapi terpaksa buat sebab tiada yang lain.
Sebenarnya kebanyakan baju penaja dalam Spa-Q, Akak pernah pakai untuk siri drama Amanah Karmila yang ditayangkan di TV2 (penggambaran Amanah Karmila siap lebih dulu daripada Spa-Q) tetapi kenapa tak bising.
Ada juga baju yang Akak pakai dalam drama hari raya tahun lalu arahan Rashid Sibir, malah dalam drama itu ada babak Akak dalam tab mandi lagi. Tak kecoh pun!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: