Tuesday, March 31, 2009

Mawarku ke seluruh negara


MAJLIS pelancaran Mawarku disempurnakan oleh Kaharudin.

Diwujudkan untuk melindungi warisan seni tari dan muzik Melayu

SEMUANYA tercetus dari sembang kosong bersama rakan seperjuangan dan sealiran yang pernah sama-sama bergelar penari dan pemuzik tradisional Kumpulan Budaya Negara (KBN).

Hasil luahan teman-teman yang merasakan diri mereka terpinggir berbanding mereka yang menceburkan diri dalam bidang seni lain seperti menyanyi dan menari, lalu timbullah idea untuk menubuhkan Pertubuhan Warisan Seni Tari dan Muzik Melayu (Mawarku).

Bukan niat untuk mencabar mana-mana pertubuhan yang sedia ada, pengasas Mawarku, Zulkifli Zain ketika ditemubual Hip berkata Mawarku ditubuhkan atas dasar untuk membela nasib penari, pemuzik tradisional serta memartabatkan seni busana Melayu supaya ia tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

“Idea untuk menubuhkan pertubuhan ini timbul sewaktu kami berbual dengan bekas artis kumpulan KBN. Ketika itu masing-masing meluahkan perasaan terkilan kerana golongan penari dan pemuzik tradisional bagai diketepikan.

“Kalau apa-apa acara terutama yang membabitkan anugerah, biasanya hanya mereka yang terbabit dengan bidang nyanyian dan lakonan saja akan diberi perhatian manakala penyanyi tak ubah sebagai tempelan semata-mata sedangkan penari suatu ketika dulu adalah duta kecil untuk Malaysia apabila mereka sering diundang mengadakan persembahan di luar negara.

NASIB penari tradisional perlu pembelaan.

“Jadi dengan penubuhan Mawarku ini kita harap, golongan penari, pemuzik tradisional dan pencinta busana Melayu tanah air akan lebih terbela dan pada masa yang sama ilmu yang mereka miliki itu akan dapat dikongsi bersama serta dimanfaatkan generasi muda masa kini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mawarku yang berlangsung di Taman Budaya, Jalan Bandar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancarannya itu disempurnakan Penasihat Jawatankuasa Penaja Mawarku, Datuk Kaharudin Mo’min. Hadir sama Presiden Mawarku, A Shazily Ismail Bakti.

Tambahnya, perhimpunan pertama yang dilakukan sebelum penubuhan Mawarku berlangsung di pusat peranginan Bukit Tinggi juga menjadi platform penting yang menunjukkan betapa kebanyakan mereka menyokong usaha Zulkifli itu.

Sambil melahirkan perasaan kecewanya dengan situasi yang menimpa golongan penari ketika ini, tegas pelakon yang terkenal dalam drama bersiri Opah ini, Mawarku diharap mampu membawa anjakan baru kepada cabang seni yang tidak kurang pentingnya itu.

“Kalau kita lihat, tidak banyak program mengenai golongan penari diketengahkan. Kali terakhir saya tonton adalah program Aslirama yang pernah disiarkan oleh RTM berpuluh tahun dulu. Program itu memperkenalkan jenis-jenis tarian tradisional di Malaysia.

“Tapi kini, kita sudah tak dapat lagi melihat program seperti itu. Mungkin selepas ini dengan sokongan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan program seperti ini akan dapat dihidupkan kembali,” jelas suami kepada pelakon Normala Omar ini.

Zulkifli berkata, penubuhan Mawarku juga akan dikembangkan ke seluruh negara.

“Kita akan menubuhkan Mawarlu di peringkat negeri dan buat masa ini kita sedang mengumpulkan orang-orang lama yang berkenaan serta ahli baru yang berminat dengan bidang ini. Setakat ini ahli berdaftar kita sudah mencecah 200 orang. Saya jumlah ahli akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau menambah tidak mustahil suatu hari nanti Mawarku mampu memainkan peranan seperti persatuan artis lain.

“Bukan sekadar membela ahli sendiri, mungkin satu hari nanti Mawarku juga mampu memberi sumbangan yang berguna dengan cara menggembleng tenaga untuk membantu pihak yang memerlukan,” katanya dengan penuh keyakinan.

1 comment:

  1. salam...saya baru jadi ahli mawarku...best masa join ke bukit tinggi...satu pengalaman yg tak dapat dilupakan.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: