Semasa berada di dalam terowong angin Sky Venture, anda akan disedut oleh kipas besar yang terletak di atas kepala.
PERNAHKAH anda terfikir untuk terbang di awangan walaupun seketika dan sekali seumur hidup?. Saya yakin bagi semua pembaca pasti jawapannya memang pernah. Pengaruh filem adihero seperti Superman, Batman dan Ironman memberikan kita suatu imaginasi untuk menjadi seperti mereka iaitu boleh terbang ke mana saja. Malah Cicakman pun boleh terbang. Sebahagian daripada kita membesar dengan filem-filem seperti itu.
Tetapi 'pergerakan' tersebut adalah mustahil untuk dilakukan dalam dunia nyata. Cuma, terdapat sedikit persamaan terbang seperti mereka dalam beberapa aktiviti sukan yang terdapat di negara ini. Malangnya sukan tersebut tergolong dalam teras sukan ekstrem. Hanya mereka yang mempunyai minat mendalam dan berani serta sanggup untuk mencuba boleh melakukannya.
Sukan payung terjun, terjunan BASE dan terjunan Bungie adalah antara sukan ekstrem yang akan memberi anda ruang dan peluang untuk 'merasai nikmat' terbang di awangan. Namun, sukan ini mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Malah kesemua aktiviti terjun itu akan membuatkan anda 'jatuh ke bawah'.
Jadi, jika anda masih juga ingin memenuhi impian untuk terbang, anda boleh mencuba sejenis sukan yang masih baru di negara ini. Terbang di dalam 'terowong udara'. Bunyinya sangat pelik tetapi Taman Peranginan Genting Highlands menyediakan perkhidmatan Sky Venture - Simulasi Luncur Udara untuk anda memenuhi impian tersebut.
Pegawai Operasi Sky Venture, Muhammad Nasir Ahmad berkata, tiada kelayakan atau syarat ketat dikenakan untuk mencuba perkhidmatan Sky Venture, asalkan anda mempunyai berat sekitar 25 kilogram (kg) hingga 114kg. Semasa melakukan aktiviti tersebut, anda akan diselia oleh jurulatih berpengalaman bagi memastikan keselamatan dan beliau juga sedia membantu anda untuk 'terbang' jika anda gagal mengimbangi badan semasa di dalam terowong tersebut.
"Perlu diingat semasa anda berada di dalam terowong itu, anda tidak akan jatuh ke bawah tetapi sebaliknya. Ini kerana anda sebenarnya akan disedut oleh kipas besar yang terletak di atas kepala," katanya kepada Kosmo!
Katanya, alat simulasi yang menyalurkan angin berkelajuan 193 kilometer sejam (875 kuasa kuda) melalui terowong menegak setinggi 15 meter itu mampu menerbangkan empat hingga lima orang serentak.
"Lebih membanggakan lagi, Sky Venture ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mula diperkenalkan sejak tahun 2002," tambahnya.
Sky Venture kini menjadi lokasi pilihan penerjun bebas untuk melakukan latihan berbagai formasi pergerakan badan. Malah badan beruniform dalam dan luar negara juga kerap melakukan latihan di situ.
"Untuk yang datang berkumpulan, mereka perlu menempah awal bagi memastikan mereka tidak mengganggu pelancong yang datang terus ke sini," katanya.
Ini kerana biasanya kumpulan seperti ini mengambil masa yang lama untuk latihan.
Hujung minggu lalu, saya dan beberapa rakan lain berpeluang mencuba sukan ini. Selepas membuat pendaftaran dan menandatangani surat aku janji, kami dibawa ke bilik latihan.
Di situ, kami diberi peralatan keselamatan seperti jaket penuh, topi keledar, kasut, pad lutut dan siku yang wajib dipakai bagi mengelak kecederaan jika terhantuk atau terlambung tanpa kawalan. Kemudian, kami diberi taklimat ringkas mengenai langkah keselamatan dan isyarat mudah yang perlu digunakan semasa berada di dalam terowong udara tersebut.
Satu-satunya jurulatih wanita di situ, Siti Delilah Ngadenin, berkata: "Kebolehan terbang banyak ditentukan oleh kemampuan mengawal anggota badan khususnya pada bahagian kaki dan tangan. Sebab itulah, penggunaan isyarat jari perlu difahami bagi membolehkan jurulatih membantu peserta membetulkan bentuk badan ketika mengapungkan diri."
Selepas menghafal beberapa isyarat tangan dan melakukan latihan pergerakan badan, kami dibawa masuk ke dalam terowong udara untuk merasai sendiri pengalaman 'berterbangan' di udara.
Untuk sesi ini, kami diselia oleh seorang lagi jurulatih, Hasleyzam Senan. Menurutnya, mereka yang baru mencuba mungkin boleh terapung sehingga lima meter manakala mereka yang sudah mahir, mungkin boleh terapung melebihi ketinggian 10 meter.
Seorang peserta, Zulkarnaen Mohd Zain, 36, berkata, beliau datang ke sini bersama isteri untuk melakukan latihan mengawal pergerakan badan bagi latihan terjunan.
"Sky Venture ialah tempat paling sesuai untuk penggemar sukan payung terjun melakukan latihan dan memperbaiki pergerakan badan," katanya.
Melihat aksi Azuan Taharuddin, 38, berpusing pusing dan terhempas ke dinding dan jatuh ke lantai beberapa kali menyebabkan kami semakin berhati-hati memasuki terowong tersebut. "Mungkin saya terlalu gopoh memasuki terowong menyebabkan saya melakukan kesilapan dan gagal mengawal badan dengan baik," kata Azuan.
"Kali terakhir saya melakukan terjunan ialah lapan tahun lalu. Saya terpaksa berhenti seketika kerana kecederaan tulang belakang akibat gagal mendarat dengan baik ketika itu. Jadi, ini adalah permulaan buat saya untuk menyambung semula aktiviti sukan payung terjun," tambahnya.
Walaupun pertama kali mencuba sukan ini, katanya, dia tidak menghadapi masalah untuk mengapungkan diri di dalam terowong angin.
"Cuma, semasa pertama kali melompat masuk ke dalam terowong, terasa badan ditolak kuat ke tepi dinding, mujur Hasleyzam telah sedia untuk memegang saya dan membantu saya," ujarnya.
Bagi Wan Norazah Wan Mahadi, 34, pula, pengalaman pertamanya di sini dimulakan dengan aksi yang agak cemas tetapi melucukan. Gogel dan topi keledar yang dipakainya hampir tercabut sebaik sahaja dia melompat masuk ke dalam terowong.
"Mujur Hasleyzam memegang dan menekap helmet serta menarik saya keluar. Selepas memeriksa semula peralatan, saya masuk semula dan kali ini baru saya dapat merasai keseronokan terbang sendiri.
"Pengalaman tersebut sukar dilupakan kerana jika sendirian memang saya tidak mampu melakukan gerakan tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: