Tuesday, March 31, 2009

Radhi tinggalkan OAG




TIDAK tertahan menanggung masalah rumah tangga dengan isteri tercinta, Shazlin Sharif, 30, Radhi nekad untuk 'hidup' bersendirian, lantas meneruskan kehidupan seperti biasa. Bukan ingin menoktahkan status sebagai seorang suami dan bapa, sebaliknya Radhi membuat pengakuan untuk meninggalkan sementara kumpulannya iaitu Old Automatic Garbage (OAG) setelah 15 tahun bersama.

"Dengan perasaan berat hati, saya ingin buat pengumuman untuk mengundurkan diri seketika daripada OAG.

"Selepas membuat perbincangan dengan anggota kumpulan OAG yang lain, Malaysian Unplugged Live @ Istana Budaya OAG Showcase bakal menjadi konsert pertama serta terakhir akustik kami," jelas Radhi yang kelihatan sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Dewan Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Barangkali ada peminat yang beranggapan Radhi seolah-olah bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak matang tanpa memikirkan perasaan anggota kumpulannya yang lain.


RADHI bakal muncul dengan lagu-lagu berunsurkan kejiwaan.


Menolak kenyataan itu, Radhi bagaimanapun mengakui sudah memikirkan semasak-masaknya tentang keputusan tersebut.

Walaupun dia sendiri berat untuk berjauhan dengan OAG, namun dia harus pasrah apabila 'berpisah' seketika dengan Fizul, Nizam, Eric dan Zul.

"Saya undur diri daripada OAG sementara waktu kerana mahu menguruskan karier solo dan bukannya sebab kami bergaduh atau sudah tidak sehaluan lagi.

"Saya kena laksanakan keputusan ini sekarang kerana sudah 15 tahun kami bersama.

"Saya memerlukan perubahan dalam karier dan kehidupan, apatah lagi niat saya disokong seratus-peratus teman-teman OAG lain.

"Bermula zaman saya masih remaja hingga ke saat ini, sudah bermacam-macam pengalaman dilalui. Sekarang, saya hendak masuk studio rakaman sambil merakam lagu-lagu luahan jiwa Radhi yang kini berumur 30 tahun.

"Elemen asli dan alternatif diserapkan dalam album terbaru saya kelak. Oleh itu, saya harap perubahan saya ini yang akan menampilkan genre muzik yang berbeza boleh diterima dengan baik oleh peminat.




"Jika ingin tahu lebih lanjut, tunggu dan lihat sahaja," tutur Radhi yang berhasrat untuk menghasilkan album yang berkonsep kolaborasi serta penghargaan untuk seniman di tanah air selepas bergerak secara solo.

Radhi menegaskan, tidak salah sekiranya dia mahu bertukar angin dengan menjadi seorang penyanyi yang mendendangkan lagu berentak balada.

"OAG tidak bubar. Cuma ambil masa juga untuk kami bersatu kembali selepas ini lebih-lebih lagi setiap anggota kami punya kerjaya tetap sendiri.

"Mereka tidak hanya jadi pemuzik, sebaliknya menguruskan kerja masing-masing. Dua anggota OAG juga sudah berkahwin.

"Jadi mereka juga hendak bahagikan masa dengan keluarga, malah mereka amat memahami situasi saya. Barangkali hidup kami selepas ini lebih teratur setelah OAG direhatkan.

"Saya juga dapatlah bercuti panjang dan berehat di kampung halaman di Sarawak selepas ini setelah bergerak secara solo," ujarnya tersenyum.

Ditanya apakah perpisahan seketika dengan isterinya menjadi faktor utama dia mahu melepaskan OAG serta bergerak solo?

Ringkas sahaja jawapan daripada pemilik nama penuh Mohd. Radhi Razali itu: "Saya kecewa dengan masalah peribadi dan bidang seni."

Pernah cuba bunuh diri

Berwajah cukup tenang, Radhi mengulas lanjut. Menurutnya, sejak OAG masih berada di bawah naungan Positive Tone, dia turut dilamar syarikat rakaman EMI untuk muncul solo pada tahun 2000.

"Waktu itu saya masih belum bersedia untuk meneruskan kerjaya sendirian disebabkan saya masih selesa bersama OAG, bahkan muzik kami masih relevan dan diterima baik oleh peminat.

"Kini dengan peningkatan usia, saya rasa perlu untuk terokai bidang muzik. Sebelum ini, ramai yang melihat saya selalu gembira seolah-olah tidak pernah ada sebarang masalah.

"Sekarang, apabila berdepan dengan masalah rumah tangga dan sentiasa hidup dalam kesedihan, saya mulai dapat banyak idea untuk menghasilkan lagu-lagu berentak perlahan.




"Jadi, saya enggan lepaskan peluang yang ada. Dengan situasi ini, saya dapat meluahkan sepenuh perasaan menerusi sebuah album fizikal.

"Bertuah rasanya apabila saya dianugerahkan bakat oleh Allah untuk meluahkan perasaan sedih dan dukacita saya melalui lagu.

"Agaknya kalau tiada bakat ini, entah bagaimana keadaan saya semasa sedang bertarung melawan perkara ini.

"Sampai satu waktu, saya macam ada keinginan untuk bunuh diri akibat terlampau sedih dan tertekan dengan masalah ini.

"Dengan adanya kawan-kawan dan anak, Mohd. Rifdhi Muslim yang kini berusia tiga tahun, saya bersyukur sangat apabila masih kuat untuk meneruskan kehidupan.

"Lantaran itu, saya enggan mempersia-siakan peluang yang ada sekali gus mencipta lagu yang lahir menerusi perasaan sendiri," ungkapnya sambil tersenyum tawar.

Sepanjang tempoh bermuram-durja seorang diri tanpa ada isteri dan anak di sisi, Radhi banyak menghasilkan karya lagu yang berkaitan dengan putaran hidupnya.

Dia tidak kisah jika dilabelkan sebagai penyanyi lagu 'jiwang' (kejiwaan) oleh peminatnya selepas ini. Salah satu lagu yang dimaksudkan adalah Infiniti.

"Lagu ini dihasilkan dalam keadaan saya tengah berperang dengan masalah peribadi. Infiniti membawakan pengertian, tidak berakhir dan tiada penghujungnya.

"Sama halnya apabila saya berharap agar rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Setiap perkara yang terjadi ada jalan penyelesaian sendiri. Lagu ini memang begitu bermakna untuk rumah tangga saya dan Shazlin," ujarnya.

Enggan bergelar bapa tunggal

Radhi secara luarannya kelihatan cukup santai dan gila-gila. Namun, tiada siapa mengerti jiwanya luka berdepan dengan masalah rumah tangga.

Radhi mengakui masih menyayangi Shazlin dan mahu mengekalkan hubungan suami isteri hingga ke akhir hayat.

Si isteri sebelum ini membuat pendedahan sudah tawar hati dan cuma ingin berbaik atas nama sahabat.

Radhi memberitahu, dia dan pasangannya sudah tidak tinggal sebumbung, selepas berakhirnya program realiti Sehati Berdansa lebih setahun yang lalu.


PENARIKAN diri Radhi direstui oleh anggota lain OAG termasuk Fizul (kiri) dan Eric (kanan).


"Saya dan isteri masih lagi berhubungan, malah saya juga masih berjumpa dengan anak saya sepanjang tempoh perpisahan seketika ini.

"Cuma hubungan saya dan Shazlin sudah tidak lagi serapat seperti dahulu. Memang tiada sebarang sebarang masalah besar yang berlaku, bahkan dia amat memahami kerja saya sebagai penyanyi.

"Kali terakhir kami bertemu pada bulan lepas. Selepas itu kami tidak lagi berjumpa, sebaliknya sekadar berhubung menerusi perkhidmatan panggilan telefon video.

"Saya mahu memberi masa kepada kedua-dua pihak mencari langkah penyelesaian. Cuma mungkin kami belum nampak lagi penyelesaian terbaik untuk rumah tangga ini," luah Radhi.

Sempat menambah, Shazlin sebelum ini pernah meminta cerai daripadanya, namun Radhi masih belum memutuskan sebarang keputusan.

"Saya selalu terdengar kawan-kawan yang berdepan dengan masalah rumah tangga. Apabila si isteri mohon cerai, mereka terus ceraikan dengan segera.

"Mereka tidak peduli langsung tentang keruntuhan rumah tangga sebab berpendapat golongan artis mudah mencari pengganti. Tetapi perkara ini tidak berlaku kepada saya.

"Kalau boleh saya ingin ulang kembali saat-saat manis semasa bercinta. Saya sudah tidak terdaya untuk hidup dalam situasi sebegini.

"Semoga Tuhan membantu memulihkan kembali keamanan dan kerukunan rumah tangga kami," pinta Radhi yang tidak menginginkan status bapa tunggal terjadi kepada dirinya.

Konsert pertama dan terakhir OAG

Meskipun sudah muncul solo, Radhi tetap menzahirkan riak teruja apabila berbicara tentang konsert OAG yang bakal direalisasikan di Istana Budaya, tidak lama lagi.

Selain OAG, pemuzik lain yang turut membuat persembahan selama dua hari itu ialah Bunkface, The Times, Projek Pistol, Auburn, Cili dan Dance To The Radio.

Menurut Radhi, mini konsert itu dianggap amat signifikan dalam hidupnya dan juga pemuzik indie lain yang ingin menunjukkan bakat mereka dalam dunia seni.

Sebagai kumpulan yang menamatkan seketika episod kerjaya mereka, sudah pastilah OAG bakal memberikan persembahan yang mantap dan bertenaga.

"Saya bangga apabila muzik kami diangkat ke Istana Budaya, yang merupakan pentas gah dalam bidang hiburan tempatan.

"Andai sebelum ini ada sesetengah golongan yang sentiasa memandang rendah muzik kami, namun akhirnya kami boleh membuktikan kepada masyarakat untuk menonjolkan bakat.

"Sudahlah pemuzik bebas seolah-olah tenggelam dan lemas di negara sendiri apabila kami sering dilabel itu dan ini.

"Dengan terlahirnya mini konsert ini, saya harap ia mampu membuka mata orang ramai untuk menghargai muzik kami.

"Kami akan menampilkan elemen tradisional sambil melambangkan adat dan budaya masyarakat di Malaysia.

"Contohnya pakai sarung dan capal. Selain itu, OAG mahu berikan persembahan santai dan mesra bersama peminat sambil mempersembahkan sebuah lagu terbaru OAG iaitu British Di Bawah Tanah Air, sebelum kami mengundur diri seketika dalam dunia seni," jawabnya panjang lebar.

Sebelum memberi kata akhir, Radhi sempat memberi isyarat inginkan mini konsert akustik itu bakal berjalan dalam situasi selamat tanpa ada sebarang kekecohan.

"Sebelum ini, konsert yang menampilkan OAG ada berlaku keadaan huru-hara termasuk pasu bunga pecah dan kerusi rosak, namun kali ini saya pinta supaya mini konsert akustik tersebut diadakan dengan aman dan tenang

"Kami ingin tunjuk bakat manakala peminat pula dapat hayati lagu-lagu yang OAG serta kumpulan lain persembahkan pada hari itu," akhiri Radhi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: