Sunday, March 29, 2009

Rozita resah digosip


HANYA ketabahan hati dan sokongan keluarga serta anak membuatkan Rozita Che Wan tenang menghadapi fitnah dan gosip.
Ibu tunggal kepada dua anak itu bersyukur dengan kejelitaan diberikan Allah, tetapi anugerah itu yang kadangkala membuatkan jiwanya resah kerana acapkali dilanda kontroversi.

HANYA ketabahan hati dan sokongan keluarga serta anak membuatkan Rozita Che Wan tenang menghadapi fitnah dan gosip.

Ibu tunggal kepada dua anak itu bersyukur dengan kejelitaan diberikan Allah, tetapi anugerah itu yang kadangkala membuatkan jiwanya resah kerana acapkali dilanda kontroversi.

Kakak kepada pelakon Ayu Raudhah ini boleh menerima apa saja gosip seadanya kerana ia harga perlu dibayar apabila menjadi anak seni.

Tetapi dia bimbang memikirkan persepsi peminat terhadapnya.

Ini kerana mereka mula bosan dengannya yang dikatakan lebih banyak menjual cerita sensasi daripada kerjaya lakonannya.

Awal minggu ini sekali lagi Rozita dikatakan berkahwin dengan seseorang yang berstatus tinggi.

Desas-desus itu disiarkan dalam ruangan Soseh Soseh (SS).

Antara kandungan SS itu, dikatakan ada seorang VIP dilihat kerap ke rumahnya walaupun ketika itu ibunya ada di rumah. Sehubungan itu Rozita tampil memberikan penjelasan.

“Saya tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul. Kami adik-beradik tinggal beramai-ramai di pangsapuri milik adik saya, Ruby yang berkahwin dengan Lan Pet Pet.



“Ayu Raudhah pun tinggal di sana juga. Emak saya sekarang yang menetap di KL pun tinggal dengan Ruby. Oleh kerana emak tinggal bersama Ruby, kami selalu berkumpul di sana.



“Adik saya, Jaja yang baru berkahwin juga selalu tidur di rumah itu. Saya juga ada dua adik lelaki lagi.

“Apabila dah kami semua tinggal serumah, kawan-kawan saya dan adik beradik lain pun akan datang ke sana. Sebab itu agaknya orang selalu nampak rumah kami ada tetamu.

“Tetamu yang datang pun pakai plat kereta biasa saja. Hairan, siapalah rajin mengintai rumah kami,” katanya.

Rozita mengakui tidak kisah dengan gosip disebarkan itu kerana ia tidak benar, tetapi kerap sangat digosip katanya, risau juga sangkaan masyarakat terhadap dirinya.

“Saya jarang bercampur dengan orang. Kalau tak ada penggambaran drama atau sesi fotografi dengan media, saya berehat di rumah bersama keluarga.

“Jika tidak pun, saya pergi melawat anak sulung (Ammar Effendy, 13) di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), Pasir Salak, Perak.

“Saya berselang seli dengan bekas suami melawat Ammar. Guru dan pelajar di sekolah itu tahu Ammar anak Rozita Che Wan.

“Apabila saya ke sana, kawannya beramai-ramai datang ke biliknya. Mujurlah Ammar sudah biasa dengan keadaan itu,” katanya.

Pinta Rozita kepada peminat, jangan salah faham dengannya kerana dia sendiri tidak mahu dijadikan bahan gosip. Jelas Rozita, situasi sebegitu membuatkannya serba salah.

“Ada peminat tak puas hati dan minta saya kurangkan kontroversi. Orang jadi muak. Kalau boleh saya sendiri mahu menghentikan segala cerita kontroversi itu, tetapi saya tidak boleh sekat orang menulis.

“Nampaknya saya kena menjaga diri sendiri dengan tidak memberi ruang orang menulis mengenai perkara yang tidak berasas seperti berkahwin dengan VIP.

“Katalah jika suatu hari nanti saya mengaku sudah berkahwin. Orang akan cari saya juga dan bertanya berkahwin dengan siapa, isteri nombor berapa serta menikah kat mana.

“Selepas itu tanya pula saya bahagia ke tidak. Jarang kelihatan bersama suami, dikatakan pula rumah tangga kami sudah tidak bahagia dan macam-macam lagi.

“Perkara ini tidak akan habis begitu saja. Ada saja cerita pasal saya yang akan keluar.

“Hakikatnya, sampai sekarang saya belum berkahwin dengan sesiapa. Kalau kahwin pun, adakah perkahwinan itu akan kekal?

“Memang ramai ‘mengejar’ namun hati belum terbuka untuk bersuami lagi. Sukar hendak menilai sama ada dia jujur berkawan dengan saya. Dalam mencari kawan, saya lebih suka menilai seseorang itu menerusi perbuatan bukan mainan perkataannya.

“Tak kuasa hendak membebankan kepala ini kerana belum tentu perkahwinan itu akan menjanjikan kebahagiaan. Saya bahagia dengan keadaan sekarang dapat melihat anak membesar serta berjaya dalam pelajaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: