Tuesday, March 31, 2009

ABPBH 2008: Nikmat dihargai




Satu pencapaian besar walaupun sekadar finalis ABPBH2008

SERING populariti dikaitkan dengan paparan kisah hangat dan kontroversi yang pantas melonjakkan nama seseorang insan seni.

Seakan membawa konotasi negatif, populariti juga acap kali dilihat sebagai ujian yang menduga sejauh mana anak seni itu mampu menangani seterusnya mempertahan kekuatan dan keperkasaan mereka untuk mara ke puncak.

Bagaimanapun, barisan nama yang sedang mekar dan mengharum dalam industri hiburan tempatan ini meniti laluan sebaliknya.

Mereka tidak bersandar kepada populariti kosong yang akhirnya memusnahkan kepercayaan khalayak kepada kemampuan sebenar.

Sebaliknya setiap mereka merasai semua nikmat itu atas usaha dan dedikasi jitu apabila mengambil keputusan untuk melangkah dalam onak serta duri dunia hiburan.

NUBHAN, Aizat, Liyana dan Juliana bakat muda di pentas seni tanah air.

Bagi finalis Artis Baru Wanita Popular, Scha Al Yahya melihat pencalonannya dalam ABPBH 2008 sebagai penghargaan dan perakuan peminat terhadap usaha serta kerja kerasnya selama ini .

Pencalonan itu juga kata Scha, memberi makna yang cukup besar kerana selain memberi bonus untuk melonjakkan karier seninya malah turut melambangkan keakraban kolaborasinya dengan pihak media.

“Ia memberi kepuasan kepada Scha kerana bukan mudah untuk membolosi Top 5 daripada senarai panjang nama yang dicalonkan untuk kategori ini. Ia juga pencapaian terbesar sekali gus membuat Scha terharu kerana peminat menghargai dan menerima kehadiran Scha dalam bidang ini,” katanya.

Pencalonan itu juga dianggapnya sebagai kuasa ‘tendangan penalti’ kerana namanya hanya menyerlah sekitar hujung tahun lalu apabila drama bersiri, Awan Dania menerima pujian ramai.

KEMUNCULAN Farid Kamil dan Lisa Surihani jadi perhatian.

“Pencapaian ini adalah sesuatu yang di luar dugaan kerana pada penilaian Scha, masih terlalu awal untuk Scha berada dalam senarai besar itu. Scha sangat berterima kasih kepada peminat yang melihat bakat yang ada dalam diri ini,” katanya terharu kerana filem seperti Antoo Fighter dan Histeria membantu menyerlahkan lagi namanya kepada pencinta seni.

Suatu yang cukup memberi makna kepada pelakon dan pengacara berusia 26 tahun ini, pencalonan itu juga memberinya ruang untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bersandar kepada populariti aktor, Fahrin Ahmad yang dikaitkan dengan dirinya.

“Scha mahu menjadi diri Scha secara individu dan alhamdulillah, semua itu tercapai menerusi pencalonan ini,” katanya.

Andai dulu, segala kemanisan sebagai anak seni popular hanya menjadi igauannya tetapi kini, jalan ke puncak sedang terbentang untuk si kecil molek, Stacy atau nama sebenarnya, Stracy Angie Anam.

Tidak ramai yang tahu sebelum segala kemanisan itu dikecapi, Stacy terlebih dulu menahan pelbagai kepahitan dan kepedihan untuk menggenggam cita-citanya.

“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan sampai ada yang datang bertanya, tidak malukah mahu turut serta lagi? Ada yang pernah berkata, carilah kerja lain kerana mungkin rezeki saya bukan sebagai anak seni.

“Tetapi saya cekalkan hati dan teruskan berusaha kerana kejayaan tidak akan datang bergolek di depan mata. Syukur kerana laluan untuk ke arah itu sudah mula terbuka sejak menjuarai Akademi Fantasia 7,” kata Stacy.

Mendaki tangga kejayaan sebenarnya turut membuatkan penyanyi berusia 18 tahun ini diburu kebimbangan. Stacy gusar jika melakukan kesilapan yang akhirnya memusnahkan segala kerja kerasnya selama ini.

Disebabkan itu, kata Stacy, dia sentiasa berdoa semoga Tuhan memberinya kekuatan untuk menempuh segala dugaan dan tidak lupa mereka yang berada di keliling yang membantu menjulang kariernya.

“Saya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku, malah penghargaan demi penghargaan membuatkan saya mahu lebih berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada semua.

“Pencalonan dalam ABPBH 2008 ini memberi semangat kepada saya malah mencabar diri untuk melakukan yang lebih baik. Semua ini bagaikan mimpi buat saya,” katanya.

Tidak kejar populariti

NAMA Juliana Evans sudah lama berlegar di kalangan peminat seni hiburan, namun gadis ini lebih senang memilih jalan hidup bersederhana.

Limpahan serta kilauan cahaya populariti tidak pernah melekakannya sebaliknya Juliana senang memilih untuk menjalani kehidupan seperti gadis lain sebayanya.

“Saya cukup bimbang apabila terlalu pantas naik, jatuhnya juga akan cepat. Jadi biar perjalanan karier saya perlahan. Lagipun saya tidak mahu terlalu dibuai populariti kerana masih ada tanggungjawab lain iaitu sebagai pelajar,” katanya.

Gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris berusia 19 tahun ini mula mengacara sejak berusia 12 tahun. Namun katanya, di kalangan peminat namanya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Disebabkan itu katanya, dia tidak menduga apabila namanya membolosi senarai Top 5 kategori Pengacara TV Wanita Popular.

“Sangka saya akan tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular tetapi lain pula yang berlaku. Pencalonan ini membuatkan saya cukup berbangga tambahan pula kategori itu membariskan ramai nama besar dan berpengalaman.

“Saya begitu terharu kerana akhirnya segala usaha yang ditumpahkan membuahkan hasil. Berbaloi biarpun terpaksa merintis jalan panjang untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

Tiada jalan pintas tanpa pengorbanan. Itu yang dirasai anggota baru The Fabulous Cats, Wangi Julianda yang terpaksa menahan kerinduan terhadap keluarga di Bandung demi memburu cita-citanya.

Suara nakal yang mempertikai kemasukannya dalam kumpulan itu tidak diendahkan. Sebaliknya Wangi mahu terbang tinggi bersama kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Bawaku Terbang.

Detik manis Liyana Jasmay dan Kenchana Dewi

BATU Pahat Mall barangkali meninggalkan kenangan paling manis buat dua nama yang begitu sinonim dengan dunia lakonan.

Liyana Jasmay dan Kenchana Dewi terharu apabila menerima kejutan meraikan ulang tahun kelahiran bersama peminat di sekitar Johor.

Kenchana yang menyambut ulang tahun minggu lalu, hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan kejutan yang dilakukan.

“Sangka saya kejutan itu untuk orang lain. Jadi saya pun beriya-iya menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi tanpa disedari ia adalah kejutan untuk saya juga,” katanya.

Biarpun diduga dengan sedikit kontroversi, namun Kenchana tenang menghadapinya. Baginya, semua itu asam garam kehidupan yang tidak perlu terlalu dipedulikan kerana ia hanya menjejaskan mutu kerjanya.

Liyana pula baru meraikan hari ulang tahunnya yang ke-21 pada 28 Mac lalu, sehari sebelum siri promosi jelajah ABPBH 2008 di Batu Pahat Mall berlangsung.

Sekadar meraikannya bersama keluarga, sambutan hari kebebasan itu juga membawa makna besar kepada gadis kecil molek ini.

Single pertamanya, Ku Tak Perlu Cinta sudah mula berkumandang di corong radio membuatkan dia teruja meniti pengalaman baru sebagai penyanyi.

“Ia sesuatu yang berbeza kerana Nana dapat bertemu satu kelompok pencinta seni yang baru. Pengalaman ini cukup menyeronokkan,” katanya yang tidak kekok untuk beraksi di pentas biarpun sebelum ini namanya cukup menyerlah dalam bidang lakonan.

Menyertai siri promosi jelajah ABPBH 2008 juga membuka ruang untuk Liyana mendekati ramai pemuzik berbakat serta berkongsi pandangan mengenai industri muzik.

“Ia permulaan untuk saya berkenal-kenalan dan berharap laluan sebagai penyanyi pada masa akan datang akan lebih mudah.

“Disebabkan masih baru dalam bidang ini, saya mengharapkan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman serta membimbing untuk saya turut mencipta kejayaan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: