BENAR kata orang — saiz bukan ukuran. Kalau sudah berbakat, pasti rezeki terhampar depan mata. Buktinya, naib juara Malaysian Idol 2 ini bukan saja bisa memanjangkan kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, bahkan turut bertugas sebagai penyampai radio di stesen radio popular, Era. |
Sebagai permulaan, dia diberi tugas mengendalikan segmen Carta Era bersama Nana bermula 4 Januari lalu. Sebulan mencatat prestasi cemerlang, dia kemudian diberi peluang mengelolakan segmen sendiri dari jam 2 hingga 6 petang setiap Ahad.
Akui Dina, tugas baru yang digalas paling mencabar kerana ia bukan saja menuntut banyak penyelidikan, malah dia perlu bijak berinteraksi dengan pemanggil kerana lain orang lain tahap pemikirannya.
“Kali pertama mengendalikan segmen 2 hingga 6 petang, saya panik. Kelam kabut dibuatnya sampai tersalah tekan butang. Mujur Adifashla memantau kerja saya, dialah yang banyak membantu.
“Meskipun pening di konti, saya seronok melayan kerenah pemanggil. Dari situ saya sedar, menjadi deejay memerlukan kita pantas dalam tindakan mahupun pemikiran.
“Kerjaya ini turut menuntut saya melakukan penyelidikan, banyak membaca dan tahu perkembangan isu semasa,” katanya ketika bertandang ke Metro Ahad, baru-baru ini.
Jelas pelantun lagu Malu Tapi Mahu ini, sedari kecil dia memang suka bercakap, tapi langsung tidak menjangka tabiat itu membawa tuah dalam hidupnya.
Bahkan, kata Dina, dia tidak pernah terfikir bergelar penyanyi dan pelakon. Apa yang ada dalam genggamannya kini diperoleh secara kebetulan.
“Saya tidak menyedari bakat saya jika orang tidak mencungkilnya. Menyanyi misalnya, saya tidak tahu saya boleh menyanyi hinggalah usia 16 tahun. Bakat lakonan pula dicungkil oleh Cat Farish dan Ahmad Idham manakala deejay, pengurusan Era yang melamar saya.
“Apapun, keutamaan saya pada nyanyian kerana ia memberi lebih kepuasan. Lakonan pula ada kelebihan tersendiri di mana saya dapat ramai kawan baru. Deejay pula mencabar mentaliti, malah kerjaya ini buat saya berfikir secara lebih intensif,” katanya yang menyambut ulang tahun ke-24 pada 7 Februari lalu.
|
Mengupas lanjut karier di Era, selepas enam bulan tempoh percubaan, Dina akan diserap sebagai penyampai tetap. Setakat ini dia lega pengurusan berpuas hati dengan penyampaiannya, malah menerima maklum balas positif pendengar, peminat dan rakan.
|
“Saya gembira bila peminat cakap suka dengan cara penyampaian saya. Malah bila ikut skuad Era, ramai ingin tahu kenapa saya jadi deejay. Saya jelaskan, ini satu cabang rezeki selain menyanyi dan berlakon.
“Sebenarnya, seronok jadi deejay kerana selain rapat dengan pendengar, saya dapat jadi orang pertama dengar lagu baru. Jika lagu itu bagus, saya boleh cadangkan ia diperdengarkan di radio,” katanya yang menjadikan Nana dan Adifashla sebagai rujukan ketika bertugas.
Berbicara mengenai karier nyanyian, Dina bakal muncul dengan album single berjudul Satu Untuk Diriku yang turut memuatkan bonus trek Malu Tapi Mahu, Sejauh Ini dan Yall Wit Me.
Menurut pelakon drama Rempit vs Impak Maksima dan filem Jangan Pandang Belakang Congkak ini, dia meletak harapan tinggi terhadap single Satu Untuk Diriku, ciptaan Lah Ahmad. Menariknya, lagu ini turut terpilih sebagai lagu tema untuk siri Hartamas yang kini rancak bersiaran di ntv7.
“Selain Satu Untuk Diriku, saya turut menyanyikan lagu tema untuk siri Rempit vs Impak Maksima berjudul Laju Lampau. Lagu ini mendapat sentuhan Ahli Fiqir dan Supa.
“Ia akan diperdengarkan apabila drama ini dimainkan di televisyen. Ikut perancangan asal, saya akan muncul dengan album penuh Mei depan, tetapi bimbang populariti lagu Satu Untuk Diriku semakin hambar, saya keluarkan dulu album single.
“Album penuh nanti akan diberi judul Dua dan diserikan dengan 12 trek lagu bahasa Melayu dan Inggeris.
“Selain Lah Ahmad dan Supa, saya menggunakan khidmat Sharon Paul, James Baum, Audi Mok, Johan Nawawi dan Imran Ajmain sebagai komposer album berkonsep pop R&B hip hop ini,” kata pemilik syarikat rakaman dan pengurusan Soulful Symphoney serta studio Purple Houz ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: