|
|
MULA melakar nama di persada muzik tanah air sekitar tahun 1979, penglibatannya sebagai penyanyi dan pemuzik sudah menjangkau tempoh tiga abad.
Masih dikenali dan terus aktif di pentas-pentas hiburan, berkarya secara konsisten dalam tempoh berkenaan 30 tahun bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Hampir empat era perubahan muzik telah ditempuhinya bermula di era 70-an, 80-an, 90-an dan hinggalah ke detik ini.
Biar penyanyi silih berganti di setiap zaman, namun, pemilik diri bernama Mohd. Fauzi Darus atau lebih komersial dengan nama Jay Jay masih mampu mengekalkan popularitinya.
Tidak pernah ada dalam kamus hidupnya perasaan jemu atau ingin mengundur diri daripada lapangan seni meski usia sudah menginjak 52 tahun.
Terbaru, Jay Jay yang pernah menjadi vokalis kumpulan Carefree muncul dengan album terbaru berjudul Emosi.
Ia merupakan album solo kesembilannya dan memuatkan empat buah lagu baru.
Empat lagu tersebut, Ku Relakan ciptaan M. Nasir serta lirik oleh Ad Samad, Permaisuriku (Omar K & Azlan Abu Hassan/Zel), Layang-Layang (Badhisham/Sakti Santiasa) dan Jangan Pergi Dariku (Badhisham/Abie Abdullah).
Kekuatan Emosi bukan sahaja pada lagu baru malah empat lagu lama yang dinyanyikan semula oleh Jay Jay turut menjadi nadi album itu.
Diberi nafas baru melalui susunan muzik dan rakaman vokal, lagu-lagu lama yang dimuatkan di dalam Emosi adalah Jauh Dirindu, Dalam Kenangan, Cukuplah Sekali dan Kekasih.
"Sepatutnya album ini sudah lama dipasarkan. Bukannya disebabkan oleh masalah-masalah lain tetapi ia berkaitan tentang proses mencari lagu-lagu bersesuaian.
"Kekuatan album ini ialah ia menggabungkan lagu baru dan lama. Sepanjang apa yang saya ketahui, empat buah lagu lama itu belum lagi dinyanyikan semula oleh mana-mana artis,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selama menjadi anak seni juga, Jay Jay sudah menghasilkan 18 buah album.
Jumlah berkenaan merangkumi tiga buah album bersama Carefree, sembilan buah album solo serta enam buah album kompilasi termasuk sebuah kompilasi duet bersama Futri Miyanti.
Menerusi Emosi, lagu berjudul Permaisuriku telah mendapat sambutan menggalakkan dan kerap diputarkan di radio swasta mahupun stesen radio kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menyambung bicara mengenai Emosi, Jay Jay berkata, untuk album terbaru itu juga, Jay Jay mengelak daripada menghasilkan sebarang lagu, lirik atau merakamkan lagu duet.
"Melihatkan trend masa kini, sesebuah album itu tidak semestinya memuatkan 14 atau 12 atau 10 buah lagu.
"Hendak mengumpul 10 buah lagu pun bukannya mudah. Artis-artis luar pun hanya meletakkan beberapa buah lagu sahaja dalam satu album dan terkini mengeluarkan single.
"Namun, saya bersyukur kerana FMC berani menghasilkan album penuh untuk saya biarpun dengan jumlah lapan buah lagu,'' jelasnya.
Dalam perbualan itu, anak seni kelahiran Kedah dan dibesarkan di Kelantan itu juga mengumumkan, Emosi berkemungkinan besar akan menjadi album terakhir buatnya.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuatnya itu tidak membawa maksud yang dia merancang untuk bersara daripada menjadi penyanyi.
"Maksud album terakhir adalah mungkin selepas ini saya akan mengeluarkan single sahaja. Lagipun, sudah 30 tahun saya berada dalam bidang seni.
"Dan penghasilan album single sangat penting sebagai bukti saya masih aktif dalam bidang seni,'' cerita Jay Jay sambil memberitahu dia akan menjayakan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya bersama penakluk Artik dan Antartika, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pada 16 April ini.
Kagum dengan band indie
Sementara itu, beralih perbualan mengenai gelanggang muzik tanah air masa kini, Jay Jay menjelaskan, sebagai seorang senior, dia mengagumi bakat-bakat baru terutamanya band-band indie tempatan.
Katanya, kebangkitan bakal-bakat baru tersebut mampu membangkitkan semula industri muzik negara yang sebelum ini bagai 'dikuasai' artis dari luar.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, kalau kita melihat, industri muzik tempatan hampir 80 peratus dikuasai artis luar.
"Senario itu memperlihatkan negara kita seakan-akan mahu menjadi seperti Singapura. Kalau dahulu, Singapura adalah pemegang kuasa muzik Melayu tetapi kini kosong. Artis-artis mereka terpaksa berhijrah ke sini.
"Oleh itu, dengan adanya band-band indie dan bakat-bakat baru lain, ia adalah penyambung kepada hayat industri muzik tanah air,'' kata Jay Jay berkongsi kebanggaannya itu.
Menurut Jay Jay juga, kemunculan band-band indie juga sekali gus membawa petanda baik kepada kelangsungan muzik tempatan.
Rahsia kekal muda
Sebagai suami dan ayah kepada empat orang anak, Jay Jay berbanding lelaki-lelaki sebayanya kelihatan jauh lebih muda.
Kekal bahagia dengan rumah tangga yang berusia 27 tahun, lelaki ini tidak terlepas sering ditanya mengenai rahsianya kekal muda dan bertenaga seperti zaman dia muda belia dahulu.
Dalam hal ini, Jay Jay sangat menitik beratkan aspek pengambilan pemakanan selain mengamalkan gaya hiduo yang sangat sederhana dalam kehidupan hariannya.
Menurut artis yang pernah memenangi anugerah vokal terbaik lelaki di Anugerah Industri Muzik 1998 ini, biarpun sering sibuk dengan kerjaya muzik, namun Jay Jay akan sentiasa memastikan dia memperoleh tidur yang mencukupi di samping mengelak daripada mengambil minuman manis dan berais.
"Saya hanya mengikut cara sendiri dalam aspek penjagaan kesihatan. Apa yang penting, kita kena selalu bersederhana dalam segala hal, baik soal makan mahupun soal hidup dan pemakaian.
"Sebagai contoh, saya akan kurangkan minum teh tarik atau minuman manis. Makan nasi pun sangat kurang,'' kata Jay Jay mendedah rahsia awet mudanya sebelum mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: