Saturday, March 28, 2009

Marsha akhirnya mengaku

Hubungan cinta antara bekas pelajar Akademi Fantasia 3, Marsha dan Kefli sememangnya sudah diketahui umum sejak dulu lagi. Namun baru-baru ini tersebar pula khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sudah berakhir. Pelbagai andaian dan spekulasi tentang perpisahan mereka, termasuklah puncanya dikatakan kerana Marsha yang sudah ‘beralih arah’ dan menjalinkan hubungan cinta dengan VIP kenamaan.

“Saya tak tahu VIP mana yang dimaksudkannya itu. Secara jujurnya saya bukan sahaja berkawan dengan ramai VIP tetapi juga dengan semua orang. Tapi tak adalah sampai menjalinkan hubungan cinta. Setakat ini, belum terlintas lagi di fikiran saya untuk bercinta dengan mana-mana VIP,” kata Marsha ketika dihubungi baru-baru ini.

Menyentuh tentang hubungannya dengan Kefli, Marsha yang pada mulanya enggan memberi komen, akhirnya mengaku hubungan mereka sudah berakhir. Kata Marsha, dia bukannya sengaja mahu merahsiakan hal sebenar tetapi dia lebih suka mengunci mulutnya daripada terus ‘mencanang’ tentang hubungan mereka.

Bagaimanapun, Marsha menafikan punca perpisahannya dengan Kefli itu adalah disebabkan 'orang ketiga' seperti mana yang digembar-gemburkan itu.

“Terpulanglah apa yang orang nak kata. Tapi untuk berkawan dengan sesiapa pun, itu adalah hak saya. Walaupun saya dan Kefli sudah putus, tapi yang pasti, kami masih berkawan baik, masih berjumpa dan masih menghubungi antara satu sama lain,” katanya.

Bukannya tidak pernah dihimpit VIP, namun aktres jelita bak ‘supermodel’ ini lebih senang memilih orang biasa berbanding VIP. Akui Marsha, bercinta dengan VIP pasti banyak risikonya dan sejak dulu lagi dia cuba mengelak dari menjalin hubungan dengan golongan ini.



Lain target, lain yang dapat

Impian utamanya ialah untuk bergelar penyanyi, namun nasibnya kini dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Selain popular menerusi drama 'online' 'Kerana Karina', Marsha juga turut membintangi beberapa buah filem termasuklah dari produksi Indonesia, iaitu 'Saus Kacang' yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Walaupun hanya untuk beberapa 'scene', namun bagi Marsha peluang untuk menyertai produksi Indonesia itu dikira sudah cukup baik. Malah dia juga merasakan dirinya sangat bertuah kerana seramai-ramai pelakon di Malaysia, dia yang terpilih untuk membintangi filem yang diterajui oleh pasangan selebriti popular, Ashraf dan Bunga itu.

“Kalau ditanya tentang kepuasan berlakon memang tak ada sebab 'scene'nya terlalu sikit. Tapi pengalaman berlakon dengan produksi Indonesia ini sudah cukup berharga buat pelakon baru seperti saya. Pengarahnya, Pak Indrayanto sangat profesional dan ‘simple’ orangnya. Begitu juga dengan Ashraf dan Bunga yang sangat mudah untuk bekerjasama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Marsha dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem 'Senario The Movie' Episode 2 dan bakal berlakon sebagai ‘cameo’ dalam filem ‘Majika’ terbitan KRU. Selain sedang menimbang beberapa tawaran lakonan yang lain, dia juga tidak sabar menantikan kemunculan album sulungnya. Kata Marsha, albumnya itu sudah hampir siap dan dijangka muncul di pasaran pada bulan hadapan.

“Pada awalnya Maestro ingin menerbitkan album mini untuk saya, tetapi kali ini mereka ingin terbitkan full album pula. Jadi ia akan mengambil sedikit masa lagi kerana ada penambahan beberapa lagu. Setakat ini saya sudah rakam empat lagu dan masih ada beberapa lagu yang belum dirakam. Selagi album ini tidak siap, selagi itulah saya tidak senang hati,” kata Marsha sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: