PETALING JAYA: Sama seperti maksud nama Aleesya iaitu 'yang dilindungi', bayi itu masih disorok daripada tatapan ramai.
Agak sukar untuk umum menatap gambar anak aktres jelita Erra Fazira dan Ketua Pegawai Operasi Suria fm Engku Emran Engku Zainal Abidin selepas Engku Aleesya selamat dilahirkan pada pukul 11.40 pagi tadi.
Walaupun berkali-kali dipujuk, Emran tetap berkeras tidak membenarkan pihak media merakamkan gambar anaknya pada hari ini kerana dia dan Erra telah bersepakat untuk menunjukkan anak mereka semasa majlis cukur jambul selepas Erra selesai berpantang nanti.
“Agak sulit juga untuk saya membenarkan pihak media merakamkan gambar Aleesya hari ini kerana doktor juga menasihatkan kami supaya tidak menganggu keadaan bayi demi menjaga privasinya yang masih kecil,” kata Emran dalam satu sidang media di lobi Damansara Specialist Center, di sini.
Tambahnya, Erra dan Aleesya akan berada di hospital dalam tempoh dua hari ini dan dijaga oleh ibunya dan ibu Emran dalam masa dua bulan ini di kediaman mereka.
Ditanya tentang perasaannya setelah bergelar bapa, Emran berkata dia berasa teruja sehingga tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
"Saya rasa seperti ajaib lebih-lebih lagi apabila melihat satu nyawa dilahirkan di depan mata," ulas Emran yang berada hampir tujuh jam dalam bilik itu.
Tambahnya, dia bersyukur apabila Erra mudah bersalinkan Aleesya dengan mengambil masa kira-kira 20 minit.
Kelahiran Aleesya disambut oleh Konsultan Obstetrician & Gynaecologist Dr. Gunasegaran PT Rajan yang dipilih oleh Erra sendiri.
Engku Aleesya dilahirkan seberat 4.04 kg secara normal di hospital tersebut.
Emran juga sempat menceritakan tentang pengalaman Erra yang menangis gembira selepas selamat melahirkan puteri sulung mereka itu. Sebelum ini, Emran pernah bernazar untuk memotong rambut pendek selepas Erra selamat melahirkan bayi sulungnya itu. Jadi, dia akan membayar nazarnya itu pada hari ini.
Harap Aleesya jadi anak solehah
Sebelum ini produser David Teo pernah memberitahu niatnya untuk mengambil anak Erra dan Emran berlakon dalam sekuel drama lakonan Erra, Mertua Vs Menantu yang sedang disiarkan di Astro Prima untuk musim akan datang.
Erra sebelum ini belum memberikan kata putus kerana mahu produser meminta kebenaran daripada suaminya sendiri.
Ditanya tentang tawaran itu, Emran berkata dia kurang bersetuju dengan tawaran tersebut.
“Saya rasa tak sesuai jika dedahkan Aleesya kerana dia masih kecil. Saya minta produksi supaya mencari bayi lain.
“Kalau boleh saya juga tidak menggalakkan anak untuk menceburi dunia seni ini.
“Biarlah ibunya sahaja yang menjadi artis kerana industri seni ini bukannya manis sepanjang masa.
“Banyak kerja lain lagi yang dia boleh terokai. Selebihnya saya serahkan kepada mak dia untuk nasihatkan.
“Mana tau Aleesya akan bergelar seorang pemain golf yang berjaya kerana ibunya suka bermain golf sewaktu hamil,” luah Emran yang berharap supaya Aleesya menjadi anak yang solehah.
Menurut Emran, Erra dijangka akan berehat selama dua bulan daripada karier seninya.
Erra dimasukkan ke hospital pada pukul 11.30 malam tadi setelah mengalami kesakitan.
Dimaklumkan, sebelum itu Erra dan Emran masih sempat berjalan-jalan di pusat membeli-belah One Utama, di sini sambil menikmati makan malam.
Terdahulu, Emran sempat memberitahu berita gembira kepada mStar Online dalam satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada pagi tadi: 'Alhamdulillah, Suria FM sudah mempunyai seorang pendengar baru Engku Aleesya, yang selamat dilahirkan pada 11.40 pagi.' Erra pernah mengalami keguguran pada awal 2008 ketika usia kandungannya dua minggu.
Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun 2007. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.
Pada 25 Oktober pula, pasangan itu dinikahkan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: