Monday, March 30, 2009

Kuantan pilihan Tom Jones Singapura

BENARLAH kata pepatah setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau jua.

Begitu jugalah dengan perjalanan dan pengembaraan seni, penyanyi Ismail Haron, selama 28 tahun di Australia.

Walaupun menikmati hujan emas di negeri orang, akhirnya anak seni yang dilahirkan di Killiney Road, Singapura itu pulang semula ke tempat tanah tumpah darahnya pada pertengahan tahun 2003.

Meskipun kepulangannya ketika itu tidak disedari ramai, namun anak keempat daripada 12 beradik ini tidak pernah berasa kesal.

Sebaliknya, apa yang diharapkan kepulangannya kali ini akan dapat memberinya ketenangan dalam melayari kehidupan hari-hari tuanya.

Malah menurut Ismail, 63, kerinduannya terhadap sanak saudara dan kesemua momen manis sewaktu berada di tanah kelahirannya itu tidak dapat dibendung lagi.

"Sudah terlalu lama saya tinggal di Brisbane, Australia. Sudah lama saya menanggung rindu untuk menghadiri majlis kenduri di rumah saudara-mara, menyambut Maulidur Rasul dan makan nasi dengan sambal belacan.

"Setelah berfikir beberapa kali, saya terus pulang ke Singapura kerana saya tahu tempat dan rezeki saya masih ada di sini," cerita Ismail ketika dihubungi di Singapura baru-baru ini apabila ditanya mengenai kepulangannya.

Bagi para peminat seni suara tanah air hari ini, nama Ismail barangkali terlalu asing bagi mereka.

Bagaimanapun, berbeza bagi mereka yang pernah membesar dengan lagu-lagu Melayu ala-Tom Jones sudah pasti mengenali penyanyi yang tidak pernah lekang dengan kaca mata ini.

Ismail yang dikenali di Singapura dan Malaysia pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, cukup terkenal dengan lagu-lagu seperti Delailah, Dendamku Kerana Maria, Senyuman Terakhir (Green, Green, Grass Home).

Satu demi satu, lagu-lagu popular Tom Jones yang diubah liriknya ke bahasa Melayu dirakamkannya.

Penghormatan

Berkat kreativitinya itu, Ismail dengan mudah diberi jolokan Tom Jones Singapura dan Tom Jones Asia.

"Saya mula merantau sebagai penyanyi sejak tahun 1974 apabila mendapat undangan menyanyi bersama The Establishments di kelab The Baysides dan Godown Hong Kong.

"Selepas itu kami diundang menyanyi di sebuah kelab di Pangkalan Udara Amerika Syarikat, di Ubon Thani, Laos dan kelab Monieth di Bangkok," kata Ismail bercerita mengenai kelananya sebagai anak seni .

Pengembaraan seni Ismail tidak terhenti setakat itu sahaja.

Sebaliknya, penyanyi yang mempunyai suara yang unik dan popular dengan lagu Ilham Pujangga dan Insan Mulia itu ditawarkan menyanyi di kelab malam Brisbane, Australia pada 1975.

Sejak itu, bermulalah penghijrahan Ismail sebagai penyanyi Melayu yang terus mencipta nama di sana.

"Tawaran yang saya terima itu bagaikan bulan jatuh ke riba. Walaupun saya tidak pernah menduga tetapi itulah rezeki yang Allah berikan kepada saya.

"Walaupun dalam satu malam saya terpaksa menyanyi sehingga tiga kelab malam atas permintaan, namun saya tidak pernah berasa letih.

"Semua itu saya anggap sebagai satu penghormatan buat saya dan penyanyi Melayu yang lain," cerita Ismail yang selalunya mengadakan persembahan selama 45 minit setiap satu kelab malam.

Kelab malam di Australia yang sering menjadi tempatnya menghiburkan para pengunjung ialah The Gat Club, The Brazil, Pinocchio dan semua itu diatur oleh ejen artis terkenal antarabangsa, Brian Heggarty Entertainment.

"Waktu itu masih muda, memang seronok menyanyi dari satu kelab malam ke satu kelab malam. Ketika itu saya tidak pernah terfikir untuk berhenti.

"Tetapi lumrah perjalanan hidup manusia, apabila sampai saat dan ketika kita akan rindukan tanah air sendiri dan masa itu apa yang ada di fikiran untuk pulang semula ke kampung halaman.

"Tidak begitu lama saya memikirkan untuk pulang ke sini apalagi setelah saya sering bertemu dengan seorang sahabat saya dari Kuantan yang selalu berkunjung ke Australia.

"Akhirnya pada Jun, 2003 saya mengambil keputusan pulang ke Singapura dan Alhamdulillah kepulangan saya membawa banyak erti pada keluarga dan kehidupan saya," jelas Ismail dalam nada cukup terharu.

Walaupun Ismail memiliki rumah di Australia, namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan perihal itu.

"Jika diizinkan Allah dan ada rezeki saya mahu memegang Sijil Penduduk Tetap Malaysia (PR) kerana saya mahu tinggal di Kuantan, Pahang," Ismail berkongsi keinginannya.

Dalam banyak-banyak tempat, kenapa Kuantan yang menjadi pilihan Ismail?

"Pertama kerana saya mempunyai seorang kawan baik di sana. Sekembalinya saya dari Australia, saya pernah berkunjung ke sana.

"Pantai di Kuantan yang cantik dan indah telah membuatkan saya jatuh hati dan saya memang ingin membeli rumah dan menetap di sana.

"Saya tidak kisah jika terpaksa menghabiskan masa tiga atau empat jam perjalanan jika menerima undangan menyanyi di Kuala Lumpur.

"Bagi saya, Kuantan dan pantainya adalah tempat yang terindah dan sesuai untuk saya," katanya sambil ketawa kecil.

Apabila ditanya mengenai rakan duetnya, Anita Sarawak yang pernah merakamkan album di bawah syarikat EMI ketika masih di Singapura, Ismail berkata;

"Saya pernah diundang oleh Anita untuk menyanyi bersamanya dalam satu persembahan di Hotel Mandarin, Orchard Road, Singapura pada tahun 2003. Kami berduet menyanyikan sebuah lagu iaitu Lenggang Kangkong," Ismail mengenang semula detik manis itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain berbakat dalam bidang nyanyian, Ismail yang mula menyanyi ketika berusia 15 tahun bersama band The Valiants diikuti The Vigilantes berbakat dalam mencipta lagu.

Ilham Pujangga, Sutra Mulia dan Insan Mulia merupakan antara lagu-lagu ciptaannya yang masih berkesan di hati peminatnya sehingga hari ini.

Biarpun sekembalinya Ismail dari merantau hanya diketahui segelintir peminatnya tetapi kemunculannya dalam Konsert 38 tahun di Marquee Downtown East, Pasir Ris, Singapura baru-baru ini menyemarakkan semula namanya.

Konsert yang diadakan sempena 38 tahun Ismail dalam bidang seni suara itu menemukannya dengan rakan lamanya seperti Datuk Ahmad Jais. Turut serta dalam konsert itu Art Zainal Asnida Daud.

"Penyanyi Ahmad Jais dan Allahyarham A.Ramlie adalah idola saya," katanya mengakhiri perbualan kami petang itu.

1 comment:

  1. bila nak buat rekod rakam lagu2 lama atau rakam lagu baru. Kalau dapat buat show nak dengar suara ismail harun live.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: