Sunday, March 29, 2009

Jeffrydin masih berjuang




JIKA disebut akan nama seorang legenda yang masih hidup - Jeffrydin, pasti yang pantas terbayang adalah gerakan dan alunan nyanyian genre pop yeh yeh yang dibentuk sehingga menjadi ciri khas bagi setiap persembahannya.

Jeffrydin, 62, tersendiri dan hingga kini masih utuh dengan semangat yang dibawanya sejak berpuluh tahun dahulu.

Kenanganku, Siti Haida dan Mas Mona, jika diajukan tajuk-tajuk lagu tersebut kepada generasi ayah dan ibu pastinya mereka tersenyum dengan menyatakan bahawa lagu-lagu ini mempunyai sudut memori yang tersendiri buat mereka.

Lagu-lagu goyangan yang memuja kaum hawa dan menjadi siulan si adam. Jeffrydin membina nama sebagai penyanyi dengan gaya dan suara yang tersendiri. Nyata hingga kini dia masih aktif untuk menaburkan bakat nyanyiannya buat peminat baru dan yang telah lama setia.

"Saya sedang merancang untuk membikin album baru. Tapi masih di tahap perbincangan dan pemilihan lagu. Saya masih mahu sentiasa berjuang untuk industri muzik. Selagi diizinkan Tuhan saya mahu terus menyanyi," ujarnya yang ditemui baru-baru ini.

Ramah dan senang bercerita tentang dunia muzik. Impinya mahu menyiapkan sebuah album yang mempunyai elemen 60-an dan dicampur dengan sentuhan muzik baru.


MAS MONA dan Kenanganku antara lagu malar segar dendangan Jeffrydin.


Mengimbau kembali kenangan bertapak dalam dunia muzik, Jeffrydin menceritakan bahawa perjalanan artis dahulu sukar berbanding sekarang.

"Dahulu perjalanan bak menaiki tangga ke tangga. Mengah berjalan tapi usaha dan semangat terus ada dengan perjalanan itu," ungkapnya.

"Cabaran dulu banyak. Kena lalu pengalaman menyanyi bawah khemah, masuk setiap pertandingan. Itu baru betul-betul nak jadi anak seni. Penyanyi sekarang tak rasa kena lempar tongkol jagung macam kami dulu.

"Tapi itu adalah pengalaman yang buat kami, orang-orang lama berjaya sekarang," ujarnya dalam senyuman dan mengingatkan permulaannya dengan menyertai Bintang Radio di Singapura pada tahun 1965.

Melayang kembali fikiran ke momen silam, Jeffry menambah bahawa kalaulah dia mendapat bayaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sejak dahulu untuk setiap persembahan, sekarang dia sudah boleh menjadi kaya raya.

"Dulu paling tinggi pun RM500. Itu sudah dikira besar sangat. Tapi saya sentiasa bersyukur."


DARI kiri, Dahlan Zainuddin, Allahyarham Bob Mustafa, Gaya Zakri dan Jeffrydin pernah bekerjasama melalui Kisah Seorang Biduan.


Permulaan kemuncak karier Jeffrydin bermula dengan Rhythmn Boys dan pernah menjuarai pertandingan Juara Kugiran. Langkahnya kemudian semakin laju dengan menyertai kumpulan Siglap Five yang awalnya diterajui penyanyi, A. Ramlie.

Jeffrydin merakamkan lagu Seruling Anak Gembala dan lagu itulah yang menaikkan namanya sehingga menjadi kegilaan muda-mudi terutamanya gadis-gadis.

"Artis sekarang perlu bersyukur. Jujur saya katakan saya kurang nampak jiwa penyanyi sekarang. Sedih tetapi itulah hakikatnya. Saya nampak mereka lebih banyak mengejar duit daripada menaburkan bakat.

"Masuk pertandingan pun sebab habuan yang besar," keluhnya yang turut mengharapkan senario tersebut akan berubah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: