Monday, March 30, 2009

Abby banyak terima tawaran jadi ibu


BAGAIKAN hukuman mati kepada artis wanita yang sudah berkahwin dan beranak-pinak apabila produser serta pengarah mula melambakkan mereka dengan watak ibu.

Walaupun artis wanita yang berumah tangga itu masih muda belia dengan bentuk tubuh menggiurkan, tetapi peluang untuk mereka membawakan watak seperti zaman anak dulu agak tipis.

Ada artis sanggup menjadikan rakan mereka sendiri iaitu Ziana Zain sebagai idola kerana kejayaan penyanyi kepada dua cahaya mata itu mengekalkan bentuk tubuhnya.

Menceburi dunia seni mereka perlu bijak 'memasarkan' diri sendiri.

Malang juga bagi sesetengah artis wanita yang berkahwin apabila 'saham' mereka merudum sedangkan perkahwinan itu satu ibadah.

Kesan daripada sikap pilih kasih industri hiburan kepada artis wanita yang sudah berkeluarga, ada yang sanggup merahsiakan perkahwinan mereka.

Yang sudah berkahwin pun mengaku bujang. Lantaran itu, mereka sanggup tidak mempunyai anak bimbang rahsia terbongkar dan untuk memastikan kerjaya seni mereka tidak terjejas.

Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, turut terkena tempiasnya apabila semakin banyak tawaran berlakon sebagai ibu diberikan kepadanya.

Memikirkan persada lakonan tanah air kecil saja, Abby terima walaupun ada sesetengah drama lakonannya, watak pelakon lelaki yang menjadi anak hampir sebayanya.

Terbaru dia pegang peranan ibu dalam berepisod, Hikayat Putera Shazlan, Julia Juli, Yusuff dan Ceria Ceria Cikgu Ribena.



"Tidak jadi masalah kepada saya pegang peranan ibu dan saya berusaha melakonkan watak itu dengan baik. Malah, kerana menjadi ibulah saya dilantik menjadi duta Ribena yang memaparkan keluarga sihat.



"Cuma saya berharap jangan terlalu hadkan watak artis berkahwin dalam drama atau filem. Jangan jadikan status isteri yang disandang mereka penghalang kepada bakat seni mereka.

"Setiap manusia perlu hidup berpasangan dan disayangi. Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan perkara yang tidak baik di mata masyarakat dan agama. Ada artis yang lebih rajin bekerja dan kreatif selepas berkahwin kerana mereka ada tanggungjawab mengukuhkan ekonomi rumah tangga.

"Saya gembira dengan status saya sebagai ibu kepada tiga anak. Saya perlukan fikirkan hari tua dan anak-anaklah harapan untuk menjaga saya kelak.

"Saya tengok rakan artis yang sudah berumah tangga tidak pernah mengabaikan penampilan mereka, malah ada yang tampil lebih cantik dan bergaya.

"Nama pun lakonan. Jadi jangan kerana dalam realiti kehidupan mereka adalah isteri dan ibu, maka dalam drama atau filem pun mereka diberi watak ibu. Misalnya saya sendiri sanggup menahan selera untuk mendapatkan berat badan idaman. Jangan matikan bakat dan minat pelakon hanya kerana dia sudah berkeluarga.

"Walaupun mungkin ada artis wanita yang belum berkahwin atau menyembunyikan status perkahwinan mereka, lumrah alam mereka akan tua juga. Jadi ketika itu, mereka tidak lagi sesuai pegang peranan gadis sunti.

"Kita memang tidak boleh menahan usia daripada terus meningkat, tetapi juga bukan halangan untuk membawakan pelbagai watak. Jika pelakon macam saya diberi watak ibu, pelakon veteran hendak pergi ke mana," katanya.

Pun begitu, selepas menjadi ibu tunggal, rezeki Abby melimpah ruah. Setiap hari jadual kerjanya padat. Dia juga bakal muncul dalam telefilem, Rajuk Si Nyanyuk dan Paku Di Dinding Hati. Membanggakan Abby, dalam Rajuk Si Nyanyuk dia menjadi teraju utama dan Paku Di Dinding Hati dia sebagai pelajar kolej.

"Saya gembira ada pengarah masih mempercayai saya untuk pegang watak utama dan pelajar kolej. Untuk menghayati watak pelajar kenalah pakai beg galas belakang. Tetapi bukan pula saya melakukan transformasi berlebihan kerana nanti nampak tidak natural pula.

"Dalam keadaan nyata pun, mereka yang bergelar datuk dan nenek masih ada yang belajar di universiti, jadi bukanlah sesuatu yang janggal apabila ibu anak tiga macam saya jadi pelajar kolej," katanya.

Dalam pada itu Abby yang tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), kategori Pelakon TV Wanita Popular, dia bertuah kerana bakat lakonannya turut dihargai peminat di Singapura. Awal April ini dia akan berangkat ke Kota Singa itu memenuhi pelawaan majalah Manja untuk menjalani sesi fotografi menghiasi kulit majalah itu untuk keluaran Mei.

"Mereka menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Maknanya saya ada peminat di sana. Penghargaan itu anugerah yang tidak ternilai buat saya walaupun tak ada trofi.

Kebanyakan drama Malaysia disiarkan di saluran televisyen Singapura. Banyak drama lakonan saya boleh ditonton di sana termasuk Gerak Khas dan Manjalara.

"Masyarakat di sana tahu perkembangan artis negara ini termasuk saya. Apapun yang berlaku ramai menyokong saya. Walaupun semakin dikenali ramai di Singapura tetapi saya tetap mahu mengukir kejayaan di tempat sendiri. Ada tawaran berlakon di sana tetapi kesuntukan waktu untuk menerimanya.

"Tahun ini saya lebih bersemangat untuk majukan kerjaya. Kalau boleh saya juga ingin meneroka pasaran lakonan di Indonesia. Sudah ada pihak yang menghantar profil saya ke sana.

"Jika ada yang kata mereka tidak perlukan anugerah popular seperti ABPBH2008 tetapi saya anggap diri ini terlalu bertuah kerana dapat berada dalam kelompok itu bertahun-tahun. Ia petanda baik peminat masih menerima saya," katanya.

Ketabahan Abby sebagai tunggal juga menjadi contoh kepada wanita senasibnya. Lantaran itu dia ingin berkongsi suka dukanya dengan masyarakat menerusi seminar bersama Bengkel Mak Dara pada 25 dan 26 April ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Port Dickson.

"Saya bersedia berkongsi cerita dan pengalaman. Kita tidak boleh terlalu mengikut hati tambahan ada anak yang sangat memerlukan perhatian kita. InsyaAllah, apabila kita bersabar pasti ada jalan keluar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: