Saturday, March 28, 2009

Gegaran kuat cemaskan penduduk Jerantut




JERANTUT - Penduduk di beberapa kawasan di daerah Jerantut gempar apabila berlaku gegaran kuat pada pukul 9.46 pagi di sini semalam.

Gegaran berikutan gempa bumi lemah yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu dirasai di Felda Gugusan Gelanggi, Kompleks Pentadbiran Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Sungai Tekam.

Kejadian itu juga dialami pekerja di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Jengka, Pusat Teknologi Metarhizium, Felda Residence Tekam dan kawasan kediaman penduduk di situ.

Pengurus Felda Residence Tekam, Mohd. Zainuddin Masduki berkata, kejadian yang pertama kali berlaku itu menimbulkan suasana yang agak cemas dan panik di kalangan pekerja di situ.

"Ketika kejadian berlaku, saya sedang menyiapkan kerja di pejabat dan terdengar bunyi dentuman agak kuat diikuti gegaran dari dalam tanah.

"Saya dan pekerja bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan kami tertanya-tanya sesama sendiri tetapi tidak ada kesan kerosakan akibat dentuman berkenaan," katanya ketika ditemui di Tekam semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa yang berlaku pada pukul 9.46 pagi itu berpusat di latitud 3.8 utara dan longitud 102.4 timur.

Pusat gempa itu terletak 65 kilometer dari timur laut Bentong dan gegaran kuat dirasai di sekitar daerah Jerantut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment