Saturday, March 28, 2009

Taman tertutup terbesar di dunia

Jika anda masih mencari-cari keindahan panorama alam semula jadi yang masih belum tercemar oleh arus pembangunan, Taman Burung Kuala Lumpur pasti memberi pengalaman manis yang sukar dilupakan.




PERNAHKAH anda berkunjung ataupun meluangkan masa untuk menyaksikan kecantikan pelbagai jenis burung yang terbang bebas di udara?

Jika anda tinggal di Lembah Klang, anda tidak perlu memerah kepala mencari lokasi beratus-ratus kilometer di puncak bukit atau gunung untuk meneropong burung-burung yang cantik berterbangan.


PENGUNJUNG berpeluang memberi makan burung-burung yang jinak.



PELBAGAI spesies burung boleh dilihat di taman ini.



PENYERI Taman Burung Kuala Lumpur.


Hanya beberapa minit memandu, anda akan tiba di Taman Burung Kuala Lumpur yang berlokasi tidak jauh dari Taman Tasik Perdana.

Sebaik sahaja anda tiba di sini, perasaan kagum pasti menyelinap ke dalam hati. Taman seluas 20.9 ekar yang diliputi tumbuhan hijau memberikan pengunjung suasana seolah-olah berada di hutan rimba. Lebih menarik lagi, perjalanan anda akan dikelilingi dengan burung-burung yang cukup menawan.

Malah, mungkin anda terkejut kerana Taman Burung Kuala Lumpur yang dibuka sejak tahun 1991 itu merupakan taman burung tertutup terbesar di dunia. Sebahagian daripada kawasan itu ditutupi jaring bagi menjamin keselamatan 200 spesies haiwan itu.

Taman yang berada di bawah pengurusan Safari Bird Park and Wonderland Sdn. Bhd. itu mempunyai empat zon. Ia menempatkan 3,000 ekor burung dan 200 daripadanya merupakan burung tempatan.


SEBAHAGIAN pengunjung asyik melihat gelagat burung di dalam sangkar bertutup.


Zon satu dan dua merupakan bahagian bebas terbang. Sementara zon tiga menempatkan jenis burung Kenyalang. Zon keempat pula menempatkan sangkar-sangkar untuk kehidupan spesies berkenaan.

Untuk makluman, burung-burung di situ bukanlah spesies yang mudah ditemui.


PENGUNJUNG teruja melihat telatah burung yang jinak.


Sambil berjalan-jalan melihat gelagat spesies itu, pengunjung juga boleh berehat seketika di beberapa buah gerai yang menjual makanan ringan.

Pengunjung pasti akan teruja. Ini kerana ketika berada di zon bebas, mereka boleh berseronok bersama burung-burung yang berkeliaran di sisi anda.


SETIAP hidangan di Restoran Hornbill hanya sekitar RM10.



PERTUNJUKAN burung menghiburkan.






NUR ELLIENA


Anda juga tidak perlu risau tentang keselamatan kerana setiap bahagian di taman itu ditempatkan beberapa petugas untuk memastikan tiada sebarang gangguan yang tidak diingini berlaku.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung dapat menyaksikan para petugas memberi makan burung-burung.

"Waktu itu memang sangat menyeronokkan dan ditunggu-tunggu pelancong kerana burung-burung di sini tahu waktu mereka diberikan makanan. Jadi, pengunjung akan melihat burung-burung mengekori petugas kami untuk mendapatkan makanan.

"Kebiasaannya, pengunjung akan berebut-rebut untuk merakam aksi burung-burung yang comel untuk mendapatkan makanan," kata Pegawai Perhubungan Pelanggan dan Pemasaran Safari Bird Park and Wonderland Sdn. Bhd., Nur Elliena Adnan.

Selain menjamu mata dengan kerenah burung-burung yang jinak, pancaindera tubuh anda yang lain juga akan teruja sepanjang pengembaraan di taman itu.

Diselubungi pelbagai bunyi kicauan burung, hijau rimbun taman turut membuatkan suasana dingin terasa begitu mendamaikan.

Sudah tentu, ia bukan hanya menarik perhatian golongan dewasa, malah anak-anak kecil juga akan tercari-cari bunyi yang mengasyikkan itu.

Antara 3,000 ekor burung yang anda boleh temui di sini termasuklah burung kasih, bangau kendi, enggang badak, nuri pekicau, kakak tua jambul kuning, nuri jalur kuning, burung unta, burung upeh dan burung bangau.

"Kebiasaannya, pengunjung akan menggunakan peluang yang disediakan sebaik mungkin, seperti cuba memberi makanan kepada burung.

"Ini kerana kami sentiasa memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba tanpa sebarang bayaran dikenakan," ulasnya lagi.

Keseronokan pengunjung bertambah apabila berpeluang menyaksikan acara yang dinanti-nantikan iaitu pertunjukan burung jinak selama 30 minit.

Acara dimulakan dengan gelagat menghiburkan burung-burung seperti mengayuh basikal, berdiri di atas kereta mainan dan menjawab soalan yang diajukan oleh pengacara.

Disediakan juga sudut ilmu yang menempatkan informasi berkaitan dunia aviari, selain pusat penetasan, bilik sarang telur dan bilik tulang burung.

Anda juga akan tertarik melihat ratusan anak burung yang baru menetas diletakkan di satu bahagian khas. Istimewanya, pengunjung boleh memegang anak burung tersebut.

Sebagai kenangan ketika berkunjung ke Taman Burung Kuala Lumpur, anda boleh berkunjung ke sudut yang menawarkan perkhidmatan bergambar bersama burung.

"Pengunjung akan dikenakan bayaran RM20 yang memuatkan lima orang untuk sekeping gambar.

"Sekiranya ada pengunjung yang ingin menggunakan kamera sendiri, bayaran yang dikenakan cuma RM5," jelasnya yang mengingatkan orang ramai tidak perlu risau dengan faktor keselamatan kerana burung-burung di sini sudah jinak.

Setelah seharian menghabiskan masa mengelilingi Taman Burung Kuala Lumpur, apa kata singgah sejenak di Restoran Hornbill sambil menyaksikan keindahan alam semula jadi dari aras yang tinggi.

Restoran ini juga tidak mengenakan harga yang terlalu mahal. Sekitar RM10 ke atas bagi setiap hidangan. Malah pengunjung boleh melepaskan penat sambil melayari kemudahan Wi-Fi.

Justeru, apa salahnya berbelanja sebanyak RM15 (dewasa) dan RM6 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, anda dapat melihat gelagat lucu haiwan-haiwan itu di dalam Taman Burung Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: