|
ASSALAMUALAIKUM. Kadangkala Paknil tertanya-tanya juga, ada ke orang membaca coretan Paknil. Yalah, Paknil bukan artis top yang banyak aktiviti seni yang nak dikongsi bersama. |
Lagipun, Paknil seboleh mungkin tidak mahu menggunakan ruangan ini untuk mempromosi diari seni Paknil. Paknil benar-benar mahu memanfaatkan kepercayaan yang diberi untuk berkongsi fahaman seni Paknil.
Selama ini Paknil luahkan pendapat bila ditanya wartawan mengenai sesuatu isu saja, tetapi kali ini Paknil boleh terus memberi pendapat mengikut kacamata Paknil.
Secara tidak langsung pembaca juga dapat mengenali diri Paknil secara dekat, sekali gus mengetahui arus fahaman seni Paknil.
Paknil bukan orang bijak pandai dalam bidang hiburan, tetapi Paknil ada haluan pendapat tersendiri. Senang cerita, ini adalah pendapat peribadi Paknil dan tidak mewakili industri.
Kadangkala hairan juga dengan dunia hiburan tempatan yang pada sesetengah aspek masih di takuk lama. Rasanya sebelum terbabit dalam bidang seni lagi Paknil didedahkan dengan masalah sama.
Masalah ketepatan waktu umpamanya. Masih ada syarikat rakaman, syarikat filem, syarikat produksi, penganjur pertunjukan, stesen TV dan radio mengadu masalah ketidaktepatan waktu di kalangan artis. Kalau orang yang mendengar pun dah muak, apalagi mereka yang mengalaminya.
Yang musykilnya, bukan seorang dua artis berperangai macam ini, tetapi berlambak sehinggakan kalau ingin membuat kajian mengenai sikap manusia datang lambat, bidang hiburan inilah lubuknya.
Paknil tidak tahu pula kadar serius penyakit ini dalam bidang lain, tetapi kalau dalam bidang hiburan memang teruk. Ada yang sudah tidak larat untuk mengubati penyakit ini dan terpaksa mengalah dengan keadaan. Hai, bermaharajalelalah artis sedemikian.
Sebenarnya ketepatan waktu adalah kunci kejayaan pada semua pekerjaan, lebih-lebih lagi yang hanya bermodalkan bakat. Kita menjaja bakat kita dan sudah tentu ada pesaingnya.
Kalau daripada segi ekonomi, bila ada tawaran yang banyak, maknanya pasaran mempunyai pilihan. Kalau produk itu tidak menepati spesifikasi diperlukan, jangan sedih jika produk itu kecundang di pasaran.
Wah, Paknil cakap macam orang yang berjaya sangat dalam bidang hiburan, kan? Anggaplah apa saja, tetapi Paknil rasa berhak menyuarakan perkara yang ramai pihak lepas tangan untuk menegur kerana Paknil antara mangsa.
Paknil berkawan dengan ramai wartawan, Paknil bekerja di stesen TV, Paknil juga cari makan di stesen radio. Paknil turut terbabit dengan majlis korporat.
Paknil juga berlakon dan menyanyi sikit-sikit. Paknil pernah juga mengarah. Kiranya banyak juga cabang seni yang Paknil ikuti dan percaya atau tidak, semuanya ada barah ini!
Barah? Sampai begitu sekali tuduhan Paknil? Yalah, kalau sudah nama pun penyakit yang sukar diubati, barah sajalah istilah yang sesuai. Kalau tidak diubati, semakin melarat jadinya.
Pernah ketika mula Paknil membabitkan diri dalam bidang lakonan filem iaitu hampir 15 tahun dulu, Paknil jadi serik untuk berlakon gara-gara tabiat kumpulan remaja yang turut berlakon ketika itu yang tidak pernah sekali pun datang seperti dijadualkan.
Jadual penggambaran jadi haru-biru gara-gara mereka yang tidak berdisiplin ini. Kru filem, pengarah dan pelakon lain semua naik berang dengan sikap kumpulan ini, tetapi apakan daya sebab projek filem ini harus diteruskan. Jika tidak, syarikat filem akan mengalami kerugian lebih besar.
Ini bukan cerita rekaan, tetapi kisah benar yang berlaku pada Paknil. Pernah satu ketika kami dijadualkan untuk penggambaran di sebuah disko. Penggambaran dilakukan pada waktu siang kerana disko beroperasi sebelah malam.
‘Call time’ (istilah filem untuk waktu mula kerja) semua pelakon dan kru adalah jam 9 pagi. Jam 8 pagi lagi Paknil dah tercegat depan disko bersama ramai pelakon tambahan. Kru pun ada yang belum datang lagi. Tepat jam 9 pagi, disko itu dibuka oleh pekerjanya dan semua yang terbabit sudah tiba.
Muka kumpulan remaja itu masih tidak timbul-timbul. Penggambaran tidak boleh dimulakan kerana adegan ini memerlukan mereka. Ketika ini telefon bimbit baru diperkenalkan dan artis ini antara yang mampu memilikinya. Sayang, kecanggihan teknologi yang ada tidak berfungsi sepatutnya.
Penatlah pihak produksi menelefon tetapi tidak berjawab. Yang mencari di rumah mereka juga sudah diusahakan tapi hampa. Mahu tak mahu, kami kena juga tunggu.
Mungkin kalau lewat satu jam tidaklah menjadi bahan cerita Paknil hari ini, tetapi mereka lewat sembilan jam! Jam 6 petang baru muncul tanpa rasa bersalah.
Mekap pelakon lain pun sudah luntur. Begitu juga ‘mood’ kami. Kehadiran mereka bukan lagi menjadi berita gembira, tetapi disambut dengan rasa menyampah yang maksimum.
Memburukkan lagi keadaan, pengurusan disko tidak benarkan kami melakukan penggambaran lagi kerana perniagaan mereka harus mula beroperasi.
Sewa disko masih harus tetap dibayar. Bayaran pelakon tambahan yang hadir harus tetap dilunaskan. Kami pelakon lain terpaksa menerima hakikat bahawa masa penggambaran semestinya dipanjangkan.
Dari situ timbul beberapa insiden pergeseran sesama kami dan suasana di lokasi juga tidak seharmoni diharapkan. Akhirnya filem itu dibuat dengan ‘cincai bocai’ dan gagal di pasaran!
Iktibar paling nyata dapat dilihat daripada peristiwa ini, kerjaya kumpulan itu berkecai dan terkubur. Walaupun pernah berusaha membuat ‘come back’, sejarah lampau menjadi rujukan kepada semua yang diperlekehkan sehingga usaha mereka untuk muncul kembali tidak diendahkan.
Kesannya menyebabkan Paknil serik untuk berlakon filem, walaupun ramai produser menawarkan watak untuk Paknil dengan bayaran lumayan.
Setelah sekian lama tidak terbabit dengan filem, Paknil secara tiba-tiba teringin berlakon filem semula dan ketika itu Paknil sangkakan mungkin pelakon kita kini berubah dan jauh lebih profesional.
Rasanya pembaca pun boleh tahu filem apa yang Paknil maksudkan sebab Paknil bukan banyak berlakon filem. Tersangatlah sedih di hati Paknil apabila rupa-rupanya penyakit ini masih menular dan tenat.
Pelakon yang berbeza tetapi masalah disiplin yang masih sama. Lebih teruk bila kami menanti kehadiran pelakon utamanya lebih 10 jam! ‘Call time’ jam 9 pagi, tetapi pelakon itu muncul jam 7.30 malam! Ewah, macam berlumba nak cipta rekod peribadi pula mereka ini.
Paknil rasa sedih sangat sebab penggambaran membabitkan pelakon lain seperti Arash Mohammad, Saharuddin Thamby di samping pelakon berpengalaman Zulkifli Zain, M Rajoli dan Datuk Aziz Satar berjalan pada Ramadan. Kasihan juga pada pengarah yang asyik meminta maaf kepada kami.
Paknil tertanya-tanya, sampai bila penyakit ini akan berterusan dan tiada siapakah yang boleh mengubatinya? Industri perfileman kita perlu penggiat yang komited untuk maju. Jumlah pelaburan bertambah besar dan begitu juga risiko perniagaan. Jadi, jangan disusahkan dengan disiplin pelakon yang buruk.
Telinga Paknil juga sudah birat mendengar wartawan mengeluh dengan perangai artis datang lewat yang seolah-olah tiada penghujungnya.
Lebih teruk bila ada juga yang langsung tidak muncul dan gagal dihubungi. Tercegatlah wartawan dan jurufoto menanti ‘artis hebat’ ini dengan penuh setia demi kerana tugas. Sudahnya, bayang pun tidak muncul.
Yang boleh Paknil katakan, sehebat mana sekalipun bakat artis itu, tetapi kalau terjangkit dengan penyakit datang lewat dan MIA (Missing In Action), kelamlah masa depan artis itu. Silap-silap tidak sempat bernyawa pun kariernya.
Dunia hiburan kita ini kecil saja dan setiap perkara yang berlaku pasti cepat tersebar. Bagaimana mungkin artis itu ingin cari makan bila cerita buruknya diketahui ramai?
Secara sombong, mungkin artis itu boleh menyangkakan dirinya kini menjadi pilihan selera peminat, tetapi kita kena berdiri di bumi yang nyata. Setiap yang hebat itu akan pudar dan bila peminat berjumpa dengan yang baru dan lebih relevan, dia mungkin disisihkan.
Ketika itu, penyesalan tidak berguna lagi dan akan dapat kita saksikan episod baru dalam sandiwara kehidupan artis itu. Episod yang bertajuk: Mengemis Sesuap Nasi.
Maaf jika tersinggung. Malah, ingatan ini dibuat untuk diri Paknil juga. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: