Sunday, March 29, 2009

Resse ratu suara


DALAM filem Freeway yang mula menyerlahkan namanya di Hollywood pada 1996, Reese Withersponn, 32, memegang watak remaja 15 tahun, dia kemudian menjadi gadis berambut perang, tetapi pintar dalam dua filem Legally Blonde manakala watak penyanyi country, June Carter Cash dalam Walk The Line pada 2005 menghadiahkannya Oscar.

Nyata sejak menceburi dunia seni seawal usia tujuh tahun sebagai model kemudian terjun ke dunia lakonan melalui The Man in the Moon pada 1991, kerjaya lakonan Reese terus berkembang dan menjadi pilihan produser.

Selepas muncul dalam Just Like Heaven (2005), Penelope (2006), Rendition (2007) dan Four Christmases (2008), Reese meminjamkan suaranya untuk watak gergasi dalam filem animasi 3D, Monsters vs Aliens.

Nyata Oscar dimiliki tidak mengubah diri Reese sebaliknya terus mendapat perhatian pengarah dan produser kerana bakat dimiliki.

Namun ibu dua anak, Ava Elizabeth Phillippe, 10, dan Deacon Reese Phillippe, 6, ini berkata, anugerah lakonan dimiliki memberi kelebihan dan menguntungkan kerjaya apabila berpeluang bekerja dengan karyawan hebat di Hollywood.

Katanya, menggenggam Oscar yang sememangnya menjadi impian semua karyawan filem Hollywood nyata membuka banyak ruang kepadanya untuk bekerja dengan pengarah hebat dan bertemu produser dan penulis skrip berjaya.

"Ia sememangnya tidak pernah mengubah kehidupan saya, tetapi mengubah persepsi orang terhadap saya. Ia mengubah bagaimana orang melihat bakat saya dan ia sesuatu yang sungguh membanggakan.

"Dalam membuat pilihan tawaran berlakon, saya tidak pernah tetapkan suka filem genre drama atau komedi, tetapi apa yang saya pentingkan ialah watak yang akan saya jayakan.

"Selain melihat skrip yang bagus, apabila membaca skripnya saya melihat watak yang ditawarkan itu ada dalam diri saya," katanya.

Mengenai Monsters vs Aliens terbitan DreamWorks dan mula ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat mulai 27 Mac, Reese mengakui ada filem diterima kerana bayaran lumayan dan ada pula kerana wataknya yang mencabar hingga ada peluang meraih Oscar.



Bagaimanapun untuk filem animasi itu, dia terima kerana anak-anak.



Katanya, filem itu menjadi satu karya yang mereka boleh tonton dengan gembira sambil memakai cermin mata 3-D kerana jalan ceritanya sangat menarik.

"Ia mengisahkan raksasa yang dilepaskan daripada pengawasan kerajaan untuk menentang ancaman makhluk asing. Walaupun watak saya masih sebagai ibu, tapi peralihan watak Susan kepada Ginormica, raksasa perempuan merupakan satu detik yang memberi banyak pengajaran.

"Selalunya selepas saya membawa anak-anak menonton filem, saya bertanya pendapat mereka mengenai filem yang baru ditonton. Perkara sama saya lakukan selepas menonton Monsters vs. Aliens.

"Anak perempuan saya berusia 10 tahun berkata pada pendapatnya filem itu mengenai jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap diri kita.

"Saya puji komennya itu. Rasanya dia yang lebih layak duduk di sini untuk bercerita mengenai filem ini.

"Kemudian anak lelaki saya pula berkata, pastikan sotong kurita (octopus) tidak makan planet kita. Ternyata budak lelaki tetap budak lelaki. Saya bangga kerana Eva melihat watak contoh pada Susan, wanita yang bertukar kepada sesuatu yang lebih kuat dalam filem ini," katanya.

Kata Reese, watak Susan mempunyai jalan cerita yang hebat. Reese tahu jika dilakukan dengan sebaiknya, dia boleh memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak.

"Dia seorang yang tidak terlalu memberi pandangan peribadi yang tinggi sedari awal cerita malah tidak mengimpikan sesuatu yang besar untuk diri sendiri. Bagaimanapun dia sanggup melalui satu perjalanana mencabar dengan menjadi raksasa dan mula melihat keupayaan dirinya sebagai satu aset yang hebat.

"Saya suka menjadi seseorang yang berhadapan dengan cabaran identiti dirinya sendiri dan saya rasa kanak-kanak lebih dekat dengan keadaan ini.

"Sebenarnya saiz bukanlah persoalannya, tetapi semangat yang dia temui dalam dirinya. Itu yang menariknya mengenai filem ini," katanya.

Mengenai tema semangat wanita dalam Monsters vs Aliens, Reese mengakui sangat mengagumi Diane Keaton kerana lakonannya yang hebat.

Goldie Hawn cemerlang begitu juga Judi Dench.

"Dalam kehidupan peribadi, saya sangat mengagumi ibu dan juga nenek saya kerana peribadi mereka yang sangat kuat memberi semangat kepada saya dalam menjalani kehidupan. "Saya belajar di sekolah tinggi yang semuanya pelajar perempuan dan mempunyai ramai guru perempuan yang hebat," katanya.

Sebab lain Reese bersetuju terima tawaran ini ialah dapat kembali bekerja dengan Paul Rudd selepas bekerjasama dalam Overnight Delivery pada 1998.

Turut menjayakan filem ini ialah Owen Wilson.

Katanya, bekerja dengan Rudd membuatkan keadaan lebih kelakar kerana tiada orang lain mampu mengucapkan dialog sebaik dia.

"Dia tidak takut menjadi bodoh dalam filem ini," katanya.

Selepas ini ada lagi filem lakonan Reese khusus untuk kanak-kanak, The Bear and the Bow yang juga animasi terbitan Pixar.

Kali ini Reese bekerjasama dengan Billy Connolly kerana filem ini berkisar mengenai cerita dahulu kala di Scotland.

"Sebenarnya saya banyak terima tawaran berlakon filem animasi, tetapi saya sendiri tidak tahu sebabnya. Apakah kerana suara saya kelakar? Apapun watak Susan dan Ginormica memberi kepuasan kepada saya dan kini datang pula watak hebat daripada filem animasi Pixar.

"Wataknya, perempuan bangsawan yang ingin menjadi pemanah handal dan saya perlu bertutur dalam bahasa Scotland zaman dahulu. Apakah saya harus tolak peluang baik ini sedangkan saya memang menantikan peluang berlakon watak hebat walaupun filem animasi," katanya yang turut meminjamkan suaranya untuk The Trumpet Of The Swan (2001).

Dalam kehidupan peribadi, Reese yang bercerai dengan aktor Ryan Phillippe, 34, pada 13 Jun tahun lalu, enggan menoleh ke belakang sebaliknya ingin mencari kebahagian baru apabila kini rapat dengan aktor Jake Gyllenhaal, 28.

Katanya, Gyllenhaal lelaki yang mengkagumkan dan dia benar-benar hebat.

Reese dan Phillippe jatuh cinta ketika sama-sama berlakon Cruel Intentions dan tidak mengambil masa lama untuk berkahwin pada 5 Jun 1999.

Bagaimanapun, rumah tangga mereka mula goyah pada 2006 apabila berpisah dan bercerai secara rasmi tahun lalu.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Laura Jeanne Reese Witherspoon

TARIKH LAHIR: 22 Mac 1976

TEMPAT LAHIR: New Orleans, Louisiana, Amerika

TINGGI: 156 sentimeter

BAPA: Dr. John Witherspoon (pakar telinga, hidung dan kerongkong)

IBU: Betty Reese (jururawat)

ANAK: Ava Elizabeth Phillippe (9 September 1999), Deacon Reese Phillippe (23 Oktober 2003)

KERJAYA: Pelakon

FILEM: Monsters vs. Aliens (2009), Four Christmases (2008), Rendition (2007), Penelope (2006), Just Like Heaven (2005), Walk The Line (2005), Vanity Fair (2004), Legally Blonde 2: Red, White & Blonde (2003), Sweet Home Alabama (2002), Legally Blonde (2001) dan Little Nicky (2000).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: