SEMENTARA itu, AIM yang akan berlangsung kali ke-16 bakal menyaksikan penyanyi hip solo, Joe Flizzow yang sebelum ini muncul secara duo bersama Too Phat mencatat rekod sebagai artis yang paling banyak menerima pencalonan untuk tujuh kategori.
Joe misalnya, dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik biarpun pembabitannya dalam bidang nyanyian sudah bermula sejak 10 tahun lalu.
Menurut Joe, dia kurang pasti bagaimana dicalonkan menerusi kategori yang sepatutnya dikhususkan buat artis-artis baru.
"Saya sendiri tidak pasti tentang perkara itu (pencalonan). Apa pun itu mungkin rezeki saya," komennya.
Selain kategori itu, Joe turut dicalonkan menerusi kategori seperti Lagu Hip Hop Terbaik dengan mempertaruhkan dua lagu berjudul Bergerak dan Isabella serta kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik.
Pada masa sama, Joe turut bersaing dengan bekas teman duonya, Malique menerusi beberapa kategori termasuklah Lagu Hip Hop Terbaik.
Bagi Joe, 'pertembungan' mereka dalam AIM16 yang secara kebetulan itu menandakan akan tercetusnya persaingan yang sihat meskipun mereka sudah tidak bersatu dalam Too Phat sejak kebelakangan ini.
"Mungkin inilah yang dikatakan sebagai kebetulan. Suatu ketika dulu kami pernah sama-sama menerima anugerah di atas pentas atas nama Too Phat. Tetapi kali ini kami berasingan dan saling bersaing satu sama lain," jelasnya.
Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza pula terus memperlihatkan kecemerlangannya apabila menguasai kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita).
Untuk kategori berkenaan, Siti menerima dua pencalonan bagi dua buah lagu iaitu Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman.
Kedua-dua lagu berkenaan dimuatkan dalam album terbarunya, Lentera Timur.
Bagi kategori berkenaan Siti berhadapan dengan tiga orang juniornya iaitu Ayu menerusi lagu Hanya Di Mercu, Dina (Sejauh Ini) dan Shila (Memori Tercipta).
Hampir saban tahun AIM turut dimeriahkan dengan pencalonan ramai bintang-bintang program televisyen realiti seperti Akademi Fantasia (AF) dan One In A Million (OIAM).
AIM16 tidak ketinggalan dimeriahkan dengan kemunculan ramai bintang program TV realiti terutamanya AF seperti Bob, Aizat, Marsha dan bintang OIAM antaranya, Suki, Faizal Tahir dan Dina.
Bagaimanapun dominasi mereka kali ini kurang ketara kerana pencalonan mereka tidak ketara dan melibatkan juga artis-artis lain.
Sebagai contohnya, Marsha (AF3) berduet dengan Ajai melalui lagu berjudul Sayang dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, AIM pernah menyaksikan dominasi bagi kategori Artis Baru Terbaik dimonopoli oleh bintang-bintang program TV realiti terutamanya AF.
Biarpun muzik independent (indie) semakin popular dalam industri muzik tempatan, tetapi setakat ini kategori itu belum diwujudkan dalam AIM.
Justeru, kategori Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik menjadi medan persaingan buat kumpulan-kumpulan indie seperti Hujan, Estranged dan Butterfingers bersaing satu sama lain.
Cuma yang agak menghairankan apabila Meet Uncle Hussain tidak dicalonkan dalam dua kategori itu biarpun mereka sudah membuktikan kejayaan lagu seperti Lagu Untukmu yang masih popular hingga kini.
Sebaliknya, penyandang trofi Juara Lagu dalam Anugerah Juara Lagu anjuran TV3 baru-baru ini itu hanya dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik di mana turut mencetuskan tanda tanya banyak pihak.
Tahun ini AIM mempertandingkan 24 kategori yang membabitkan album-album yang diterbitkan dari 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu oleh syarikat-syarikat rakaman yang bernaung di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Ketua Juri, Ramli M.S bersama 143 lagi juri antaranya penerbit, komposer, penulis lirik, pemuzik, penyampai radio, jurutera studio dan wartawan hiburan telah mengadili kesemua kategori yang dipertandingkan itu.
Sebelum AIM16 berlangsung, suatu konsert bergerak membabitkan para finalisnya akan diadakan di Kuantan Parade pada 4 April, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada (11 April), Village Mall, Sungai Petani (18 April) dan Queensbay Mall, Pulau Pinang (25 April).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: