Sunday, March 1, 2009

Nabil nan kecoh


DIA tidak bercita-cita tinggi, apa yang bermain di fikiran adalah melangsaikan tugas menghantar surat serta bungkusan (despatch).

Naik pangkat atau tidak, itu bukan perkara penting asalkan dapat gaji. Andai permohonan pinjaman bank diluluskan, dia mahu mendirikan rumah tangga. Hari-hari yang dilalui sangat ‘simple’.

Namun itu cerita dulu, sekarang lain. Gelaran juara Raja Lawak musim kedua mengubah corak hidup anak muda ini secara drastik. Dia harus mengambil kira pandangan orang ramai sebelum melakukan sesuatu, malah tanggungjawab yang dipikul semakin berat.

Rezeki bergolek ini secara tidak langsung menjadikannya lebih matang, bahkan dia mula prihatin akan jatuh bangun masa depannya dan keluarga. Saban hari dia memerah otak mencari idea dan konsep baru bagi memastikan karier terus berkembang.

Itulah transformasi insan bernama Ahmad Nabil Ahmad. Dalam tempoh 11 bulan, popularitinya naik mendadak, bahkan dia tidak duduk diam lantaran tawaran datang silih berganti.

Bukan saja bergelar pelawak, dia turut diberi peluang mengasah bakat sebagai hos, pelakon dan penyanyi. Mengupas pencapaian membanggakan anak jati Negeri Sembilan ini, dia mendapat kepercayaan pelbagai pihak mengendalikan enam program televisyen, membintangi tujuh filem serta sebuah telefilem dan sebagai penyanyi undangan single terbaru Imran Ajmain, Radio.

“Apa yang saya kecapi hari ini tidak ubah seperti mimpi. Tidak pernah terlintas di fikiran, daripada mat despatch, saya kini bergelar anak seni.

“Saya berterima kasih kepada Media Prima kerana memberi ruang kepada saya mengacarakan program Ewah-Ewah, Pondok Pondok, Studio Nabil, Hartamania. Tidak lupa Astro kerana mewujudkan program khas Fikirlah Sendiri.

“Saya tidak percaya diberi peluang membintangi filem Sifu dan Tongga, Fikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Momok the Movie, Eee... Hantu, Jin Notti dan Pisau Cukur dalam tempoh 11 bulan. Saya juga gembira dapat berlakon di bawah arahan Adlin Aman Ramlie dalam telefilem Sonata Labu Labi.

“Terbaru, Primeworks Studio menawarkan saya menjadi hos program Santai Motivasi bersama Datuk Fadilah Kamsah. Diharap dengan adanya saya dapat menarik golongan muda mengikuti program ini,” katanya.



Meskipun bakatnya dicungkil oleh stesen berbayar Astro, anak muda ini selesa memilih untuk bergerak sendiri. Ketika mengambil keputusan tidak menandatangani kontrak dengan stesen itu, pelbagai kritikan terpaksa ditelannya, termasuk kononnya dia besar kepala dan termakan hasutan teman rapat.

Katalah apa saja, Nabil tetap kental. Dia yakin pilihannya tepat dan ia terbukti apabila tindakan itu tidak mencalarkan hubungan baiknya dengan Astro, bahkan masih bekerjasama hingga ke hari ini.

“Memang dari awal saya tidak berminat menandatangani kontrak dengan mana-mana stesen. Saya lakukan ini atas kehendak sendiri dan bukan kerana hasutan orang lain seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.

“Menjadi prinsip saya tidak suka menyusahkan orang lain. Andai ikat kontrak, saya bimbang timbul masalah di kemudian hari andai saya tidak boleh komited. Jika saya melakukan kesalahan, pasti stesen televisyen turut terpalit sama kesannya. Saya tidak mahu itu berlaku. Kalau saya buat salah, biar saya yang tanggung,” katanya.

Hampir setahun dalam industri, Nabil semakin matang mengatur kerjaya. Dia kini mengaku lebih selektif, malah punya strategi tersendiri untuk memastikan kedudukannya dalam industri terus stabil.

“Tahun lalu saya ambil semua tawaran berlakon sebab mahu mengumpul modal membeli peralatan untuk syarikat saya, Lu Fikirlah Sendiri Sdn Bhd, tetapi tahun ini saya lebih selektif. Sebelum menerima tawaran, saya akan melihat skrip dan watak terlebih dulu.

“Saya ada dalam industri bukan kerana mahu mengejar populariti, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan. Sebab itu saya tidak pernah berharap diberi layanan istimewa. Dari awal lagi saya biasakan diri supaya tidak menyusahkan orang lain.

“Biasanya jika diundang mengacara sesuatu program, saya akan sertakan dengan persembahan setengah jam secara percuma. Atas dasar prihatin, saya turut mengundang rakan dari program Raja Lawak dan AF untuk sama-sama memeriahkan acara.

“Pakej ini memberi manfaat besar kepada penganjur. Mereka tidak perlu mengeluarkan wang tambahan membayar persembahan rakan saya, sebaliknya saya bayar dengan duit sendiri. Ini satu cara saya membantu rakan untuk sama-sama terus bertahan dalam industri.

“Jika ada persembahan di luar Kuala Lumpur, saya selalu menegaskan kepada penganjur, tidak perlu menyediakan kenderaan atau bilik. Lebih senang begitu, habis persembahan saya boleh terus pulang,” katanya.

Mengulas program kanak-kanak terbitan TV9, Pondok Pondok menyediakan tapak untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 10 tahun menonjolkan bakat terpendam mereka.

Program yang bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam bermula 15 Februari lalu ini menjanjikan pelbagai segmen menarik dan interaktif seperti masak-masak, fesyen, kahwin-kahwin, cikgu-cikgu, ubah suai, bercerita dan membaca berita. Peserta juga berpeluang menarik, menyanyi dan bermain silap mata.

“Saya suka melihat gelagat anak kecil dalam program ini. Ada antara mereka yang menangis, tertidur dan malu bila rakaman bermula, padahal di belakang pentas bukan main lagi mereka bercakap dengan saya.

“Bermula 7 Mac ini, penonton setia TV9 dapat menyaksikan Studio Nabil yang ke udara setiap Sabtu, jam 9 malam. Dalam program 13 episod ini, saya tampil sebagai pemilik studio dan dibantu oleh Sharifah Shahirah sebagai setiausaha.

“Setiap minggu akan dimeriahkan dengan kemunculan istimewa artis terkenal tanah air, antaranya Meet Uncle Hussein, Faizal Tahir, Mawi, Raja Azura dan ramai lagi. Program komedi ringan ini berkonsep muzikal, di mana semua orang akan menyanyi,” katanya.

Dalam diam, anak ketiga daripada tujuh beradik ini bakal menghasilkan album solo yang diterbitkan oleh Ajai. Menerusi projek ini, Nabil diberi peluang menonjolkan kebolehan sebagai penulis lirik. Memuatkan 12 lagu, album ini mengetengahkan pelbagai genre, antaranya balada, pop, hip hop dan komedi.

“Kalau ikutkan, saya malu menyanyi, tapi Ajai banyak beri kata-kata semangat. Dia sanggup mengajar saya menyanyi dan katanya projek ini bagus untuk masa depan saya.

“Setakat ini kami berjaya menyiapkan tiga lagu dan jika tiada aral, saya akan masuk studio bulan ini. Memandangkan jadual Ajai sangat padat, kami tidak tergesa-gesa menyiapkan album ini. Saya tidak kisah andai ia mengambil masa lama asalkan hasilnya nanti berkualiti dan dapat diterima ramai,” kata Nabil.

Sementara itu, Nabil kini giat merancang projek terbaru syarikatnya, Konsert Gala Pecah Usus yang bakal mengumpulkan 10 pelawak terkenal negara, antaranya Afdlin Shauki, Harith Iskander, Saiful Apek, Ali Mamak, Abon, Salih Yaacob, Zizan dan Johan.

“Setakat ini saya menunggu keputusan daripada Celcom dan mendapat sokongan TV9. Insya-Allah, ia akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Jun depan. Konsert berkenaan diadakan pada sebelah malam, manakala siangnya kita akan menganjurkan ‘game show’ dan persembahan kumpulan muzik popular tanah air, malah ada banyak gerai jualan,” katanya.

Nabil tidak ketinggalan mempromosi perniagaan bekam lintah milik keluarganya. Katanya, perniagaan terapi itu beroperasi di rumah keluarganya di Negeri Sembilan.

“Abah saya menternak tujuh kolah lintah di belakang rumah. Alhamdulillah setakat ini ramai mencuba bekam ini dan mereka berpuas hati dengan harga ditawarkan iaitu RM100 untuk 13 lintah.

“Terapi ini bagus untuk membuang darah kotor, malah ada pelanggan yang dulunya tidak boleh berjalan, sekarang pulih dan boleh memandu kereta. Sesiapa yang berminat mencuba bekam lintah bolehlah ke rumah abah saya,” katanya.

Beralih kepada cerita cintanya dengan Irma Hasmie, tanpa berselindung jejaka ini mengakui pelakon jelita itu memiliki kriteria wanita idamannya.

“Saya tidak suka berdolak-dalih. Kami memang rapat, malah selalu menghabiskan masa bersama. Saya tidak malu mengaku kami bercinta, tapi berharap perkara ini tidak diperbesar-besarkan kerana hubungan kami masih baru.

“Saya mengenalinya bulan puasa tahun lalu dan rapat selepas sambutan Aidilfitri. Dia gadis yang baik, malah sepanjang mengenalinya saya sangat selesa berdamping dengannya. Mungkin kerana kami dalam industri sama, dia sangat memahami saya.

“Kalau boleh, saya mahu menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun. Kalau tahun depan, lagi bagus. Siapa yang bakal bergelar isteri saya, itu saya tidak pasti, tapi setakat ini Irma satu-satu gadis yang rapat dengan saya.

“Saya tidak takut hilang peminat andai berumah tangga. Macam saya cakap tadi, saya bukan mengejar glamor kerana di penghujung kehidupan, yang kekal setia di samping kita adalah isteri, anak dan amalan kita,” katanya jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: