Dua penyampai yang menyerikan radio ASYIKfm iaitu Rozima (kiri) dan Mardha. |
DENGAN konsep hiburan dan maklumat, satu lagi saluran radio RTM iaitu ASYIKfm tampil menghidangkan segmen menarik selain pengisian yang berkualiti setiap hari untuk santapan pendengar setia stesen radio ini yang majoritinya terdiri daripada kaum orang asli.
Bagaimanapun, ramai pendengar yang bukan daripada kumpulan minoriti orang asli, turut asyik mendengar ASYIKfm kerana lagu-lagu yang diputar nyata menghiburkan.
Tahun 2009, ASYIKfm menyediakan empat segmen iaitu Yeh Yah@Asyik bermula 8 pagi hingga 11 pagi, Kecun Kecan mengambil alih pada pukul 11 pagi hingga 2 petang, Renyah memulakan hiburan petang iaitu dari jam 2 petang hingga 6 petang dan Sambil Kakdik Sambil Berpihoi pula memulakan siaran bermula 6.00 petang dan menutup siaran ASYIKfm pada pukul 10.00 malam.
Dengan bersiaran selama 14 jam, egmen ini mempunyai kekuatan dari segi pengisian maklumat dan format susunan lagu.
Yeh Yah@Asyik lebih berbentuk kerohanian yang menjadi keutamaan dengan rancangan Fitrah ke udara setiap Jumaat bermula 12.30 hingga 1 tengah hari. Bagi peminat lagu Nasyid, pastikan mengikuti Carta Nasyid terbitan JAKIM setiap Jumaat, 10 pagi hingga 11 pagi.
Tamat Yeh Yah@Asyik, segmen Kecun Kecan mengambil alih siaran dimulakan dengan rancangan Salam Asyik. Salam Asyik mengajak pendengar menyampaikan ucapan salam kepada keluarga mahupun sahabat handai menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan panggilan telefon, setiap hari, bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Selepas siaran Berita Dialek Temiar pada jam 1.10 tengah hari, Santai@Asyik menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu santai sebagai teman sehingga jam 2 petang. Istimewa setiap Sabtu, segmen Santai@Asyik menyediakan rancangan D’Warung Asyik bermula jam 11 pagi D’Warung Asyik mempelawa pendengar berhibur serta melontar pandangan dan pendapat terhadap topik semasa yang menarik lagi sensasi. Bagi yang suka karaoke jangan segan menyertai Moh Karaoke, setiap Ahad, 11 pagi.
Selepas segmen Kecun Kecan, segmen Renyah menghiburkan pendengar ASYIKfm. Renyah menyediakan pelbagai rancangan menarik antaranya Rentak Genen yang ke udara setiap hari bermula jam 3.30 petang dengan adunan lagu moden masyarakat Orang Asli.
Kepada yang gemar menjual dan membeli pantun, ikuti Mari Berpantun yang ke udara setiap Isnin jam 5 petang. Luaskan pengetahuan anda dengan mengikuti rancangan Naho Hempak Hemo? (Tahukah Anda?) setiap Selasa, Kenangan 60-an (Rabu), Rock@Asyik (Khamis) dan Gradung Gradeng (Jumaat), semuanya disiarkan jam 5 petang.
Dahagakan lagu Hindi? Ayuh bergoyang bersama Bollywood@Asyik setiap Sabtu, jam 3.30 petang dan jika mendengarkan koleksi lagu etnik tempatan dan antarabangsa, boleh menikmatinya menerusi Irama Etnik, pada setiap Ahad, jam 5 petang.
Keasyikan rentak dan lagu di ASYIKfm berterusan dalam segmen Sambil Kakdik Sambil Berpihoi. Genre irama dangdut memang sinonim dengan stesen lain dari yang lain ini. Untuk itu kepada peminat irama dangdut jangan ketinggalan siarannya pada setiap Isnin jam 6.10 petang. Adat dan tradisi adalah sesuatu yang amat disanjung dan dipelihara oleh kaum etnik ini.
Pada setiap Selasa bermula jam 6.10 petang, ASYIKfm memberi keutamaan kepada penyiaran lagu Sewang iaitu bagi suku kaum Semai Perak dan Pahang yang sememangnya unik lagi asyik. Bagaimanakah kisah suka dan duka kehidupan mereka dan apakah erti kehidupan moden bagi mereka. Segala ini boleh diketahui dengan mengikuti Roda Kehidupan setiap Khamis, jam 6.10 petang.
Slot Heboh Sukan pula ke udara setiap Sabtu, jam 6.10 petang. Sementara itu, Bintang ASYIK, rancangan yang menyiarkan kembali petikan siaran langsung dan rakaman persembahan pentas di lokasi terpilih akan ke udara setiap Ahad jam 6.10 petang.
Rancangan 60KMJ khas buat untuk pendengar mendapatkan panduan keselamatan ketika di jalan raya. Ia disiarkan setiap Jumaat, jam 7 malam. Bagi pendengar ASYIKfm yang ingin boleh membuat pilihan lagu dengarkan Seleksi Asyik setiap malam bermula jam 8 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: