Monday, March 30, 2009
Nita tak kesal jadi penyanyi undangan
SEBELUM ini Nita Malaysian Idol (MI) agak sepi tanpa khabar berkaitan karier nyanyian. Hinggalah baru-baru ini, Nita diberitakan bakal beraksi di Minggu Setiausaha bersama Faizal Tahir pada 22 April ini.
“Ini kali pertama saya mengadakan persembahan bersama-sama penyanyi popular macam Faizal Tahir. Peluang seperti ini bukannya boleh saya dapat setiap tahun kerana kebanyakan syarikat lebih suka memilih artis yang dah biasa mengadakan persembahan di majlis sebegini macam Anita Sarawak. Saya tak rasa kesal pun menjadi penyanyi undangan kerana saya nak tengok berapa jauh saya boleh pergi dan berapa ramai yang akan menghargainya,” ujar Nita apabila ditanya perasaannya bakal beraksi di majlis eksklusif.
Mengulas tentang karier nyanyian, Nita menyatakan dia masih aktif menyanyi tetapi mungkin ramai yang kurang menyedari kerana kebanyakan persembahannya untuk majlis-majlis korporat.
“Macam yang kita semua tahu, penjualan album sekarang amat perlahan malah sejak tahun 2005 lagi. Saya tak boleh hanya bergantung pada penjualan album sahaja. Jika nak hasilkan album sekalipun, saya tak nak buat album tangkap muat saja. Saya rasa setakat ini album saya tak ada satu pun lagu yang orang ingat, jadi saya perlu lebih teliti. Ikutkan jiwa saya lebih cenderung kepada muzik rock tapi atas faktor usia saya nak mencuba sesuatu yang berlainan seperti balada yang tak terlalu mendayu.
“Macam sekarang orang lebih kenal dengan Faizal Tahir jadi saya rasa amat gembira dan bersyukur walaupun saya hanya akan menyanyikan beberapa lagu sahaja nanti. Lagipun saya nak memulakan kembali kerjaya saya sebagai penyanyi sebab dah lama saya tak berpeluang macam ini. Saya tak kisah untuk naik tangga kembali, macam mula-mula hendak jadi artis dulu. Ini kerana saya tahu kemampuan diri dan tak kisah apa yang orang nak kata sebab ia keinginan saya,” luah Nita.
Masih setia bersama Zahid
Menyentuh kisah percintaannya dengan Zahid AF, Nita tidak ingin mengulas lebih lanjut. Namun dia mengakui yang dia masih lagi bersama dengan penyanyi tersebut.
“Dalam masa yang sama orang dah pun tahu mengenai hubungan saya dengannya. Jadi saya rasa lebih baik saya mengakuinya daripada menipu peminat. Ke mana saya pergi pun sering bersama dengannya jadi saya tak nak orang berkata sesuatu yang tak sedap saya dengar,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: