KEPUTUSAN siapakah finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun diketahui umum. Dan ketika ini, pembaca akhbar ini sedang berada di fasa kedua pengundian iaitu untuk memilih siapakah pula yang bakal mengungguli 16 kategori yang dipertandingkan itu.
Pun begitu, bagi mereka yang sudah bertungkus- lumus, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk
membawa artis kesayangan mereka ke senarai lima yang terbaik sewaktu pencalonan awal tempoh hari, pengorbanan mereka itu tidak dilupakan penganjur.
Rabu lalu berlangsung sesi pemilihan pemenang untuk kategori pembaca yang menghantar borang
untuk pencalonan awal serta siri pertama Gemilang Bersama Bintang yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan cukup eksklusif
Antara mereka yang terbabit sebagai juri pada hari itu adalah Pengerusi Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah, Timbalan Pengerusi Pengelola yang juga Undi/Pengiraan, Akmal Abdullah, Pengurus Kanan Penajaan Pemasaran NSTP, Wan Rafilin Wan Noor, Pengerusi Pencalonan, Zainuri Misfar serta Eksekutif Penjenamaan NSTP, Ahmad Firdaus Shaharudin Shah.
Bukan mudah untuk memilih pemenang nampaknya. Selain tenggelam di dalam timbunan ribuan borang yang tiba berguni-guni, juri juga perlu meneliti setiap slogan yang diterima. Ada kala pening juga kepala untuk memilih pemenang kerana slogan tidak menarik dan begitulah sebaliknya.
Namun, tugas tetap tugas. Walaupun terpaksa membelek satu demi satu borang yang dihantar, kriteria yang ditetapkan, harus dititikberatkan demi untuk keadilan semua pihak.
Mengulas perkara itu, menurut Hanizam, pemenang dipilih berdasarkan kreativiti mereka dalam menulis slogan.
"Sambutan tahun ini tetap menggalakkan. Terima kasih kami ucapkan kepada pembaca budiman yang masih setia menghantar borang undian dan teruskan usaha ini untuk mengundi siapakah yang layak untuk memenangi setiap kategori yang dipertandingkan.
"Dari segi kreativiti, saya lihat ada yang berusaha lebih dan sanggup mengeluarkan belanja semata-mata untuk menghias borang undian mereka. Namun dari segi idea dan kreativiti menulis slogan, tahun ini tak banyak berbeza dengan tahun lalu.
“Malah ada yang menulis slogan seperti menulis slogan politik sedangkan ini adalah acara hiburan. Harapnya pembaca selepas ini akan lebih kreatif dan berfikir di luar kotak fikiran sebelum menulis slogan kerana itulah yang akan membezakan mereka dengan orang lain," ujar Hanizam kepada Hip.
Sebagai habuan untuk pemenang kategori pencalonan awal, seramai 50 orang pemenang akan dipilih dan mereka ini bakal menerima dua keping tiket untuk menyaksikan ABPBH 2008, manakala untuk siri pertama Gemilang Bersama Bintang, seramai tujuh pemenang bertuah dipilih dan mereka ini bakal menerima hadiah seperti aksesori sumbangan Rafflesia, barangan elektrik tajaan JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd.
Untuk pemenang utama, hadiah istimewa bakal diberikan iaitu peluang untuk berjalan di permaidani merah pada malam kemuncak ABPBH 2008 yang dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Kota Keriangan Genting Highlands 12 April depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: