Friday, March 27, 2009

Haliza tak suka dikongkong


PENAMPILAN Haliza Misbun, 35, dalam dunia lakonan ternyata memberikan impak yang tersendiri.

Biarpun jarang muncul menerusi drama atau filem tempatan namun kehadirannya tetap menjadi perhatian.

Pelakon yang popular menerusi drama Cinderalla, yang kini aktif menguruskan produksi miliknya, Halle Pictures Sdn Bhd, mula berjinak dalam bidang pengarahan apabila menerima tawaran Eurofine Sdn Bhd untuk pengarah dokumentari mengenai kehidupan kanak-kanak menghidap HIV/Aids di Pusat Perlindungan Perkim, Jelajah Kasih yang disiarkan di TV1 jam 11 pagi setiap Isnin bermula 27 April.

Menerusi produksi itu juga dia turut menerbitkan beberapa drama dan telemovie antaranya Rohaya Roy dan Andartu Terlampau...The Chronics.

Pemenang trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (telefilem Schizoid) Anugerah Oskar 7 Malaysia tahun lalu ini turut merancang menghasilkan beberapa karya seni pada masa akan datang.

"Memang saya jarang berlakon dengan produksi luar memandangkan sibuk dengan komitmen kerja dan menguruskan syarikat.

"Jika ada sekalipun saya menerima tawaran berlakon daripada pengarah yang pernah berkerjasama dan memahami cara saya bekerja.

"Untuk program akan datang, saya akan menerbitkan program Journal Kembara ke Australia iaitu kesinambungan daripada sambutan yang baik terhadap program Journal Kembara Eropah yang sudah diulang siar sebanyak tiga kali di RTM. Jika tiada aral penggambaran Journal Kembara berkenaan akan bermula Mei ini.

"Di samping itu, tiga telemovie dijangka menyusul iaitu Sophilea arahan Pierre Andre, Bangkitnya Aku dan Bedah Siasat genre komedi kedua-duanya arahan Murali Abdullah," katanya.

Walaupun mengakui lebih selesa bekerja di belakang tadbir Haliza tetap terbabit dalam pembikinan telemovie berkenaan. Malah. untuk telemovie arahan Murali itu, dia membawakan watak gadis sopan yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan dirinya.



Kewujudan Halle Pictures juga mungkin disebabkan impian Haliza untuk menonjolkan beberapa watak yang jarang dibawakan olehnya.



"Memang saya sentiasa mahukan watak yang berbeza daripada karakter saya yang sebelum ini. Dengan menjayakan watak ini saya dapat menikmati kepuasan diri," katanya.

Sepanjang pembabitan dalam dunia seni dia berjaya meraih beberapa anugerah seperti Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Skrin (ASK) 1997/1998 menerusi drama Cinderalla; Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Air Mata Ibu) dan Pelakon Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Odisi).

Di samping Pelakon wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2004 menerusi drama Sumayah dan trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (telefilem Schizoid) Anugerah Oskar 7 Malaysia tahun lalu.

Seperti artis tempatan lain, Haliza tidak terlepas daripada dihimpit gosip percintaan.

Apabila diajukan pertanyaan mengenai teman istimewa, dia mengakui pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta bersama jejaka asing dari Perancis yang sehingga kini masih berhubungan.

"Sebenarnya saya mengambil keputusan untuk tidak mahu kahwin. Memandangkan pada pandangan saya sesuatu perhubungan memerlukan banyak pengorbanan.

"Bukan soal pernah dikecewakan atau serik bercinta sebaliknya inilah sifat saya yang sebenar tidak suka dikongkong. "Saya sendiri tidak tahu sama ada saya boleh bertemu lelaki yang boleh faham dengan sikap saya yang sentiasa mahu bebas dan menang dalam banyak aspek. Begitupun, saya tidak menolak kemungkinan jika ada jodoh dengan sesiapa saya tetap terima," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: