Sunday, March 29, 2009

SITIJARUM

Kemban? Apa isunya?
BARU-baru ini heboh apabila gambar yang didakwa selebriti tersebar di Internet. Gambar itu menunjukkan individu berkenaan berkemban tuala di atas meja solek. Banyak orang juga yang tanya komen Siti mengenai wanita berkemban ini.

Siti tau mereka semua nak Siti hentam habis-habisan “perlakuan” yang dianggap tidak bersopan ini. Siti bukanlah penyokong wanita berkemban tapi Siti ada jawapan yang tidak menghentam individu terlibat.

Siti tanya mereka, berkemban itu apa? Mereka pun cakap pakai kain paras dada dan paras lutut. Siti tanya mereka lagi, luar biasakah wanita memakai pakaian setakat itu?

Apa lagi, macam bertihlah mereka membelasah. Tak sopan, tak tau adat Melayu, tak hormat adat timur dan bla bla bla berpuluh lagi. Siti gembira dengan reaksi mereka yang prihatin tentang soal adab sopan dan etika berpakaian. Sangat-sangat gembira.

Apabila Siti kata Siti sokong mereka, macam mesin gun membertih tak berhenti-henti. Tapi Siti kata, sekarang ini orang berkemban di mana-mana saja. Macam di Kuala Lumpur ini, berlambak yang berkemban di depan orang. Di atas pentas teater pun ada yang berkemban.

Mereka tanya di mana? Siti pun kata, pergilah tengok sendiri di mana-mana pun boleh jumpa. Kalau nasib baik dalam televisyen pun ada. Jadi apa isunya?

Kalau benar kita prihatin soal adab sopan, kita dah bising lama dah. Di majlis-majlis hiburan yang disiarkan di televisyen, berapa banyak yang berkemban. Tak bising pun. Kenapa? Adakah istilah berkemban itu hanya untuk yang pakai tuala atau kain batik saja? Kalau pakaian moden, kain yang mahalnya ribu-ribu ringgit bukan dinamakan kemban walaupun paras dada dan lutut?

Mereka pun kata pula, tak apa kerana yang berkemban itu bukan selebriti. Kalau selebriti tak bolehlah. Tapi setahu Siti, kalau bab moral, adab sopan ini, siapa pun tak dikecuali. Tapi kalau di majlis-majlis hiburan, selebriti pun berlambak juga pakai fesyen berkemban. Macam dulu, orang kecoh bagai nak rak Sofea Jane berkemban dalam Perempuan, Isteri dan Jalang. Tapi masa pakai baju mandi tak kata apa pula.

SITI JARUM: Tak pakai seksi.

Skrip Amerika Latin

Tahun 90-an dulu, ada syarikat produksi yang membawa masuk skrip drama beratus siri dari Hong Kong dalam tulisan Cina. Kemudian diterjemah ke bahasa Melayu untuk dibuat drama Melayu.

Karyawan drama dan filem kita pun memprotes kerana bukan saja menutup peluang orang tempatan. Tapi yang lebih dibimbangi mengambil bulat-bulat budaya fikir dari Hong Kong dalam masyarakat tempatan. Kalau ada kematian misalnya, meraunglah pelakon Melayu macam dalam drama Hong Kong.

Ketika itu stesen televisyen menyiarkan semua drama-drama celup ini tanpa banyak soal. Tapi itu kisah lama. Kisah barunya Siti dengar khabar ada stesen televisyen yang akan membawa masuk skrip-skrip drama bersiri dari Amerika Latin. Skrip ini akan diterjemah ke bahasa Melayu dan dijadikan drama Melayu.

Setakat ini Siti menganggap khabar ini tidak benar sama sekali. Pertamanya untuk Siti memujuk hati supaya jangan sedih dengan sikap orang kita di stesen televisyen. Keduanya, Siti cuba yakin bahawa stesen televisyen kita tidak akan menjadi begitu materialistik hingga sanggup menggadai maruah.

Selagi tidak ada bukti dan dibuktikan benar, Siti tak boleh mempercayai bulat-bulat. Tapi sekiranya benar, Siti adalah orang yang paling sedih, bukan kerana ini boleh menutup peluang karyawan atau penulis skrip tempatan, tapi kita tanpa rasa bersalah membawa masuk budaya yang bertentangan dengan nilai kita.

Bayangkahlah plot drama-drama bersiri dari Amerika Latin. Kalau tak ada skandal, bertukar-tukar bini, tukar laki dan bermacam-macam lagi, bukan drama Amerika Latin namanya. Kalau kita terjemahkan, plot tetap sama.

Siti pun tak tau pihak mana yang bertanggungjawab untuk bertindak kalau perkara ini benar-benar berlaku. Rasa-rasanya tidak ada pihak yang mahu dan berani bertanggungjawab untuk membendungnya. Mereka bimbang dianggap kolot. Lagi pun orang Melayu dah moden. Kononnyalah.

SITI JARUM: Apa khabar Persatuan Penulis Skrip Malaysia (SWAM)?

Wayang pacak Wayang

Malam Sabtu lalu filem Wayang arahan Dr. Hatta Azad Khan ditayangkan secara “wayang pacak” di Tawang, Bachok, Kelantan. Siti mendapat SMS dari seorang teman di Bachok keesokannya. Kata teman itu, dalam keadaan hujan yang gerimis malam itu, kira-kira 400 orang dari kampung-kampung berhampiran Tawang menonton hingga tamat.

Kalau tak silap Siti, Bachok adalah lokasi penggambaran filem Wayang yang menceritakan kisah tok dalang wayang kulit. Dr. Hatta memerlukan pelakon tambahan sebagai penonton wayang kulit semasa penggambaran dua tahun lalu. Orang kampung begitu sporting, mereka memberi kerjasama yang baik. Dr. Hatta pernah beritahu, dia berhasrat tayang Wayang di Bachok. Minggu lepas kalau Siti tau awal-awal mesti Siti ke Bachok. Teringin nak kembalikan nostalgia menonton wayang pacak di kampung masa kanak-kanak dulu.

Februari lepas Wayang ditayangkan di Dewan Besar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu. Siti tumpang sekaki menonton di USM. Bagi Siti, tayangan Wayang di Bachok itu bukanlah tujuan komersial. Ini adalah penghargaan Dr. Hatta dan warga kerja filem itu kepada orang-orang kampung. Kelantan pula tu macam Perelis (Perlis) tak ada panggung. Terengganu pun sama juga.

SITI JARUM: Singgah ke Padang Embun nak makan pisang rastali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: