SEREMBAN 29 Mac - Pelakon dan pengacara televisyen, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 29, selamat diijab kabul dengan jejaka pilihannya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, di kediaman pengantin perempuan di Seremban 2 di sini hari ini.
Majlis akad nikah yang diadakan secara sederhana pada pukul 2.45 petang itu disempurnakan oleh Pendaftar Nikah Daerah Seremban, Abdul Manas Md. Isa dengan disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa serta adik-beradik, rakan-rakan dan saudara mara terdekat.
Abdul Mutalib yang merupakan pengurus sebuah pusat sukan di Ampang, Selangor, sah menjadi suami kepada Yatt selepas sekali lafaz nikah.
Untuk majlis tersebut, pasangan berkenaan berpakaian putih sedondon.
Yatt yang sedang mencipta nama sebagai pelakon itu menerima mas kahwin sebanyak RM280.80 serta lima dulang hantaran termasuk sebentuk cincin.
Sementara itu, pengantin lelaki pula menerima tujuh dulang hantaran berupa jam tangan, kemeja, kasut, minyak wangi, sirih junjung dan bunga rampai.
Resepsi persandingan mereka akan diadakan di Dewan Seri Endon, Presint 10, Putrajaya pada 4 April ini.
Yatt yang ditemui melahirkan rasa syukur setelah bergelar isteri kepada Abdul Mutalib yang juga merupakan tunangnya sejak setahun lepas.
"Syukurlah segalanya selamat dan kami sudah sah bergelar suami isteri. Saya mengharapkan kebahagiaan setelah bergelar suami isteri ini," kata Yatt yang sudah empat tahun mengenali suaminya itu.
Ketika ditanya tentang wang hantaran, Yatt dan suami sepakat untuk merahsiakan jumlahnya kerana bagi mereka, ia adalah hal yang cukup peribadi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: