Sunday, March 29, 2009

Zon Abie: Tunjukkan cintamu pada bumi


ASSALAMUALAIKUM! Hari ini Perhimpunan Agung Umno ke-59 menutup tirai dengan penggulungan apa yang berbangkit sepanjang lima hari bersidang. Hari ini juga kemuncak kempen 60 Earth Hour 2009 di seluruh dunia termasuk negara kita yang penuh harmoni, Malaysia.

Berminggu juga saya melihat kempen menyelamatkan bumi ini terutama di akhbar dan TV, sehingga terpanggil untuk saya mendaftar di www.earthhour.com sebagai seorang penyokong.

Saya bukanlah pandai sangat tetapi melalui pengamatan dan pembacaan maklumat berkaitan, sedikit sebanyak membantu saya untuk turut serta berkempen di sini.

Secara ringkasnya yang saya faham, idea Earth Hour terbit daripada inisiatif Tabung Alam Sedunia (WWF - sebelum 1987 ia dikenali sebagai Dana Hidupan Liar Sedunia) berkaitan penjagaan bumi yang kini berdepan dengan klimaks serta pemanasan global.

Baik orang perseorangan, kerajaan atau komuniti dunia perlu diberi kesedaran akan perkembangan yang semakin membunuh planet tempat kita huni ini.

Earth Hour mengajak kita memadam lampu selama satu jam bermula pukul 8.30 malam ini sebagai tanda sokongan kepada usaha murni itu. Tidak susah pun!

Tarikh hari ini dipilih kerana penghujung Mac biasanya berlaku pertukaran ekuinoks (matahari melintasi khatulistiwa lalu menjadikan siang dan malam sama panjang di serata dunia), sekali gus ia memastikan impak visual yang untuk kempen ini.

Acara ini dimulakan pada 2007 di Sydney, Australia membabitkan 2 juta orang yang memadamkan lampu mereka. Setahun kemudian, lebih 50 juta penghuni glob ini mengambil bahagian dan tahun ini, Earth Hour cuba mencapai 1 bilion orang dari 100 bandar raya dunia termasuk di negara kita.

Inilah masanya untuk kita tunjukkan sokongan dan kesatuan Malaysia terhadap usaha dunia. Pembabitan selebriti antaranya Maya Karin, Yasmin Ahmad, Zainalabidin, Sarimah Ibrahim, Reshmonu dan Aishah Sinclair suatu usaha yang dipuji.

Biar ada pihak yang kurang bersetuju dengan usaha ini, sehingga menuduh selebriti itu cuba meraih publisiti daripada program yang dianggap sia-sia ini, pekakkan telinga dan fikir yang lebih positif.



Bukan soal penjimatan yang nyata malam ini saja, tetapi saya melihat acara ini dari perspektif penyatuan rakyat Malaysia. Selama ini kita melaungkan yang Malaysia Boleh! dengan setiap apa yang cuba kita lakukan, jadi projek Earth Hour ini juga harus kita pentingkan.



"Tidak dinafikan ia sebahagian usaha untuk meraih publisiti, tetapi untuk kebaikan semua manusia di dunia. Kami cuba mewujudkan kesedaran betapa kehidupan di bumi sekarang bergelut dengan pelbagai masalah berpunca daripada pemanasan global.

"Pada waktu sama, kita boleh menjimatkan banyak tenaga. Memang kalau kita seorang tidak akan memberi kesan, tetapi cuba bayangkan jika ia dilakukan semua penduduk tempatan, pasti kapasiti penjimatan dapat diperoleh dalam skala lebih besar," kata Maya kepada Harian Metro semalam.

Lebih penting, Earth Hour ingin mengajak orang ramai melihat masalah yang dialami penduduk dunia secara serius kerana kesannya bukan saja membabitkan alam sekitar atau hidupan liar saja sebaliknya manusia itu sendiri apabila terpaksa berhadapan dengan kemarau dan cuaca tidak menentu.

Setakat ini, China dan India mendahului tindakan sokongan terhadap Earth Hour 2009. Mungkin juga kerana populasinya besar, tetapi tidak bermakna penduduk yang ramai kalau tidak bersatu menyokong. Percaya atau tidak, orang kita ramai yang suka bercakap daripada bertindak.

Sedar atau tidak, ramai antara kita yang tidak ambil pusing pun hal ini sebab mereka tidak merasai kesannya walaupun kita dikhabarkan dengan banyak berita mengenai kerosakan alam termasuk tanah runtuh berlaku di tanah air kita sendiri.

Tidak perlu saya menghuraikan soal ketamakan pemaju binaan yang sanggup meratakan bukit-bukau dan menebas hutan semata-mata atas tiket pembangunan dan kemajuan, kerana mereka itu golongan yang tidak pernah kisah pun dengan ancaman kepunahan bumi.

Bagaimanapun alang-alang berada di dalam gelanggang hiburan ini, elok juga saya menyentuh mengenai kesatuan artis kita. Bukan persatuan artis! Tetapi kerjasama sesama artis tempatan dan tunjukkan cinta kita terhadap bumi yang semakin tua ini.

Ketika beberapa selebriti seperti yang saya namakan di atas memberi sokongan kepada Earth Hour, yang lain seharusnya tidak memandang negatif sehingga menuduh sengaja mencari publisiti.

Percaya atau tidak, pengaruh selebriti itu penting untuk menjayakan sesuatu kempen. Kalau tidak menyokong, diam saja!

Bercakap mengenai hari khas ini juga mengingatkan saya kepada Hari Nyepi, satu perayaan yang disambut penganut Hindu di Pulau Bali. Melalui kenalan di Bali ketika berkunjung ke sana tidak lama dulu, saya diberitahu mengenai perayaan ini.

Mengikut kepercayaan Hindu Bali, Hari Nyepi menuntut mereka tidak menggunakan atau menghidupkan api, tidak bekerja, tidak berpergian dan tidak mendengarkan hiburan.

Teringin juga merasai 'ketenangan' yang pernah diberitahu kenalan itu ketika Hari Nyepi, tetapi sehingga saat ini, saya belum berkesempatan. Namun insya-Allah saya menikmati 'nyepi' Earth Hour malam ini di Cameron Highlands bersama rakan-rakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: