Monday, March 30, 2009

Cerita 2 janda...Azharina dan Yuni Shara


Azharina (kiri) dan Yuni Shara.

Azharina terbuka berbicara soal hati, Yuni Shara selesa menyimpan rahsia

SETIAP individu menyimpan cerita hidup sendiri. Sebahagian barangkali terbuka untuk berkongsi, manakala sebahagian lagi mahu disimpan sebagai rahsia hati, namun akhir kehidupan setiap insan pasti mendambakan kebahagiaan.

Laluan hidup setiap individu tidak serupa tetapi aturan riwayat juga tidak sentiasa menjanjikan hanya yang manis. Catatan kehidupan dua nama yang mempunyai pengaruh tersendiri, Azharina Azhar dan Yuni Shara juga tidak sentiasa ditemani rona ceria.

Berbeza Azharina yang lebih terbuka dalam berbicara soal hati, barangkali kerana usianya yang masih membara dan menyala dengan tenaga muda, Yuni pula selesa menyimpan rahsia hidupnya sendiri.

Sikap perahsia Yuni pernah dinukilkan teman baiknya iaitu komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw lewat lagu Sepi yang tepat menggambarkan karakter penyanyi bersuara manja itu.

Pertemuan santai Azharina yang sedang popular dengan lagu Rawan di kediaman dihias cantik sentuhan Inggeris milik penyanyi bertubuh kecil ini di Villa Fatmawati, Lebak Bulus, Jakarta Selatan merungkai sesuatu yang indah untuk dikenang.



Pertemuan kedua yang mengeratkan hubungan dua anak seni dua negara ini juga mengusir segala rasa gelisah dan gundah Azharina yang selesa disapa Nina, apatah lagi Yuni menerima kehadirannya dengan tulus biarpun tidak mengenali dengan dekat.

“Saya berasa begitu dihargai, malah Yuni juga membuat saya selesa dengan sikapnya yang peramah dan ceria hingga saya tidak kekok biarpun itu kali pertama saya mengunjungi kediamannya.

“Awalnya saya berasa agak gusar, malah tertanya sendiri bagaimana penerimaan artis besar sepertinya namun kedekatan Bill Bora dengan Yuni melenyapkan segala perasaan itu.

“Satu peluang yang cukup berharga tambahan pula Yuni ialah antara penyanyi luar yang saya kagumi kerana pengalaman serta kematangannya hingga mampu bertahan dalam industri sehingga hari ini,” kata Azharina.


Biarpun perbualan mereka lebih banyak berkisar mengenai soal karier, Azharina berkata, dia mengagumi Yuni sebagai wanita yang bersemangat waja apatah lagi selepas rumah tangga yang dibina selama 13 tahun bersama Henry Siaahan menemui noktah, Mei tahun lalu.

“Kami sama-sama menempuh kegagalan dalam rumah tangga. Cuma yang membezakan, Yuni mempunyai dua cahaya mata sedangkan saya hanya menyimpan semua kenangan manis ketika bersama bekas suami dulu.

“Sebagai wanita, saya mengagumi kekuatannya yang tidak pernah mengalah dengan dugaan hidup,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mengenai pertemuan yang berlangsung ketika dia ke Jakarta, awal Mac lalu.

Saat berbicara, Yuni tidak lupa menitipkan nasihat berharga supaya Azharina tampil muda sesuai usianya yang baru menganjak 24 tahun pada 11 Mac lalu.

Dek nasihat itu juga membuatkan Azharina kembali mewarnakan rambutnya hitam selepas lebih dua tahun selesa berambut perang.

“Malangnya ada peminat yang kurang gemar malah mereka berkata saya tampak lebih dewasa dengan warna itu. Mungkin pembaharuan yang cuba dibawakan itu memerlukan masa untuk diterima.

“Saya sabar menerima segala reaksi kerana percaya lambat laun peminat akan selesa menerima perubahan itu,” katanya tertawa.

Barangkali pembaharuan itu juga menjadi antara formula awal sebagai persediaan Azharina untuk membawa karier nyanyiannya ke negara jiran itu.

Pemergiannya ke Jakarta sebenarnya turut membawa bersama satu misi besar iaitu mencari pengurusan yang dapat membantu dirinya untuk menembusi pasaran di sana.

“Secara dasarnya ia membuahkan hasil. Ketika ini saya dan pengurusan sedang meneliti beberapa aspek penting terutama berkaitan perundangan sebelum mencapai persepakatan untuk memasarkan lagu nyanyian saya di sana.

“Ada dua tawaran yang membuat saya senang dan sekiranya semua berjalan lancar, Insya-Allah, Rawan akan ke udara di radio Indonesia sekitar Mei atau awal Jun nanti,” katanya.

Lama menanti peluang

BERBICARA mengenai perancangan besarnya itu, penyanyi yang pernah muncul dengan dua album iaitu Azharina (2003) dan Elegi Sepi (2005) berkata, ruang itu sudah dinantinya hampir lapan tahun sepanjang bergelar artis.

Menembusi pasaran Indonesia juga bermakna Azharina cuba mencabar diri untuk membawa karier nyanyiannya ke tahap baru, apatah lagi semua usaha itu dilakukannya sendiri tanpa bantuan syarikat rakaman.

Menerusi Rawan yang dicipta sepenuhnya Hazami, penyanyi itu menjadikannya sebagai platform untuk mengembangkan karier nyanyian dan syarikatnya sendiri, Azharina Entertainment.

“Saya melihat percubaan ini sebagai platform untuk membuktikan saya mampu melakukannya. Biar sulit sekali pun saya akan berusaha untuk menjadikan impian itu sebagai satu realiti kerana sudah terlalu lama saya berharap peluang keemasan itu datang.

“Saya sentiasa memandang jauh dalam karier dan sekiranya percubaan ini tidak membuahkan hasil lumayan, saya tidak akan menyesal dan kecewa.

“Sekurang-kurangnya saya berani untuk mencuba dan tidak akan sesekali mengalah jika ditakdirkan rezeki tidak berpihak kepada saya,” katanya.

Azharina berkata, keberanian itu hadir selepas dia memperdengarkan Rawan kepada beberapa teman rapat di negara itu termasuk penyanyi, Rossa yang melihat keunikan pada susunan lagu dan cara nyanyiannya yang tersendiri.

Usahanya itu menarik perhatian mereka untuk memperkenalkan Azharina di Indonesia membuatkan dia serius merencana peluang itu kerana bukan senang kesempatan begitu datang.

“Saya bukan suka-suka mahu menembusi pasaran di sana, sebaliknya saya serius ingin mencari peluang atas kesungguhan pihak di Indonesia yang melihat potensi besar dimiliki Rawan.

“Saya berdoa semuanya akan berjalan lancar. Cuma saya sudah diberitahu, judul serta beberapa patah perkataan dalam lagu itu akan dipinda kerana Rawan membawa makna yang kurang manis di Indonesia,” kata Azharina.

Saat Rawan melonjak di carta radio di negara ini, Azharina turut menyediakan sebuah single baru, Rasa sebagai kesinambungan untuk terus mempertahankan namanya di ingatan peminat.

Lagu ciptaannya sendiri dan dihasilkan bersama sepupunya itu akan mula diedarkan ke stesen radio bermula April ini, sebelum mini album memuatkan lima lagu termasuk Love itu siap sepenuhnya dan menemui peminat Mei nanti.

Tenang bergelar janda

STATUS sebagai janda bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani, apatah lagi artis popular sepertinya sentiasa diintai media yang dahagakan berita panas biarpun ia hanya gosip yang menjadi pemanis cerita.

Semua dugaan itu tenang dihadapi penyanyi yang pernah meledak dengan lagu Mengapa Tiada Maaf. Ketika dikerumuni wartawan saat dia hadir memberikan sokongan kepada pereka Malaysia, Amir Luqman yang menjayakan pelancaran portal hiburan, JomStar.com versi Indonesia, Yuni langsung tidak mengelak.

Saat ditebak dengan persoalan mengenai pernikahannya dengan seorang ahli politik, Yuni yang sudah dua kali menjanda itu tenang mendepaninya.

Dia tidak melatah kerana baginya, dia cuma mahu mencari ketenangan dalam hidupnya. Kakak kepada penyanyi tersohor, Krisdayanti ini berkata, biarpun ketika ini soal kembali berumahtangga tidak bermain dalam fikirannya.

Namun hati wanitanya tidak menafikan dia ingin disayangi dan dicintai.

“Tetapi itu tidak bermakna saya terima saja siapa yang datang. Saya tidak hanya mencari suami sebagai peneman hidup sebaliknya mencari figura yang menjadi contoh yang baik kepada dua anak saya,” katanya.

Cuma satu doa penyanyi yang juga popular dengan lagu Tiada Lagi ini, moga dia dipertemukan dengan lelaki yang masih sendiri tidak kira sama ada jejaka bujang mahu pun sudah bergelar duda.

“Yang penting dia harus seagama kerana sebagai ketua rumah tangga, saya mengharapkan dia untuk membimbing saya dan anak-anak.

“Saya pernah menjalani perkahwinan berbeza keyakinan selama 13 tahun dengan Henry dan pengalaman itu menjadi pembelajaran yang berguna buat saya.

“Saya tidak menyesal melaluinya malah berterima kasih kepada mantan suami kerana membuatkan semuanya menjadi lebih baik untuk saya,” katanya.

Info:

Azharina

  • Nama Penuh: Azharina Azhar
  • Tarikh Lahir: 11 Mac 1985
  • Asal Kota Kinabalu, Sabah
  • Tinggi: 157 sentimeter
  • Berat: 53 kilogram
  • Single: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007), Rawan (2009)
  • Pencapaian: Juara Bintang RTM 2001


Yuni Shara:
  • Nama Penuh: Wahyu Setyaning Budi
  • Nama Komersial: Yuni Shara
  • Tarikh Lahir: 3 Jun 1972 (umur 36)
  • Asal: Malang, Jawa Timur, Indonesia
  • Tahun aktif: 1990 - sekarang
  • Perkahwinan: Raymond Manthey (bercerai), Henry Siahaan (bercerai)
  • Anak: Cavin Obrient Salomo Siahaan dan Cello Obient Siahaan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: