Saturday, March 28, 2009

Doug, Jimmy kagumi pencak silat


SELAIN menjadi hos rancangan Fight Quest, Jimmy Smith (kanan) dan Doug Anderson juga pakar dalam pelbagai cabang seni mempertahankan diri.


ALAM nusantara bukan setakat kaya dengan flora dan fauna, malah pelbagai cabang seni mempertahankan diri yang terdapat di rantau ini turut menarik perhatian seluruh dunia.

Rancangan Fight Quest misalnya, memilih pencak silat yang popular di alam Melayu sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang dipaparkan menerusi rancangan tersebut.

Selain sambutan hebat para penonton, pengacara rancangan seni mempertahankan diri itu, Doug Anderson dan Jimmy Smith turut tertarik dengan pencak silat yang menjadi warisan orang Melayu.

Jimmy Smith yang berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat tertarik dengan pencak silat kerana keunikan pergerakan dan juga unsur-unsur jampi mentera yang ditampilkan dalam seni itu.

"Saya telah mengembara ke merata-rata tempat di seluruh dunia bagi mempelajari seni-seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh para penduduk tempatan sesebuah negeri.

"Tetapi antara yang saya paling tertarik ialah seni pencak silat yang mempunyai pergerakannya yang tersendiri. Selain unsur pergerakan, pencak silat juga disulami dengan jampi mentera.

"Ia menambahkan lagi keunikan seni mempertahankan diri tersebut," katanya ketika ditemui semasa mempromosikan Fight Quest musim baru di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas pengacara berusia 32 tahun ini, beliau pada mulanya kurang yakin dengan jampi serapah yang dikaitkan dengan ilmu hitam kerana tiada bukti nyata yang boleh dipercayainya.

Bagaimanapun kata Jimmy, beliau pernah melalui beberapa kejadian aneh sewaktu menjayakan episod Fight Quest yang memaparkan seni pencak silat di Bandung, Indonesia pada tahun lalu.

"Antaranya saya pernah melihat suatu kejadian seorang lelaki yang tidak lut walaupun ditetak menggunakan sebilah parang yang tajam. Memang sukar untuk mempercayainya.

"Itu antara keunikan yang ada dalam seni pencak silat Melayu yang tidak ada dalam seni-seni mempertahankan diri bangsa-bangsa lain yang pernah saya pelajari setakat ini," ujarnya.

Jimmy yang berketinggian 5 kaki 10 inci dan berat 175 pound ini merupakan pengacara bertubuh sasa yang cukup meminati bidang seni mempertahankan diri sejak dari kecil.

Justeru, peluang mengacarakan Fight Quest bersama Doug Anderson yang memaparkan seni-seni mempertahankan diri dari seluruh dunia itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

Disebabkan minat yang mendalam itu, Jimmy tiada masalah untuk mengembara ke merata-rata tempat bagi mempelajari seni-seni mempertahankan diri dalam waktu yang singkat.

"Biasanya untuk rakaman sesebuah episod seni mempertahankan diri, saya mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk belajar atau berlatih daripada seseorang guru seni terbabit.

"Selepas itu, kami akan memulakan rakaman Fight Quest. Saya juga akan memperlihatkan kemahiran berlawan hasil daripada pembelajaran saya yang singkat itu walaupun adakalanya saya kalah.

"Ini kerana setiap seni mempertahankan diri mempunyai teknik menyerang atau bertahannya sendiri yang biasanya digunakan hanya pada masa-masa kecemasan sahaja," jelasnya.

Dalam pada itu, Doug Anderson tidak menafikan banyak kelebihan seni mempertahankan diri yang boleh digunakan pada saat-saat cemas asalkan ia tidak disalahguna oleh pemilik sesuatu seni itu.

Katanya, tujuan mempelajari sesuatu seni mempertahankan diri juga harus jelas di mana sikap saling hormat menghormati sesama insan juga haruslah diterapkan di kalangan pengamalnya.

"Walaupun kita ada sesuatu seni mempertahankan diri, ia tidak boleh disalah guna secara sewenang-wenangnya kerana ia akan mencetuskan suasana tidak aman.

"Contohnya, kalau kita ada seni mempertahankan diri tetapi menggunakannya untuk membuli orang lain atau bergaduh maka implikasinya tentulah tidak baik," ujarnya.

Doug yang meminati kumpulan punk legenda The Clash tidak menafikan ramai remaja termasuklah di tempat kelahirannya di New Jersey, Amerika Syarikat yang tertarik dengan seni ini.

Tambahnya, sebagai penduduk yang tinggal di bandar metropolitan seperti New Jersey atau di mana-mana juga tentunya mereka akan berdepan dengan kes-kes keganasan atau jenayah.

"Sebab itu, seni mempertahankan diri perlu ada dalam diri setiap orang untuk bersedia pada saat-saat yang genting. Selain itu, seni mempertahankan diri juga suatu latihan.

"Selain memberi skil dan teknik dalam sesuatu seni mempertahankan diri, ia juga sebagai suatu seni yang menyihatkan untuk semua orang," kata pesilat berusia 27 tahun ini.

Untuk musim baru Fight Quest, antara seni mempertahankan diri yang ditonjolkan ialah jiujitsu yang berasal dari Brazil, wushu (China), muay thai (Thailand) dan kalarippayattu (India).

Fight Quest musim baru mula disiarkan menerusi saluran Discovery Channel (saluran 551, Astro)pada 24 Mac lalu setiap Selasa pukul 9 malam di mana ulangannya pada Rabu (12 malam, 8 pagi dan 2 petang) serta Sabtu (8 malam).

1 comment:

  1. Omputih pun tertarik dgn silat yg unik
    tapi takde aktor yg berwibawa nak lakonkan aksi silat hingga ke international..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: