Monday, March 30, 2009

Sampai Seru Serina


USAH diungkit kisah cintanya yang tidak menjadi. Hakikatnya, pengalaman itu mematangkan hidup gadis ini. Dua kali menyulam kasih yang tidak kesampaian membuatkannya berfikir panjang dalam mencari cinta baru.

Namun, tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya. Nalurinya masih seperti gadis lain yang mahu dibelai insan bernama lelaki. Sekian lama bersendirian, perkenalan dengan seorang jejaka menyinari kembali hidupnya.

Pinta Serina Redzuawan, biar hubungannya kali ini menjadi. Tidak mampu lagi menanggung keperitan cinta tidak kesampaian. Pedihnya bukan kepalang, derita yang ditanggung pula berbulan-bulan menikam diri.

“Alhamdulillah, kini saya mula mengenali hati budi seorang lelaki. Enam bulan berkawan, kami mula serasi. Malah, dia faham kerjaya saya sebagai anak seni meskipun dia tidak terbabit dalam dunia ini. Yang penting, ayah saya juga menyukainya.

“Siapakah gerangan lelaki itu, biar ia dirahsiakan dulu. Yang boleh saya katakan, dia usahawan dan berusia 32 tahun. Insya-Allah, jika ditakdirkan ada jodoh di antara kami, pasti saya akan memberitahu peminat siapa orangnya,” jelas anak gadis selebriti masakan terkenal, Chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan ini.

Usia yang menganjak 26 tahun dirasakan cukup ranum untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Hatinya juga kuat mengatakan dia bersedia untuk berumahtangga.

“Di kalangan rakan, semuanya bersuami. Ayah juga sering bertanya bila saya mahu berkahwin. Jawab saya berseloroh, walaupun bersedia, lamarannya belum diterima.

“Begitupun, saya harap jodoh kami dipanjangkan hingga ke jinjang pelamin. Dua kali hubungan dijalin tidak kesampaian membuatkan saya serik untuk bercinta lagi. Harap-harap apa yang diusahakan kali ini menjadi,” katanya.

Menyentuh soal kerjaya, Serina tidak canggung bergelar pengacara. Mula mencuba bakat menerusi program muzik Latido, lagak bersahaja yang dipaparkannya menerusi segmen berunsur majalah TV berkaitan program masakan berasaskan koko mendapat perhatian ramai. Kini ia bersambung untuk musim keempat pula.

“Cabaran dan tanggungjawab sungguh besar apabila mahu menarik minat generasi masa kini daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk lebih mengetahui perihal komoditi pertanian ketiga terbesar di negara ini yang banyak menyumbang kepada pendapatan negara.



“Ramai tidak tahu, koko sebenarnya mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan tubuh. Bukan itu saja, malah bahan di dalam koko boleh digunakan untuk membuat produk kosmetik seperti losyen dan sabun,” katanya.



Tambah Serina, rezekinya datang bergolek dalam dunia pengacaraan, lebih-lebih lagi ketika berpeluang menjelajah seluruh negara apabila mengacarakan program berentak pelancongan, Zoom Malaysia.

“Berkesempatan mendaki Gunung Kinabalu, melihat kecantikan semula jadi hidupan laut, kehijauan hutan dan budaya masyarakat Orang Asli mengajar saya pelbagai perkara.

“Saya sungguh puas mengacara program begini, walaupun ia hanya disiarkan dua minit sebelum dan selepas Berita Perdana di RTM. Tambah lagi, pelbagai perkara berguna dapat dipelajari ketika menjelajah negeri orang,” katanya.

Selain itu, Serina turut berpeluang mengacarakan satu lagi program masakan berjudul Sajian Kontemporari untuk siaran RTM.

Terbaru, aktres muda ini mula melangkah kembali dalam dunia teater. Memegang watak Dara, gadis lemah lembut dan dipenuhi dengan emosi di dalam teater berjudul Semerah Padi sungguh berbeza dengan watak yang sinonim dengan dirinya.

Akui Serina, bukan mudah mahu membawa watak begitu, lebih-lebih lagi perilakunya sedikit kasar. Begitupun, apabila menjiwai watak yang diberi, sifat lemah lembut itu lahir dengan sendiri tanpa perlu dibuat-buat.

“Mulanya, memang sukar menjelmakan watak gadis lemah lembut dan sentiasa berendam dengan air mata. Namun apabila mendalami watak berkenaan, ia lahir secara automatik.

“Jika ada yang perasan, teater arahan Khusairy Mahayuddin ini diangkat menerusi filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul sama satu ketika dulu.

“Menariknya, selain dapat memperbaiki mutu lakonan, saya berpeluang mendalami selok-belok agama kerana teater ini mengisahkan perjuangan sebuah kampung bernama Semerah Padi di mana penduduknya sangat patuh dengan ajaran Islam.

“Bagi mereka yang mahu menonton teater ini, kedatangan anda dialu-alukan ke Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 10 hingga 12 April ini. Menariknya, tiada bayaran dikenakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: