|
|
KEDUA-DUANYA pelakon hebat dan pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia, namun bagaimana pula gayanya apabila Rusdi (Rusdi) Ramli, 39 dan Nur Fazura (Fazura) Sharifuddin, 26 digandingkan menjadi pengacara. |
Kedua-dua pelakon ini menerima lamaran Astro bagi mengendalikan rancangan realiti terbaru bagi mencari bakat dalam bidang lakonan, Anak Wayang yang bakal bersiaran pertengahan Jun ini.
Anak wayang akan disiarkan di dua saluran iaitu Ria dan Prima, di mana rancangan bercorak laporan harian dikendalikan Fazura sementara penyingkiran peserta dikendalikan Rusdi.
Sewaktu ditemui di majlis pelancaran rancangan itu yang diadakan di KLPac Sentul West, kelmarin, Fazura berkata dia menerima tawaran dari pihak Astro mengendalikan Anak Wayang dua minggu lalu.
"Pada awalnya apabila mereka mengatakan ia rancangan realiti saya menolak. Kerana saya tahu kemampuan saya, apatah lagi sekiranya ia disiarkan secara langsung.
"Sebagai pengacara saya sudah belajar daripada kesilapan. Saya boleh buat sekiranya rancangan itu dirakam dan bukan disiarkan secara langsung.
"Bagaimanapun apabila pihak produksi menjelaskan ia rancangan pencarian bakat dalam bidang lakonan dan dibuat secara rakaman hati saya terus berubah dan mahu melakukannya.
"Pertamanya kerana rancangan ini mencari pelakon dan saya sendiri aktif dalam bidang itu. Bermakna saya melakukan perkara yang berkaitan dengan bidang kerja saya," katanya.
Sebelum ini, Fazura mengasah bakat dalam bidang pengacaraan apabila diberi peluang mengacarakan segmen MTV Syok dalam MTV yang disiarkan seluruh Asia Tenggara.
Bagaimanapun persembahannya sewaktu mengendalikan rancangan Anugerah Skrin dua tahun lalu menerima kritikan dari pihak media, menyebabkan dia hampir putus asa untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang pengacaraan.
"Perkara pertama saya belajar dalam bidang pengacaraan dan kesilapan pernah dilakukan sebelum ini adalah, jangan terlalu mendengar pendapat orang.
"Saya akan selesa mengacara apabila menjadi diri sendiri. Itu juga syarat yang saya berikan kepada produksi Anak Wayang. Apabila mereka bersetuju barulah kata putus dibuat," katanya.
Walaupun pertama kali digandingkan dengan Rusdi sebagai pengacara jelas Fazura, dia tidak berasa bimbang kerana pernah bekerja dengan pelakon itu dengan membintangi drama bersama sebelum ini.
"Kami sama-sama 'gila' jadi saya dapat rasakan keseronokan apabila dapat mengacarakan rancangan ini bersama Rusdi. Hendak diikutkan kami sebenarnya mengendalikan rancangan berbeza secara individu. Saya buat laporan harian dan Rusdi pula mengacarakan program penyingkiran. Kami hanya akan ditemukan di akhir rancangan ini.
"Anak Wayang mula bersiaran Jun ini. Dalam tempoh itu kami masih sempat mencari keserasian. Pastinya apabila di episod mencari juara di akhir pertandingan kami sudah dapat menyesuaikan diri dengan kamera, pentas mahupun penonton," katanya.
Berbeza dengan Fazura, sepanjang hidup Rusdi menjadi anak seni dia tidak pernah sekali pun menjadi pengacara sama ada di televisyen mahupun pentas terbuka.
Katanya ini kali pertama dia ditawarkan untuk menjadi pengacara dan antara sebab dia menerimanya kerana mahu mencabar diri sekali gus melihat kemampuan.
"Dulu saya tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang lakonan, bagaimanapun apabila mendapat tawaran saya terima kerana mahu melihat sama ada saya mampu melakukannya atau tidak. Tertanya ia kini menjadi sumber pendapatan utama saya.
"Lagipun saya yakin mampu mengacarakan Anak Wayang kerana pihak produksi berjanji mahu memberikan latihan. Terlalu awal untuk saya bercakap mengenai bidang baru ini kerana saya masih ada dua bulan untuk menyiapkan diri sebelum ia mula bersiaran," katanya.
Rusdi turut menyambut baik akan usaha pihak Astro menghasilkan rancangan mencari bakat dalam bidang lakonan kerana sememangnya industri perfileman tempatan memerlukan ramai bakat pelapis.
"Seperti juga bidang nyanyian, sebelum ini kita asyik dihidangkan dengan lagu didendangkan orang yang sama, tetapi sebaik adanya Akademi Fantasia dan beberapa lagi rancangan realiti tv lain, kita sudah ada ramai penyanyi.
"Sebagai rancangan baru saya percaya pasti akan ada yang mengkritik terutama mereka yang menyertainya akan dikatakan 'bintang segera' dan sebagainya. Namun percayalah ia akan memberikan satu sinar baru dalam industri perfileman mahupun penerbitan drama," katanya.
Menyifatkan tawaran menjadi pengacara sebagai rezeki anak yang sedang dikandung isterinya Sharon Paul yang kini masuk empat bulan, tegas Rusdi, dia berasakan tidak akan berhadapan dengan masalah apabila digandingkan dengan Fazura apatah lagi mereka hanya akan bertemu di akhir episod pertandingan Anak Wayang.
Profil
Nama penuh: NurFazura Sharifuddin
Panggilan: Fazura
Tarikh Lahir: 27 September 1983
Umur: 26 Tahun
Asal: Pekan, Pahang
Status: Bujang
Kerjaya: Pelakon dan Pengacara
Filem: Kantoi, Pisau Cukur, Selamat Pagi Cinta, Kayangan, Gol & Gincu, Qaisy dan Laila, Senario XX dan Bicara Hati.
Rancangan TV: MTV Syok dan Anugerah Skrin
Pencapaian: Bintang Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-17.
Nama penuh: Rusdi Ramli
Panggilan: Rusdi
Tarikh Lahir: 16 Jun 1970
Umur: 39 Tahun
Asal: Ampang, Kuala Lumpur
Status: Berkahwin (dengan komposer Sharon Paul)
Kerjaya: Pelakon
Filem: Anak, Cuci, 1957:Hati Malaya, Waris Jari Hantu, Qabil Khushry Qabil Igam, Bilut, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Leftenan Adnan.
Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: