|
|
PADA tarikh 30 Mac 2009, pukul 11.40 pagi bertempat di Hospital Pakar Perubatan Damansara, lahir seorang bayi perempuan seberat 4.04 kilogram. Banyak hati yang berbunga bahagia untuk menatap bayi dengan ketinggian 51.5 sentimeter itu.
Alasannya cukup relevan. Ini kerana bayi istimewa itu merupakan puteri sulung kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira Wan Chik dan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Sememangnya ramai yang menunggu sekian lama bilakah primadona jelita itu bergelar ibu buat pertama kalinya.
Apatah lagi di kalangan media. Apabila khabar bahawa Erra,35, telah melahirkan zuriat pertamanya yang kemudian diberikan nama yang cukup indah - Engku Aleesya, lima hari lewat daripada tarikh yang dijangka doktor, para wartawan mula berkumpul di hospital berkenaan.
Gerombolan wartawan yang tiba di sana pada pukul 1 petang seolah tidak sabar menatap wajah Engku Aleesya, namun Emran yang ditemui bagaimanapun memohon dengan baik agar dirinya ditemu bual sekitar pukul 3 petang kerana mahu menguruskan hal dua permata hatinya itu.
Selepas ditemu bual, Emran tidak menolak memberi keizinan kepada beberapa teman wartawan untuk menziarahi Erra dan Aleesya.
Namun, Erra dan Emran bagaimanapun tidak mengizinkan wajah puteri mereka dirakamkan. "Kami sudah berjanji dengan keluarga. Jadi saya perlu berpegang kepada janji. Insya-Allah, wajah Aleesya akan dapat disaksikan pada majlis cukur jambul nanti," luah Erra meminta agar semua pihak memahami dan memberi sedikit privasi kepada anggota keluarga barunya itu.
|
|
Tambah pasangan ini, mereka mahu bersifat adil kepada semua media, dan janji untuk 'menayangkan' anak mereka pada majlis cukur jambul selepas 44 hari nanti akan tetap dikotakan.
Meminta maaf kepada semua pihak, Erra sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk menunjukkan gambar anaknya kepada orang ramai terutama peminatnya.
Erra yang kemudian berkongsi kegembiraannya menyambut kedatangan media dengan nada ghairah menjerit kecil berkata, "I'm a mother (saya seorang ibu)". Cerianya tidak ditahan-tahan.
Malah dalam setiap bicaranya, mata Erra bercahaya. Lambang kebahagiaan tidak terperi.
"Ini satu pengalaman yang seronok dan baik. Lepas bersalin, saya ada rasa pening dan hendak muntah. Tapi itu semua berbaloi. Disebabkan sudah melebihi lima hari, saya tidak mahu mengambil risiko.
"Saya takut bayi terlalu besar dan juga takut tali pusat akan melilit kepalanya. Macam-macam saya fikir, maka saya dinasihatkan melalui prosedur induce (ubat untuk mempercepatkan pembukaan rahim)," ujar Erra.
Memilih nama Engku Aleesya, Erra menyukai maksud Aleesya dan bunyi sebutannya amat lembut. "Saya suka maksud Aleesya. Maksudnya ialah yang dilindungi. Semua ahli keluarga bersetuju dengan nama ini. Kami ada tiga nama lain tetapi nama yang lain pula agak keras nadanya. Kami sukakan nama yang ringkas sahaja," tambah Erra.
Emran yang terlebih dahulu ditemu bual turut berkongsi pengalaman menjadi bapa dengan media. Dia memberitahu, sepanjang proses bersalin, dia berada di sisi Erra dan sempat merakamkan detik-detik paling manis dalam hidupnya dengan kamera video.
"Sebenarnya hari Sabtu lagi Erra sudah sakit. Bila jumpa doktor dan menjalani ujian skrin, doktor mengatakan Erra belum bersedia untuk melahirkan anak lagi. Kemudian, semalam (29 Mac) Erra semakin sakit dan masuk hospital pada pukul 11 malam. Pada pukul 3 pagi, Erra dinasihatkan untuk mengambil suntikan epidural dan dua jam kemudian Erra dimasukkan ke dalam wad.
|
|
"Pintu rahim Erra semakin membesar pada pukul 7.30 pagi dan pada pukul 10 pagi, Erra sudah bersedia untuk bersalin. Tidak sampai 20 minit doktor berada dalam bilik bersalin, Erra selamat melahirkan Aleesya pada pukul 11.40 pagi," jelas Emran mengenai anaknya yang dilahirkan secara normal itu.
Sebak melihat Aleesya
Tidak mengalami sebarang komplikasi, Erra memberitahu dirinya berasa sebak saat anaknya diletakkan atas badannya. Malah pada mulanya dia tidak tahu bagaimana untuk mendukung anaknya yang masih diselaputi bendalir.
Suaminya pula berasa cemas ketika berada di bilik bersalin kerana tidak pernah melihat Erra dalam keadaan yang begitu sakit. "Memang saya berasa cemas dan hiba tetapi saya masih mahu melihat saat anak saya dilahirkan. Rasanya seperti mimpi lagi.
"Ini satu keajaiban yang sangat sukar untuk dijelaskan dalam perkataan. Semasa menyaksikan Erra bersalin juga saya berasa insaf dan semakin menyayangi Erra," kata Emran yang akan bercuti selama seminggu untuk menemani Erra dan Aleesya.
Menyifatkan mulut anaknya seperti mulut Erra yang muncung dan kulitnya berwarna putih dengan sedikit merah jambu, Emran masih belum boleh melihat wajah anaknya itu iras wajahnya atau Erra. Wartawan yang berpeluang melihat anaknya, akui bayi itu memiliki mulut seperti Erra dan memiliki sepasang mata yang bundar.
Emran yang sudah bersedia dari segi fizikal dan mental sebenarnya mahu tiga atau empat orang anak. Maka memandangkan usia Erra, Emran mahu Erra lahirkan anak lagi dalam masa terdekat. "Kalau boleh jangan rehat lama sangat. Usia Erra pun bukan muda lagi," terang Emran.
Bakal mengamalkan pantang tradisional di rumah dengan ditemani ibu dan ibu mertua serta nenek Erra, Rahimah Sakul, Erra dan Emran mempunyai pendirian sama untuk tidak mendedahkan anak mereka kepada dunia seni. Jika boleh, pasangan itu mahu anak mereka terlibat dalam bidang lain.
"Ayah dia minat golf. Kalau boleh dia nak anaknya jadi pemain golf profesional. Kami sebenarnya tidak galakkan dia menjadi artis. Namun, jika itu minat dia, kami tidak halang," kata Erra.
Sambung Emran, "Rasanya ibu dia boleh nasihatkan dia baik buruk dunia seni. Kami tahu tidak senang untuk menjadi artis. Saya hanya mahu membawa dia bermain golf."
Erra mahukan anaknya memanggil dirinya, mom dan Emran pula mahu dirinya dipanggil ayah. Bersifat terbuka dalam cara mendidik anak, Emran mahu menghormati anaknya. "Walaupun dia merupakan anak saya, saya akan hormati dia. Anak saya akan mempunyai pendirian dan hak sendiri sebagai seorang manusia."
Terlalu awal untuk bercerita mengenai hal publisiti anaknya, jika berkebolehan, Emran mahu anaknya membesar seperti orang biasa. Erra juga belum lagi bersedia untuk membawa anaknya ke lokasi penggambaran atau tempat kerja.
"Bulan Jun nanti saya akan mula bekerja dengan produksi Mertua VS Menantu. Selepas itu juga saya akan mula merakamkan album baru. Maka, masa itu anak saya masih kecil. Jadi tidak sesuai untuk bawa dia ke lokasi," beritahu Erra mengenai anaknya yang akan dijaga ibu serta ibu mentuanya.
selamat menjalinkan hubungan antara ibu dan anak.
ReplyDelete