SKALA industri muzik tempatan memang tidak besar bahkan tidak sebesar skala yang tercatat di negara jiran, Indonesia yang sering ditudingkan jari setiap kali jatuh bangun industri muzik tempatan diperdebatkan.
Apa yang dirasai semua karyawan dan pemain sebenar dalam industri muzik tempatan sepanjang tahun lepas kini jelas dan nyata apabila Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Datuk Aziz Bakar mengumumkan penurunan jumlah pencalonan yang sangat 'sedih' semasa sidang media senarai akhir pencalonan ke Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16, baru-baru ini.
Bayangkan, dalam kemeriahan hiburan di sana-sini, AIM16 hanya berpaksikan 54 buah album yang dicalonkan merebut 29 kategori yang dipertandingkan. Jumlah 54 buah album itu menunjukkan betapa miskin khazanah muzik Malaysia yang dapat dikumpulkan sepanjang tahun 2008, itu paling teruk dalam sejarah penganjuran AIM yang diperkenalkan sejak 1994.
Bagaimanapun, dalam kejatuhan sebanyak 40 peratus berbanding AIM15, ironinya AIM16 meraih pencalonan terbanyak dalam penubuhannya dengan 707 pencalonan. Ia disebabkan kewujudan kategori baru yang membabitkan pertambahan single yang semakin galak saban tahun.
"Kita tidak boleh sekadar mengharapkan single kerana penghasilan album sahaja yang akan menentukan bilangan yang banyak dalam penghasilan karya lagu setiap tahun.
|
|
"Jika kuantiti lagu bertambah maka lagu-lagu dan muzik yang berkualiti juga akan bertambah," jelas Aziz kepada media.
Tegas Aziz, dalam keadaan industri muzik yang tenat itu, sudah tiba masanya kerajaan campur tangan bagi meredakan kemelut ketandusan pelabur besar ke industri muzik.
"Kerajaan boleh memberi suntikan modal terhadap industri lain yang mengalami kemerosotan kenapa tidak industri muzik. Saya menyeru agar kerajaan juga boleh memberikan pakej rangsangan menyasarkan untuk membaiki industri muzik," katanya yang mensasarkan sekitar RM10 juta dana daripada kerajaan sudah cukup untuk mengubah status kritikal yang dihidap industri muzik ketika ini.
Tambahnya, karyawan muzik Malaysia kini buntu dan hanya 'teori' rangsangan ekonomi itu yang mampu menjadi penyelamat.
"Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang khazanah muzik Malaysia akan pupus," ujar Aziz yang terpaksa berpuas hati dengan perubahan dan pencalonan akhir yang dicapai menerusi AIM16.
AIM16 mempertandingkan 29 kategori yang dipecahkan kepada beberapa genre muzik iaitu genre muzik berbahasa Inggeris, muzik Cina tempatan, muzik India tempatan, muzik luar negara dan muzik Melayu.
Ekoran pertambahan karya lagu dalam bentuk single juga memaksa AIM16 memperkenalkan 12 kategori khusus untuk mengiktiraf pelbagai single yang telah diterbitkan.
Malam kemuncak AIM16 akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2 Mei nanti. Bagi menyemarakkan acara berkenaan para finalis AIM16 akan dibawa menjelajah ke serata tanah air untuk menemui para peminat. Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah Kuantan Parade, Pahang pada 4 April, Plaza Alam Sentral, Shah Alam (11 April), Village Mall, Sungai Petani, Kedah (18 April) dan Queensbay Mall, Pulau Pinang (25 April).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: