Saturday, March 28, 2009

Jul paksa Fara jadi isteri?


KEMESRAAN antara mereka sudah berakhir setelah Fara menghilangkan diri dan mahu dilepaskan sebagai artis syarikat milik Julfekar.





ISU penyanyi Farawahida menghilangkan diri sejak seminggu selepas pertandingan Anugerah Juara Lagu Ke-23 sudah pun tersebar luas sepanjang minggu ini.

Antara sebab utama dia berbuat demikian atas alasan tidak tahan dikongkong oleh komposer yang juga pengurusnya, Julfekar.

Itu pengakuan yang dibuat oleh Fara dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diberikan kepada Julfekar (Jul), selain dia sendiri meminta tidak lagi menjadi artis naungan Millenium Art Sdn. Bhd., syarikat milik Julfekar.

Berita keretakan hubungan baik antara mereka sebenarnya telah dihidu Kosmo! sejak Disember tahun lalu, dan Kosmo! telahpun mengeluarkan artikel bertajuk Antara Kahwin dan Bergaduh pada 11 Disember 2008.

Dalam artikel itu, ada menyatakan Fara sudah tidak sebulu dengan pengurusnya sehingga dia membuat laporan polis kerana tidak tahan dikongkong.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menafikan berita tersebut dan menyatakan ia sekadar gosip yang ingin menjatuhkan Fara di saat dia sedang sibuk melakukan persiapan untuk AJL 23.

Namun, dengan perkhabaran terbaru ini, sudah terang lagi bersuluh, memang benarlah hubungan mereka tidak lagi baik seperti dulu dan ini bukan pertama buat Jul kerana sebelum ini dia mempunyai sejarah 'berperang' seketika juga dengan anak didiknya iaitu penyanyi Azharina.

Siapa yang bersalah di sebalik kehilangan Fara sehingga kini meninggalkan tanda tanya. Percubaan Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan dari mulut Fara sendiri menemui jalan buntu, apabila Fara tidak lagi menjawab panggilan telefon.

Kami mahu memberi peluang kepada Fara untuk menjelaskan segala-gala punca dan alasan yang menyebabkan dia mengambil keputusan drastik itu, namun tidak mendapat kerjasamanya.Soalnya, sampai bila Fara mahu terus sembunyikan diri? Kami sendiri jadi pelik.

Malah mereka yang terdekat dengan Fara juga mendakwa langsung tidak tahu di mana penyanyi hitam manis itu berada ketika ini selepas menghilangkan diri.

Ikuti temu bual antara Kosmo! dengan Julfekar baru-baru ini.

Dulu timbul gosip kalian berkahwin tetapi kali ini Fara menghilangkan diri pula, nampaknya kesalahan semua diletakkan di atas bahu kamu selaku pengurusnya, apa cerita?

Saya pun tidak tahu macam mana, dia hilang macam itu saja, rumah sewa yang dia tinggal bersama emaknya juga kosong, semua barang sudah diangkut pergi tanpa memberitahu apa-apa pada saya. Memang semua di atas bahu saya, sebab semuanya saya yang kena tanggung. Saya tidak nampak apa salah saya yang cuba menaikkan namanya sehingga dia hilangkan diri.

Ada tanda-tanda pelik sebelum dia menghilangkan diri?

Tidak! Dia seperti biasa saja. Cuma dia tiba-tiba sahaja mengambil berat soal kontrak, kemudian dia ada hantar surat untuk berhenti 24 jam daripada jadi artis Millenium Art Sdn. Bhd. dengan alasan ibu bapanya yang meminta dia berbuat demikian. Dia hantar surat, hantar SMS saja, tak cakap sendiri dengan saya. Cari di rumah dia pun rupa-rupanya dia sudah tidak tinggal di situ.

Apa alasan yang diberikan Fara?

Dia kata tidak tahan dikongkong. Itu saja, sebab itu saya tidak faham, apa yang saya kongkong. Sebagai pengurus, saya jaga amanah yang diberikan ibu bapanya untuk menjaga dia sebaik mungkin. Selama lima tahun dia jadi artis, saya cuba sedaya upaya untuk naikkan namanya, dan bila hasil sudah mula nampak dia buat macam ini pula, itu yang saya geram.

Ada cuba hubungi atau cari dia di kampung?

Saya cuba telefon dan SMS, dia hanya balas SMS. Katanya, jangan cari dia di kampung sebab keluarganya tidak suka. Keluarganya juga enggan memberikan kerjasama. Apabila saya telefon, dia tidak jawab dan matikan telefon. Berkemungkinan besar dia sudah tukar nombor baru, kerana itu saya tidak dapat hubungi dia.

Kerugian yang terpaksa ditanggung?

Banyak sangat! Semuanya berjumlah RM231,000. Itu termasuk kos pembikinan album, klip video dan promosi album ketiganya yang sepatutnya dilancarkan Februari lalu di Indonesia. Disebabkan kehilangannya, semua aktiviti terpaksa dibatalkan dan pengeluaran album di Malaysia juga terpaksa ditangguhkan, sedangkan saya sudah pun melantik ejen promosi dan mengaturkan semua aktiviti di Indonesia. Jadi memang saya rugi.

Bagaimana dengan kontraknya?

Dia tandatangan kontrak selama lima tambah satu tahun. Sekarang sudah lima tahun, mengikut perjanjian secara automatik syarikat boleh menambah setahun lagi. Kiranya dia sudah melanggar kontrak.

Banyak versi cerita kurang enak sedang tersebar ekoran kehilangan Fara, kamu tahu tentang itu?

Saya tahu, macam-macam orang kata. Ada yang kata kononnya Fara lari sebab saya telah memaksa dia berkahwin dengan sayalah, saya makan duit dia dan macam-macam lagi.

Betul kamu paksa dia kahwin?

Kalau saya paksa dia kahwin, bermakna saya ini sudah hilang akal. Bayangkan, album ketiga dia baru saja nak keluar. Kalau kata saya makan duit dia, dia sendiri pun masih berhutang dengan saya. Selama ini syarikat yang banyak tanggung dia pakaian, makan minum, rumah dan sebagainya. Dia juga yang minta saya uruskan kewangannya. Cerita kahwin ini hanya gosip, sebab orang memang suka bercerita.

Jika dia tidak muncul juga, apa tindakan selanjutnya?

Bergantung dengan hati saya, tengok apa reaksi dia selepas ini. Sudah sebulan lebih dia menghilangkan diri dan masih ada ruang perbincangan, saya tidak akan membawa hal ini ke mahkamah, kerana saya yakin Fara yang saya kenal bukanlah orang yang kejam. Mungkin, dia termakan cakap-cakap orang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: